Sunday, August 29, 2010

Bahasa isyarat dalam khutbah Jumaat di Terengganu

2010/08/30
KUALA TERENGGANU: Bahasa isyarat akan turut digunakan dalam menyampaikan khutbah Jumaat di Terengganu jika terdapat permohonan daripada masyarakat setempat, kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEA), Datuk Sheikh Harun Ismail.

"Kita telah memperkenal khutbah bahasa isyarat ini di Masjid Al-Abrar Kampung Bukit Tok Beng, buat permulaan kepada pelajar kurang pendengaran dan sambutannya amat baik," katanya di sini, hari ini. Sheikh Harun berkata, JHEAT tidak mempunyai rancangan untuk membina masjid bagi kaum India Muslim di sini. Beliau berkata, ia kerana bilangan kaum India Muslim di bandar ini tidak begitu ramai dan masjid yang ada sudah memadai.

Bagaimanapun, katanya, JHEAT mungkin membina sebuah surau untuk kaum India Muslim berkumpul.

Thursday, August 26, 2010

S'gor lancar kempen anti zina Isnin ini

Ogos 26, 10 3:12pm

Kongsi 0Kerajaan Selangor akan melancarkan kempen anti zina, sempena program sambutan kemerdekaan dan penghayatan bulan Ramadan Isnin depan.


Pelancaran kempen tersebut adalah antara aktiviti menarik yang disusun untuk program berkenaan yang akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri Selangor, program tersebut akan berlangsung selama dua hari mulai jam 3.30 petang Isnin depan sehingga 7.30 pagi 31 Ogos.

Di samping kempen anti zina, antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah konsert amal Merdeka, laungan kemerdekaan oleh menteri besar dan banyak lagi.

"Program ini diadakan sempena menghayati bulan Ramadhan dan Menyambut Hari Kemerdekaan yang diadakan secara serentak," tambah kenyataan itu lagi.

UPM cipta alat kesan pengawet

Oleh Hazwan Faisal Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/08/27


DR. FATIMAH (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pengesan bahan pengawet mayat dalam ikan di Universiti Putra Malaysia, di Serdang, semalam.Formaldehid dalam ikan punca kanser

SERDANG: Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta alat pengesan bahan pengawet formaldehid dalam ikan dan makanan laut yang hanya mengambil masa 10 minit berbanding kaedah konvensional sehari. Penyelidiknya, Prof Madya Dr Fatimah Abu Bakar berkata, alat menggunakan teknologi biosensor berperantarakan enzim menggantikan penggunaan sedia ada membabitkan analisis pakar di makmal. Katanya, keputusan yang diperoleh tepat kerana ia sensitif dalam mengesan kandungan kadar formaldehid antara 0.1 hingga 20 bahagian perjuta (bpj) dalam produk makanan yang diuji.

Sehubungan itu, katanya, penemuan tersebut memudahkan agensi pengawasan dan pemantauan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia membuat pemeriksaan.

“Pengawasan itu sekali gus memantau penyalahgunaan bahan kimia terlarang,” katanya pada sidang media mengenai penyelidikan pantas mengesan penggunaan formaldehid dalam ikan dan makanan laut di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh yang juga ketua penyelidik.
Dr Fatimah berkata, harga peralatan itu bergantung kepada pengilang yang mengeluarkannya tetapi purata harga satu kit bio sensor RM50 dan boleh digunakan selama 60 kali.

“Namun ia masih dalam peringkat prapengkomersialan dan menunggu syarikat berminat memasarkannya,” katanya.

Formaldehid adalah bahan pengawet mayat yang banyak digunakan dalam sektor perkilangan seperti pembuatan kertas, papan lapis dan pengawetan tisu spesimen.

Kajian mendapati tahap penggunaan bahan itu dalam ikan dan makanan laut yang selamat tidak melebihi lima bpj dan di Amerika Syarikat ia menjadi toksik apabila mencapai kadar 20bpj.

Formaldehid berbahaya kepada manusia kerana boleh menyumbang kepada risiko penyakit barah paru-paru, otak dan leukemia

Wednesday, August 18, 2010

Sultan Kedah cadang UUM wujudkan institusi penyelidikan pengurusan masjid

2010/08/19
SINTOK: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mencadangkan supaya Universiti Utara Malaysia (UUM) mewujudkan institut penyelidikan bagi pengembangan pengurusan masjid moden.

Titah baginda ia amat penting untuk meningkatkan kedudukan masjid sebagai institusi utama dalam masyarakat Islam di negeri ini dan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.
Baginda juga menyeru pihak jawatankuasa masjid supaya lebih terbuka melalui kepelbagaian dakwah kontemporari. "Ada kalanya jawatankuasa masjid masih terikat dengan gaya pengurusan lama dan kurang menerima idea baru yang dilontarkan generasi baru walaupun ia tidak bersalahan dengan metodologi dakwah," titah baginda pada Majlis Pemasyuran Masjid Bukit Kachi dan Majlis Berbuka Puasa bersama pihak pengurusan UUM dan mahasiswa dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun dan Tengku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tengku Puteri Intan Syafinaz.

Masjid Bukit Kachi yang beroperasi pada 18 Oktober 2002 berkeluasan 1,144.2 meter persegi menelan kos sebanyak RM3 juta dan boleh menampung 4,500 orang jemaah pada satu-satu masa.

