Sunday, October 24, 2010

Kolej Komuniti ambil 80,000 pelatih 2011

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2010/10/25

Program latihan lebih fleksibel bagi lepasan sekolah

JITRA: Kolej Komuniti di seluruh negara dijangka mampu mengambil kira-kira 80,000 lepasan sekolah tahun depan untuk menjalani latihan kemahiran susulan langkah institusi berkenaan melancarkan Sijil Modular Kebangsaan Separuh Masa. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengenalan program latihan lebih fleksibel bermula tahun depan itu bertujuan membuka peluang luas kepada lepasan sekolah yang sudah bekerja mendapatkan latihan kemahiran jangka pendek.
Katanya, langkah itu selaras hasrat kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat berikutan ketika ini 70 peratus daripada mereka yang memasuki pasaran pekerjaan adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, ini menyebabkan golongan terbabit tidak memiliki kemahiran diperlukan sektor industri, sekali gus menyebabkan pendapatan mereka agak rendah.

"Apabila program modular melalui pembelajaran separuh masa diperkenalkan mulai tahun depan, golongan pekerja boleh menyertai latihan di Kolej Komuniti tanpa perlu mengambil cuti atau berhenti kerja.

"Kita mahu melonjakkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23 peratus sekarang kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2015.
"Ia membolehkan pelajar mengikuti pelbagai modul jangka pendek berasaskan keupayaan mereka dalam tempoh antara tiga dan enam bulan saja,” katanya sambil menambah kementerian itu menyasarkan mengambil 80,000 pelatih tahun depan dan 120,000 orang menjelang 2014.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program itu di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, di sini, semalam.

Khaled berkata, daripada sasaran 80,000 pelatih yang akan diambil tahun depan, 50,000 membabitkan pelatih kursus sepenuh masa, manakala bakinya separuh masa.

Tahun ini, Kolej Komuniti seluruh negara hanya mampu mengambil seramai 20,000 pelatih.

Katanya, ketika ini Kolej Komuniti menawarkan 48 kursus peringkat sijil merangkumi sembilan bidang dan menjelang 2015 ia dijangka meningkat kepada 135 kursus.

Fasa satu sijil modular separuh masa itu menawarkan latihan dalam bidang operasi perhotelan, kulinari, pengendalian pelancongan, penyejukan dan penyaman udara, pemasangan elektrik, operasi akuakultur, penyelenggaraan dan membaiki bot, servis kenderaan ringan dan penyelenggaraan bangunan.

Fasa dua pula membabitkan kursus lukisan senibina, bakeri, dandanan rambut, fesyen dan pakaian, agro industri, perkeranian perakaunan, operasi perniagaan, animasi tiga dimensi, fotografi pengiklanan, senireka grafik dan terapi kecantikan/spa.

No comments:

Post a Comment