Sunday, November 14, 2010

Bank milik ANGKASA tunggu lampu hijau SKM

2010/11/15
Operasi awal tahun depan tumpu pinjaman peribadi, perumahan

ISLAMIC Cooperative Bank of Malaysia (ICBM), bank pertama milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) kini menunggu lampu hijau daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk beroperasi awal tahun depan.

Presidennya, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum, berkata kira-kira 560 koperasi kredit dengan hampir empat juta ahli di seluruh negara menjadi anggota kesatuan penubuhan ICBM selain beberapa lagi koperasi bukan berasaskan kredit seperti perladangan. Katanya, ICBM dijangka dapat dilaksanakan awal tahun depan dengan modal berbayar minimum sebanyak RM300 juta daripada modal saham anggota kesatuan koperasi kredit yang sedia ada. “Kita juga membuka ICBM kepada koperasi bukan kredit seperti koperasi pertanian untuk menjadi pemegang saham dengan minimum RM100,000 dan maksimum RM5 juta ekuiti.

“Setakat ini, difahamkan koperasi seperti FELDA dan FELCRA berminat melabur dalam ICBM,” katanya selepas perasmian seminar peluang pembangunan koperasi dalam Model Baru Ekonomi oleh Menteri Muda Pertanian Pertubuhan Peladang dan Koperasi, Datuk Peter Nyarok Entrie di Kuching, kelmarin.

Beliau berkata, merujuk kepada tiga mesyuarat SKM sebelum ini fokus ICBM adalah kepada aktiviti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan modal kewangan untuk pembangunan tanah.

“Tiga mesyuarat SKM sebelum ini fokus kepada tiga aktiviti utama ICBM iaitu aktiviti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan bantuan modal pembangunan tanah dan ia tidak mengambil masa panjang kerana ANGKASA mempunyai kepakaran dalam aktiviti seperti ini,” katanya.
Katanya, penubuhan bank terbabit tidak memerlukan kelulusan daripada Bank Negara dan ia hanya memadai dengan membenarkan ANGKASA menjadi peneraju ICBM dengan kelulusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Berikutan itu katanya, satu jawatankuasa penaja baru akan ditubuhkan oleh ANGKASA lengkap dengan ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif baru untuk menggerakkan ICBM.

Ditanya kadar pinjaman balik, beliau berkata, ICBM masih mengkaji secara mendalam perkara itu dan pastinya kepada konsep tidak membebankan peminjam kerana kos operasi ICBM pastinya lebih rendah berbanding bank komersial lain

No comments:

Post a Comment