Titah baginda, pihak pengurusan masjid perlu mengadakan aktiviti berbentuk riadah yang dapat menarik minat belia.
"Aktiviti sebegini adalah satu bentuk program yang benar-benar menarik minat belia dan adalah ruang-ruang dakwah yang boleh diisi dengan pengisian rohani di samping beriadah," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UUM bertitah pihak masjid perlu lebih memahami keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka khususnya dalam menyediakan pengisian untuk anak-anak muda ke masjid.

"Masjid perlu dipastikan bertindak proaktif supaya sentiasa relevan dengan perubahan masa dan institusi masjid harus dibangunkan supaya dapat menjadi nadi utama dalam jalinan pembangunan dan khidmat masyarakat di seluruh negara," katanya.

Satu keluarga seorang hafiz, pentafsir al-Quran

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 19 Ogos 2010: Kerajaan Kelantan berharap semoga dalam satu keluarga akan lahir seorang hafiz al-Quran dan dalam masa yang sama tokoh dalam bidang pentafsiran al-Quran juga dapat dilahirkan dalam masyarakat negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata, sehubungan itu kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM70 juta setahun bagi membiayai pengurusan pendidikan dan pembelajaran sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

(Gambar: Ahmad, Takiyuddin bersama pemenanga tilawah.)

Beliau mengharapkan generasi kini yang masih berada di sekolah Yik termasuk di Maahad Tahfiz Sains akan lahir sebagai golongan generasi yang hafiz Al-Quran.

Katanya, dengan anak-anak yang kini sedang belajar di sekolah YIK diharap akan mampu lahir sebagai generasi berilmu terutama dalam bidang hafazan al-Quran dan pentafsirannya.

“Sekurang-kurangnya seorang hafiz al-Quran bagi satu keluarga akan dapat dilahirkan di samping melahirkan tokoh dalam bidang pentafsiran Al-Quran termasuk mengenai keilmuan berkaitan ‘mineral’ yang digali dari Al-Quran.

“Apatah lagi pengalaman dan keilmuan yang ada pada anak-anak kita yang menduduki Maahad Tahfiz Sains,” katanya pada Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan di Qaryah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, kelmarin.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dikendalikan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bermula 14 hingga 17 Ogos itu sempena Ihya’ Ramadhan Di Serambi Mekah 1431 Hijriah.

Menurutnya, adalah menjadi cita-cita kerajaan negeri agar rakyat di negeri ini dapat merasai kehidupan bukan seperti rakyat di negeri lain.

“Sebahagian masyarakat di negara ini tidak memahami ajaran al-Quran serta tidak mengamalkannya. Ini menyebabkan mereka berani melakukan perbuatan maksiat, bahkan sewenang-wenangnya melanggar perintah Allah SWT tanpa merasakan apa-apa kesalahan.

“Kita merasa sangat bertuah apabila memerintah Kelantan dengan menggubal dasar termasuk mengenai pendidikan Islam bagi membolehkan generasi kini melanjutkan pelajaran menerusi sekolah di bawah Yik terutama apabila wajudnya Maahad Tahfiz Sains, justeru lebih banyak lagi ‘khazanah Allah’ dalam al-Quran dapat dikuasai para pelajar,” katanya.

Mengulas Tilawah Al-Quran Peringkat PBT Negeri Kelantan, beliau mengharapkan akan datang program itu diperluaskan penyertaannya bagi membolehkan penyertaan kalangan kakitangan jabatan negeri dan persekutuan, agensi negeri dan badan berkanun di samping kakitangan bank dan swasta.

Selangor lancar kempen anti-zina 30 Ogos

Ogos 18, 10 6:12pm

Kongsi 0Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) akan melancarkan kempen anti-zina sebagai satu daripada usaha untuk membendung kes buang bayi.


Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor, Halimah Ali, berkata kempen itu akan dilancarkan sempena program untuk menangani gejala sosial pada 30 Ogos ini di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam yang dijangka dihadiri 3,000 belia.

"Program ini juga sempena sambutan kemerdekaan negara dan akan dimulakan dengan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah selain beberapa aktiviti kesenian dan persembahan artis jemputan," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan mengingatkan remaja supaya tidak lalai dan terjebak dalam gejala sosial termasuk sehingga terlanjur melakukan zina dan membuang bayi.


Halimah berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia dan pihak sekolah juga akan terbabit secara langsung dalam menangani isu gejala sosial itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari, berkata lapan penternak lembu di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarah berpindah ke ladang ternakan baru di Sungai Nilam, Hulu Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengatasi masalah ternakan yang berkeliaran serta ditempatkan di lokasi yang tidak sesuai seperti berhampiran kediaman, kolej dan di bawah jambatan.

"Kerajaan negeri memperuntukan tanah seluas 32.4 hektar di Sungai Nilam dengan kemudahan infrastruktur lengkap bagi menampung kira-kira 500 ekor lembu milik kumpulan penternak itu. Penternak hanya perlu membina kandang di kawasan tanah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihak PBT terbabit akan mengeluarkan notis kepada penternak berkenaan dalam masa terdekat ini.

- Bernama

Sunday, August 15, 2010

Perbanyak koperasi edar, jual barang di pedalaman

2010/08/16
KUCHING: Kerajaan sedang mengkaji untuk melantik lebih banyak koperasi yang beroperasi di Sarawak bagi mengedar dan menjual barangan keperluan ke kawasan pedalaman negeri ini sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan masyarakat itu membeli barangan keperluan harian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, 286 peruncit dan 26 pengedar dilantik setakat Jun 2010 untuk ‘Projek Pengedaran Barang Perlu’ membabitkan 104 kawasan pengedaran di Sarawak, dengan satu koperasi iaitu Koperasi Kampung Bunan dalam mengedarkan barangan keperluan di Serian. “Cadangan untuk membabitkan lebih banyak lagi koperasi dalam projek ini sedang diteliti,” katanya di sini, semalam. Rohani berkata, selain di Serian, kerajaan mengkaji kemungkinan melantik Koperasi Song Kapit untuk mengedarkan barangan keperluan di daerah Song.
Selain barangan keperluan, Rohani berkata, di bawah ‘Projek Penyeragaman Harga’ gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 410 peruncit dan 43 pengedar dilantik yang membabitkan 115 kawasan di Sarawak.

“Pada ketika ini, kita cuba memperluaskan semua kawasan luar bandar di Sarawak bagi memastikan tidak ada kawasan yang terlepas dalam projek ini,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi keberkesanan projek itu supaya masyarakat pedalaman tidak dibebani harga barangan keperluan yang tinggi, beliau berkata kerajaan meletakkan syarat bagi pembekal dan pengedar dalam ‘Projek Pengedaran Barang Perlu.’ – BERNAMA

Tiga jenis visa saring kemasukan warga asing

PUTRAJAYA 15 Ogos 2010 - Semua warganegara asing yang memasuki negara ini akan disaring melalui tiga jenis visa yang perlu dimiliki setelah kemudahan visa sewaktu ketibaan (VOA) dimansuhkan mulai esok.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tiga jenis visa itu adalah visa dengan rujukan, tanpa rujukan dan tanpa visa.

Katanya, melalui tiga jenis visa tersebut, ia akan memudahkan Imigresen membuat penyaringan lebih teliti melalui syarat-syarat visa berbanding VOA yang dikeluarkan sewaktu mereka tiba di pintu masuk.

''Sistem tiga jenis visa ini sudah dipraktikkan sebelum VOA diperkenalkan, jadi kita kembali kepada sistem asal kerana ia lebih menjamin keselamatan bagi mengelak mereka menyalahgunakan visa itu.

''Visa dengan rujukan diberikan kepada mereka yang ditaja oleh seseorang seperti majikan, visa tanpa rujukan pula adalah mereka yang perlu membuat permohonan dengan Pejabat Perwakilan Malaysia di negara masing-masing.

''Tanpa visa pula hanya diberikan kepada negara anggota ASEAN. Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, tempoh tinggal visa dengan rujukan boleh dilanjutkan sebulan demi sebulan sehingga tiga kali berbanding visa tanpa rujukan yang hanya boleh dilanjutkan sekali sahaja.

''Kita percaya dengan sistem tiga visa ini, negara dapat membendung penyalahgunaan visa dan kemudahan kawalan pintu masuk.

''Ini kerana masa saringan VOA terlalu pendek, tidak sampai setengah jam sahaja mereka boleh memilikinya tanpa kita dapat memeriksa rekod mereka terlebih dahulu sekiranya pernah tinggal melebihi masa," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak mahu masyarakat keliru dengan istilah visa dengan pas masuk.

''Visa berbeza dengan pas yang dikeluarkan kepada golongan tertentu seperti pas pelajar, pas lawatan sosial, pas lawatan kerja sementara, pas iktisas, pas penggajian, pas tanggungan dan pas transit.

''Tempoh yang dibenarkan tinggal di negara ini adalah berbeza mengikut pas-pas tersebut dan mereka juga ramai yang membuat kesalahan tinggal lebih masa," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, Jabatan Imigresen akan membangunkan sistem terbaru yang dikenali MYIMMS yang mampu mengenal pasti jumlah warganegara asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini mulai 1 Disember ini.

''Keseluruhan sistem Jabatan Imigresen selepas ini akan menggunakan MYIMMS seperti sistem permit masuk, keselamatan dokumen dan penguatkuasaan selain dokumen keselamatan dan sistem kawalan pintu masuk," katanya.

Thursday, August 12, 2010

Kerajaan digesa kaji beri guru kuasa polis tambahan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/08/12
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji semula cadangan untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin di sekolah yang pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 1997.

Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (KONGRES), Jemale Paimen, berkata peruntukan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin adalah relevan dengan perkembangan gejala disiplin pelajar sekolah yang kian serius akibat penularan pengaruh kumpulan samseng. Katanya, dengan adanya kuasa polis tambahan, peranan guru disiplin akan lebih digeruni pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius, di samping guru sendiri akan berasa lebih yakin untuk melaksanakan tanggungjawab berat mereka itu. Saya akan berusaha membangkitkan perkara ini dalam perjumpaan kesatuan guru dengan Ketua Pengarah Pelajaran tidak lama lagi, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Cadangan memberikan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin menjadi tumpuan ramai selepas Najib mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor pada 1997 bagi membincangkan isu masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah.

Laporan akhbar ketika itu memetik Najib sebagai berkata dengan adanya kuasa polis tambahan, guru disiplin boleh bertindak sama seperti seorang anggota polis, termasuk menahan pelajar yang terbabit dalam kegiatan bertentangan undang-undang.

Guru juga akan dilindungi undang-undang serta tidak boleh disaman bagi setiap tindakan yang dilakukan di sekolah. Bagaimanapun, kuasa itu terhad bagi kawasan tertentu, iaitu di sekolah saja seperti termaktub dalam Akta Polis 1967.
Sebelum ini, ada guru disiplin takut untuk bertindak kerana bimbang pelajar terbabit akan mengambil pelbagai tindakan seperti memukul atau mencalarkan kereta guru, kata Najib.

Terbaru, isu sama berbangkit apabila Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng dalam satu kenyataan, kelmarin, mahu guru yang menangani masalah disiplin sekolah diberi perlindungan keselamatan ekoran tindakan agresif segelintir pelajar yang berani mencederakan guru, terutama wanita.

NUTP menerima aduan mengenai kereta guru dicalar serta dikemekkan pelajar, dan kos baik pulih terpaksa ditanggung guru sendiri. Akhirnya, guru tidak berani bertindak kerana tiada pembelaan dan yang rugi adalah pelajar lain, kata Lok.

Wednesday, August 11, 2010

Kelantan lancar matawang syariah dinar, dirham

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU, 12 Ogos 2010: Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, hari ini di di bawah kepemimpinan ulama sekali lagi dicetus sejarah apabila melancar pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC).

Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

(Gambar: Tuan Guru menyampaikan logo dinar kepada peniaga yang menerima mata wang dinar dirham untuk jual beli.)


Pada majlis perasmian terbabit Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan dinar dan dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan Tabung Haji.

Matawang Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk pembayaran gaji, zakat, mas kahwin dan perniagaan.

Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.

Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.

Pada majlis pelancaran itu, sejumlah RM100,000 telah dibeli orang ramai.

Tuesday, August 10, 2010

Akademi tangani jenayah rentas sempadan ditubuh

LANGKAWI 10 Ogos 2010 - Sebuah pusat latihan bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi keselamatan akan ditubuhkan bagi menangani isu serta ancaman jenayah rentas sempadan tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, akademi itu bertujuan mewujudkan kefahaman antara KDN dan agensi keselamatan berhubung persekitaran, keselamatan domestik, serantau dan global.

Beliau berkata, akademi itu akan berpusat di Langkawi International Shooting Range (Lisram) berhampiran Kuah di sini, yang berkeluasan lebih 200 hektar.

"Jenayah rentas sempadan termasuklah jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran, penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, penyeludupan dadah, antikeganasan, senjata biologi, bahan letupan dan jenayah siber.

"Pusat ini diharap mampu menjalankan penyelidikan mengenai cabaran dan trend isu-isu jenayah rentas sempadan semasa dan mengenal pasti bentuk ancaman jenayah ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin atasan KDN, agensinya dan kepimpinan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Lisram, hari ini.

Hishammuddin berkata, berdasarkan perancangan awal, akademi atau pusat latihan berkenaan akan menyediakan dan melaksana program latihan serta bina upaya yang melibatkan kelas serta perbincangan, kajian kes dan soal selidik.

Beliau berkata, akademi itu akan dijadikan hab penyelidikan domestik dan antarabangsa berhubung isu rentas sempadan.

Katanya, akademi itu akan memiliki kemudahan asas seperti zon sukan dan rekreasi, kediaman, pentadbiran, simulasi serta latihan amali dan zon akademik.

"Ia akan ditadbir urus oleh seorang pengarah serta beberapa orang ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada wakil-wakil dari sektor kerajaan serta pakar-pakar dalam bidang keselamatan yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan.

"Pusat latihan ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN yang bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri," katanya.

Hishammuddin berkata, akademi itu diharap memainkan peranan yang kritikal dalam mewujudkan peluang latihan kelas pertama, menghasilkan kajian yang boleh dijadikan bahan rujukan serta menjalankan hubungan kerjasama antara agensi secara bersepadu.

"Pusat latihan ini juga perlu membina hubungan strategik dengan pakar-pakar serta agensi-agensi keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk agensi risikan dari seluruh dunia," katanya. - Bernama

Dalam perkembangan lain, beliau mengulas penahanan tokoh ulama Indonesia Abu Bakar Baasyir yang didakwa terbabit dengan kumpulan Al-Qaeda dan berkata kementeriannya telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Keseriusan di sini tidak kritikal, tapi mengikut prosedur dua hala dengan negara jiran, kita dah buat perancangan tertentu yang memerlukan kita lebih peka, prihatin dan membuat pemantauan terhadap beberapa individu," katanya.

Polis antikeganasan Indonesia telah menahan Abu Bakar, yang kini memimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid, pada 8.15 pagi semalam di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat bersama lima pengikutnya, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. - BERNAMA

Monday, August 9, 2010

SPRM jalin kerjasama dengan dewan perniagaan

2010/08/10
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan beberapa dewan perniagaan dan perdagangan di negara ini bagi membantu memperkukuhkan etika perniagaan dan tadbir urus yang baik di kalangan anggota pertubuhan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata selain Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), pihaknya kini pada peringkat perbincangan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia serta Dewan Perniagaan dan Perdagangan India Malaysia. “Kesedaran mengenai risiko ditahan kerana memberi rasuah perlu disampaikan kepada pihak terbabit dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Mereka juga perlu faham kesalahan yang dilakukan pemberi rasuah itu sama berat dengan pihak yang menerima. “Menerusi kerjasama strategik seumpama ini juga, sebarang sistem dan prosedur kerajaan yang membuka ruang kepada amalan rasuah akan diperincikan dan seterusnya disalurkan semula kepada kerajaan untuk tujuan penambahbaikan,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan ACCCIM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Abu Kassim yang mewakili SPRM, manakala ACCCIM pula diwakili Presidennya, Tan Sri William Cheng Hen Jem.

Abu Kassim berkata, usaha seperti ini dirangka untuk memastikan persekitaran perniagaan tanpa rasuah diwujudkan, keuntungan jangka panjang dapat dinikmati, nilai kejujuran, integriti dan menyemai sikap bertanggungjawab.

Beliau berkata, antara Januari 2009 hingga Jun lalu, SPRM menerima 2,217 maklumat mengenai rasuah membabitkan sektor swasta, perniagaan dan perindustrian.
“Daripada jumlah itu, 233 kertas siasatan dibuka dan 136 ditahan dengan 44 daripadanya dituduh atas kesalahan rasuah,” katanya.

Mengenai MoU dengan ACCCIM, beliau berkata, suruhanjaya itu berharap ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah dalam pertubuhan di bawah naungan ACCCIM dapat ditutup dan dicegah.

“SPRM juga sedia membantu ACCCIM dan ahlinya membangunkan Integriti Pack dalam urusan perolehan dan bekerjasama dengan memberi latihan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Cheng mahu kerajaan memberi perhatian kepada pegawai yang bertanggungjawab meluluskan sebarang permohonan projek atau pemberian tender bagi mengelak amalan rasuah dalam sektor awam.

“Jika ada kes yang dikenal pasti pula, sepatutnya pejabat Peguam Negara bertindak mempercepatkan kes itu dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Projek MSAFE diperluas ke 39 PBT

2010/08/10
PUTRAJAYA: Projek perintis MSAFE atau Malaysia Selamat di Putrajaya dan Cyberjaya akan diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta sebagai strategi bersepadu membanteras jenayah jalanan secara lebih berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 39 PBT setakat ini untuk bekerjasama meningkatkan keselamatan kawasan setempat dan 149 PBT lagi dalam perbincangan. Selain itu, katanya, sebanyak 26 pemaju perumahan pula sudah menghubungi kementerian untuk membangunkan hartanah dengan menggabungkan konsep bandar selamat itu. “Tumpuan saya seterusnya ialah pelaksanaan konsep bandar selamat bagi Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di mana kita turut menggalakkan pembabitan Singapura,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran MSAFE oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, di sini, semalam.

Hadir sama, pada majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu ialah Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa.

Projek MSAFE Putrajaya dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Dalam Negeri, polis serta Perbadanan Putrajaya manakala TM bertindak selaku pengendali Sistem Respons Kecemasan Malaysia (MERS 999) dan Sistem Respons Kecemasan Nasional.

Ia merangkumi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan pemetaan digital, yang membolehkan Pusat Kawalan Perbadanan Putrajaya dan pegawai polis mengendalikan kedua-dua sistem itu melihat secara langsung kejadian atau insiden yang dilaporkan serta mengambil tindakan bersesuaian.
MSAFE Putrajaya pada dasarnya mengintegrasi sistem MERS 999 dengan kamera litar tertutup (CCTV), GIS dan pemetaan digital, sekali gus mewujudkan pusat pemantauan bersepadu menepati konsep bandar pintar dan selamat.

Hishammuddin berkata, pemaju yang melabur antara RM1.5 juta hingga RM2.5 juta bagi menambah baik ciri keselamatan hartanah mereka, umpamanya di Ara Damansara, dapat meningkatkan harga jualan rumah kerana pembeli menilai aspek keselamatan yang ditawarkan.

Malah, katanya, pemaju seperti Sime Darby mahu menggunakan konsep MSAFE di 10 lagi kawasan perumahan yang dibangunkan mereka kerana yakin dengan nilai tambah dalam aspek keselamatan, sekali gus memastikan kadar jenayah kawasan setempat berkurangan.

Rais pula berkata MSAFE, yang menggabungkan penggunaan CCTV kepada MERS 999, memantapkan lagi operasi empat pengendali perkhidmatan kecemasan iaitu pihak polis, bomba dan penyelamat, hospital serta Pertahanan Awam, yang mana masa tindak balas dapat disingkatkan sehingga 10 minit selepas sesuatu panggilan kecemasan diterima.

Katanya, MSAFE Putrajaya dibangunkan dengan kos RM2.2 juta, lebih kurang sama dengan MSAFE Cyberjaya dan RM344 juta diperuntukkan bagi memperluaskan MSAFE ke seluruh negara dengan menggunakan dua projek perintis itu sebagai asas.

Wednesday, August 4, 2010

JAIS rancang wujudkan jawatan pengurus masjid

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/08/05
Gaji permulaan ditawar RM2,500 berkuat kuasa 2012

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mewujudkan jawatan pengurus masjid di negeri itu yang akan menikmati skim gaji Gred S41 dengan tangga gaji permulaan kira-kira RM2,500. Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata pengurus masjid yang akan bertugas sepenuh masa itu berbeza dengan nazir yang menerima lantikan secara kontrak selama tiga tahun dan hanya menerima elaun RM200 sebulan. Katanya, JAIS sudah mengemukakan cadangan yang dijangka dilaksanakan mulai 2012 itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pihak MAIS secara dasarnya bersetuju dengan langkah yang dicadangkan.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengatasi masalah nazir masjid yang gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, termasuk isu menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik.

“Sebagai permulaan, pengurus masjid akan dilantik di Masjid Diraja dan daerah terlebih dulu untuk dinilai keberkesanannya sebelum ia diperluaskan ke seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu purata 30 anggota jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor termasuk nazir, bendahari dan imam meletak jawatan setiap bulan disebabkan tiada persefahaman sesama mereka.
Katanya, perkara itu mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pemilihan AJK yang dibuat menerusi mesyuarat agung atau berhubung pelaksanaan projek, sumbangan serta ketiadaan kerjasama antara mereka menyebabkan ada yang menjalankan tugas orang lain.

Sebelum ini, seramai 15 nazir masjid di Selangor turut diberi amaran keras kerana mengingkari arahan melarang mana-mana pihak menggunakan masjid di negeri itu sebagai tempat berpolitik khasnya oleh parti politik.

Mohammed Khusrin berkata, ketika ini nazir di negeri itu dilantik secara sambilan daripada pelbagai latar belakang pekerjaan menyebabkan mereka gagal memberi tumpuan untuk menguruskan masjid kerana sibuk dengan pelbagai urusan.

Ada dikalangan mereka mempunyai pelbagai tugas lain sehingga tidak dapat menumpukan tugas sebagai nazir yang diamanahkan kepada mereka.

“Kontrak lantikan semua nazir di Selangor ketika ini ialah sehingga 2012. Jadi, selepas tamat tempoh kontrak itu dan jika semuanya berjalan lancar, lantikan seorang pengurus masjid akan dibuat.

“Singapura sudah lama mempraktikkan kaedah ini dan ia terbukti berkesan. JAIS berpendapat kita mesti cuba kaedah ini di negara kita dan kalau ia berjaya Selangor menjadi negeri pertama melantik pengurus masjid di negara ini selain dapat memantapkan fungsi masjid,” katanya

Pegawai JPJ diarah bawa RM50 elak rasuah

2010/08/05
KUALA TERENGGANU: Semua pegawai dan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri diarah mengisytiharkan wang dan barangan dimiliki setiap hari sebelum keluar menjalankan tugas, dan hanya dibenarkan membawa wang tunai tidak lebih RM50 sehari.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata ketua unit akan melakukan pemeriksaan termasuk memastikan semua pegawai dan anggota mengisytiharkan pemilikan mereka sebelum dan selepas keluar bertugas. “Perisytiharan harta setiap hari ini untuk memastikan mereka bersih daripada gejala rasuah. “Setakat ini tiada kes rasuah atau menerima duit belanja kopi berlaku di kalangan pegawai serta anggota JPJ,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi bersepadu di Jalan Sultan Muhammad, di sini, semalam.

Tuesday, August 3, 2010

Sabah & Sarawak: Polisi pemberian insentif disemak

2010/08/04
KERAJAAN Sabah menyemak semula polisi pemberian insentif sedia ada khususnya bagi skim subsidi pembajakan sawah iaitu daripada RM100 bagi setiap 0.4 hektar kepada RM200 tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin, berkata pada masa sama, kerajaan turut memansuhkan had kelayakan maksimum setiap dua hektar kepada petani untuk menggalakkan pengusahaan tanah mereka. Katanya, kerajaan turut menaikkan harga pembelian benih padi daripada RM1 sekilogram kepada RM1.50 sekilogram bagi menggalakkan pengeluaran benih padi oleh pengusaha benih padi. "Kerajaan Persekutuan juga menyalurkan bantuan baja urea pada kadar empat beg bagi satu hektar dan baja sebatian pada kadar 10 beg setiap hektar.

"Sejak tahun lalu, kerajaan negeri sudah melaksanakan program mengikut Dasar Jaminan Bekalan Makanan dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan Persekutuan.

"Projek membuka dan memulih tanah terbiar serta pemulihan infrastruktur ladang seperti perparitan dan saliran yang dilaksanakan membolehkan lebih ramai pesawah mengusahakan tanah mereka," katanya menjawab soalan Au Kam Wah (BN-Elopura) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Yahya berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan ke arah meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini mendorong kepada peningkatan jumlah keluasan penanaman padi.
Pada 2008, katanya, jumlah keluasan penanaman padi adalah 37,448 hektar dan meningkat kepada 40,353 hektar tahun lalu.

"Perangkaan tahun ini belum disediakan kerana penanaman padi dilaksanakan hingga akhir tahun.

"Bagaimanapun, dianggarkan seluas 43,000 hektar tanaman padi diusahakan tahun ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 986 hektar disumbangkan kawasan tanah sawah padi terbiar yang dibangunkan menerusi projek pemulihan tanah sawah terbiar oleh Jabatan Pertanian," katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastuktur, Datuk Japlin Akim, berkata projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Solar Hibrid Kampung Tambisan Darat dan Kampung Tambisan Laut dilaksanakan 1 Julai lalu dan dijangka siap Januari 2012.

"Apabila siap kelak, sebanyak 180 rumah dan bangunan akan menikmati bekalan elektrik. Projek ini ditawarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada Syarikat Kinabalu Power Sdn Bhd.

"Bagi Kampung Tanjung Labian, projek ini tersenarai dalam cadangan projek BELB Sistem Solar Hibrid pada 2011," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Suhaili Said (BN-Tungku).

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan pula berkata, kerajaan melaksanakan beberapa projek bagi menangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar Kota Kinabalu.

"Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementerian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menyiapkan beberapa projek dalam program Skim Pencegahan Banjir di Kota Kinabalu yang memanfaatkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu.

"Program Rancangan Tebatan Banjir Bandaran Sungai Telipok juga berjaya mengurangkan kekerapan dan kejadian banjir di Telipok dengan perbelanjaan kira-kira RM21.53 juta dalam RMK-9.

"Menerusi Kerajaan Persekutuan pula, JPS melaksanakan program Rancangan Tebatan Banjir Sungai Darau, Menggatal dengan kos RM38.9 juta dalam RMKe9," katanya menjawab soalan Datuk Liew Teck Chan (SAPP-Likas).

Bobbey berkata, dalam RMKe-10, JPS mengemukakan permohonan berjumlah RM220 juta dan diperakui Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Menggatal, Sungai Gudon, Sungai Telipok Selatan dan Sungai Miliwat dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu," katanya.

25 projek pembetungan siap hujung tahun

2010/08/04
PUTRAJAYA: Sebanyak 25 projek pembetungan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang membabitkan peruntukan sebanyak RM274.5 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dijangka disiapkan menjelang hujung tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata 25 projek itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 63 projek sepanjang RMKe-9 yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM3.53 bilion. Katanya, sehingga Jun lalu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan sudah membelanjakan RM2.97 bilion daripada semua peruntukan berkenaan. "Daripada 63 projek itu, 25 akan siap penghujung tahun ini manakala sembilan lagi akan disambung dalam RMKe-10," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga kementerian dan agensi di sini, semalam.

Katanya, antara projek pembetungan utama dalam RMKe-9 yang siap ialah pembinaan 14 sistem pembetungan serantau merangkumi pembinaan 11 loji rawatan kumbahan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis manakala tiga projek pembinaan loji rawatan enap cemar di Selangor, Melaka dan Kedah.

Beliau berkata, kira-kira enam juta penduduk akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan semua projek pembetungan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berhadapan masalah pelaksanaan projek rangkaian paip pembetungan di Kuala Sawah, Seremban apabila kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek berkenaan.
"Kementerian memandang serius rungutan dan aduan penduduk kesan daripada projek terbengkalai ini. Justeru, kontraktor penyelamat sudah diarahkan untuk menyiapkan projek berkenaan," katanya.

Mengenai masalah bekalan air di Labuan, Chin berkata, pihaknya bercadang memproses sisa dari loji rawatan kumbahan di Ranca-Ranca, Labuan kepada air bersih untuk kegunaan industri bagi mengatasi masalah bekalan air di pulau itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum bercadang untuk menggunakan kaedah itu bagi kegunaan harian penduduk.

Kekurangan taburan hujan di Labuan sejak pertengahan 2009 menyebabkan masalah bekalan air di pulau itu bertambah serius dan bekalan ke kampus Universiti Malaysia Sabah di situ juga terjejas.

Monday, August 2, 2010

Denda RM5 juta, penjara 10 tahun

KUALA LUMPUR 2 Ogos 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin pengusaha kopitiam tidak akan berani lagi mempamerkan sijil dan logo halal tidak sah apabila kerajaan memperkenalkan undang-undang baru yang lebih berat hukumannya.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini, akan membolehkan hukuman lebih berat itu dikenakan jika syarikat yang memiliki kopitiam terbabit dan pihak-pihak lain berterusan mengulangi kesalahan sama.

''Akta sedia ada hanya mengenakan hukuman ringan iaitu denda sehingga RM100,000 bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

''Dengan pindaan tersebut, hukuman ini akan dinaikkan kepada RM500,000 untuk individu dan RM1 juta kepada syarikat atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

''Jika kesalahan ini diulangi, pihak berkenaan akan didenda sehingga RM1 juta bagi individu dan RM5 juta bagi syarikat atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 pada sidang Dewan Negara hari ini.

Mengulas jaminan syarikat Bahtera Lagenda Sdn. Bhd. baru-baru ini untuk menyelesaikan proses pemberian status halal dalam tempoh selewat-lewatnya sebulan, Ismail Sabri menjelaskan, syarikat swasta tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil dan logo halal berkenaan selepas APD 1972 dipinda.

''Selepas pindaan ini, hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri yang berkuasa berbuat demikian dan pengesahan halal yang dikeluarkan syarikat swasta tidak akan diiktiraf oleh kerajaan," jelasnya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan tidak akan melaksanakan cadangan pelbagai pihak sebelum ini supaya pengeluaran sijil dan logo halal digantikan dengan sijil dan logo tidak halal kerana menghadapi masalah dari segi pelaksanaan.

''Jika ini dilakukan maka sijil dan logo halal tidak lagi dikeluarkan kerana semua barangan yang dijual di negara ini dianggap halal kecuali yang mempunyai sijil dan logo tidak halal.

''Pelaksanaan langkah ini akan menyebabkan semua hotel dan restoran Jepun akan dikategorikan sebagai tidak halal kerana ia menghidangkan arak dan ini akan menyusahkan umat Islam apabila mereka dilarang sama sekali mengunjunginya," ujar beliau.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 diluluskan hari ini selepas dua hari dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Rang undang-undang itu bertujuan melindungi pengguna daripada terma tidak adil dalam sesuatu kontrak yang biasanya memihak atau menguntungkan pihak yang menyediakan terma berkenaan.

Kebiasaannya kontrak yang mempunyai terma tidak adil melibatkan perjanjian melanggan perkhidmatan talian telefon, saluran televisyen, perkhidmatan Internet, keahlian pusat kesihatan atau gimnasium, tiket tempat letak kereta dan agensi pekerjaan.

Rang undang-undang itu akan memperkenal Jawatankuasa Pengiklanan untuk memantau dan menentukan kesahihan dan integriti maklumat diberikan oleh iklan berkenaan

Larangan masuk lebuh raya PLUS dikuat kuasa

2010/08/03
KUALA LUMPUR: Peraturan melarang kenderaan berat Kelas Dua dan Kelas Tiga (lori melebihi enam tayar) memasuki Lebuh Raya Plus Expressway Berhad (PLUS) selama tiga jam mulai jam 6.30 pagi, kecuali Sabtu, Ahad dan cuti am, mula dikuatkuasakan semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati polis trafik mula mengadakan operasi di Jalan Duta, Jalan Kuching dan berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi serta mengeluarkan enam saman antara jam 7 pagi hingga 9.30 pagi. Peraturan baru itu bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di laluan berkenaan. Kompaun sehingga RM300 dikenakan terhadap pemandu melanggar peraturan itu dan jika gagal membayarnya, mereka boleh dihadap ke mahkamah mengikut Seksyen 70 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali. Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaafar baru-baru ini dilaporkan berkata, larangan itu membabitkan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) di antara Shah Alam dan Jalan Duta; Lebuh Raya Utara Selatan (NSE) di antara Sungai Buloh dan Bukit Lanjan serta Lebuh Raya Persekutuan Laluan Dua (FHR2) di antara Subang dan Sungai Rasau.

Langkah itu dilaksanakan berikutan kajian mendapati jumlah kenderaan berat yang rosak adalah tiga kali ganda lebih besar daripada kenderaan ringan dan situasi ini biasanya memberi kesan besar kepada kesesakan lalu lintas, khususnya pada waktu puncak

VOA dibatalkan – TPM

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 2 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk membatalkan kemudahan visa sewaktu ketibaan (VOA) yang sebelum ini diberikan kepada pelancong asing daripada beberapa buah negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi mengelakkan penyalahgunaan visa tersebut di kalangan segelintir pihak yang memasuki negara ini.

‘‘Kita kekalkan keputusan kita iaitu tidak lagi menggunakan VOA kerana pada masa-masa lepas kita ada memberi kelonggaran kepada beberapa buah negara iaitu apabila pelawat yang datang dari negara itu mereka tidak ada visa, ia boleh dikeluarkan ketika mereka masuk di pintu masuk ke Malaysia.

‘‘Ini kita lihat berlaku kes penyalahgunaan dan sebagainya, kita setuju VOA dibatalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam.

VOA diperkenalkan pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 sebagai satu mekanisme menggalakkan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.

Negara yang diberikan kemudahan tersebut antaranya China, India, Bhutan, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Taiwan dan Kepulauan Comoros.

Kerajaan kemudiannya mengambil keputusan menggantung kemudahan VOA kepada pelancong dari India, Pakistan dan Bangladesh ekoran berlaku banyak penyalahgunaan sehingga timbul masalah pendatang asing tanpa izin.

Statistik menunjukkan sehingga 2009, jumlah warga asing yang tinggal lebih masa dengan menggunakan VOA adalah seramai 75,462 orang atau 28 peratus daripada 271,391 pemegang visa tersebut yang kebanyakannya dari India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan China.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat tersebut bersetuju agar langkah-langkah menangani pekerja asing tanpa izin dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.

‘‘Pada peringkat ini, kita menyediakan satu sistem yang mampu menjadi penyelesaian total iaitu bermula daripada pendaftaran sehingga penguatkuasaan diperkukuhkan.

“Setakat ini kerajaan bersetuju dengan enam langkah yang diambil bagi mengatasi masalah PATI di samping 29 syor daripada makmal pengurusan warga asing yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 19 lagi syor memerlukan kajian lanjut manakala dua lagi digugurkan.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menubuhkan sebuah sekretariat tetap melibatkan pelbagai agensi berkaitan sebagai satu mekanisme untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif makmal.

‘‘Pada peringkat awal seramai 12 pegawai daripada pelbagai agensi akan ditempatkan di sekretariat tetap itu untuk melihat bagaimana perakuan makmal dapat dilaksanakan,” katanya.

Mengenai cadangan pemutihan, beliau berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan selepas kerja-kerja pentadbiran diselesaikan iaitu membabitkan pengemaskinian data dan pemasangan sistem biometrik di semua pintu masuk negara.

‘‘Setelah dipasang sistem itu, baru boleh ambil langkah pemutihan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan menolak dua syor makmal itu melibatkan cadangan tidak membenarkan restoran mamak beroperasi 24 jam dan syor penghapusan amalan perniagaan pertukaran barangan terutama di Sabah dan Sarawak.