Thursday, May 27, 2010

Laman web mudahkan pembeli rumah di Kedah

ALOR SETAR 27 Mei 2010 - Kerajaan Kedah akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) cawangan Kedah/Perlis untuk membuka laman web bagi kemudahan rakyat negeri ini.

Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir. Pahrolrazi Zawawi berkata, laman web itu akan memaparkan maklumat mengenai rumah-rumah yang sedang dalam pembinaan yang telah siap dibina dan sedia untuk dijual.

"Kita telah berbincang mengenai hal ini dengan pihak Rehda dan pihak kami sedang mengumpul data-data untuk dimasukkan ke dalam lama web tersebut.

"Laman web tersebut akan dibangunkan secepat mungkin untuk memberikan maklumat segera kepada rakyat yang ingin membeli rumah mengikut kemampuan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ekspo Perumahan Malaysia (Mapex) 2010 peringkat negeri Kedah di Alor Star Mall di sini hari ini.

Menurut Pahrolrazi, dengan wujudnya laman web tersebut, rakyat yang berminat untuk membeli rumah di satu-satu kawasan tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapatkan maklumat mengenai rumah tersebut.

"Sekarang ini, pemaju hanya memasang papan tanda mengenai rumah-rumah yang akan dibina apabila kelulusan telah diperoleh daripada kerajaan negeri.

"Cara ini agak lambat dan selepas ini dengan adanya laman web ini, rakyat boleh mengakses data mengenai rumah-rumah di negeri ini dengan pantas," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga mahu lebih ramai rakyat di negeri ini mampu memiliki rumah sendiri dan menggalakkan pemaju untuk membina rumah kos rendah yang mampu dimiliki oleh mereka yang kurang berkemampuan.

"Selain daripada membina rumah yang berharga ratusan ribu ringgit, pihak pemaju perlu membina rumah kos rendah untuk rakyat negeri ini kerana kerajaan mahu semua rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri," jelasnya.

SPRM papar maklumat lengkap pesalah rasuah

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Faridzwan Abdul Ghafar
bhnews@bharian.com.my
2010/05/28
Usaha didik, pupuk kesedaran orang ramai elak sogokan

PUTRAJAYA: Maklumat lengkap individu yang sudah dibuktikan kesalahan serta dijatuhkan hukuman kerana melakukan rasuah mula dipaparkan untuk maklumat awam dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai Selasa lalu sebagai satu usaha mendidik dan memupuk kesedaran kesan perlakuan rasuah terhadap rakyat dan negara. Setakat semalam, 108 maklumat lengkap kes dan individu yang didapati bersalah dipaparkan dalam laman web berkenaan yang dihubungkan terus melalui Pangkalan Data Pesalah Rasuah SPRM, manakala gambar mereka akan dipaparkan bersama maklumat berkenaan menjelang bulan depan. Ia termasuk maklumat kes rasuah berprofil tinggi membabitkan Exco kerajaan negeri, pemimpin politik dan ahli akademik. Antara maklumat yang dipaparkan dalam pangkalan data itu adalah bacaan pertuduhan, hukuman yang dikenakan, pekerjaan pesalah dan tempat pesalah rasuah bekerja.

Pengarah Bahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisyam Nordin, maklumat dipaparkan tiga tahun saja bagi memberi peluang kepada pesalah insaf terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Ia bukan untuk menjatuhkan maruah pesalah. seba liknya sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai akibat jika mereka mengamalkan rasuah.
Keputusan dibuat selepas perbincangan dengan pegawai tertinggi agensi penguatkuasa kerajaan yang terbabit dalam NKRA Rasuah dan mendapat kebenaran Pejabat Peguam Negara.
“Sebelum ini, SPRM hanya memaparkan nama dan nombor kad pengenalan pesalah, tetapi kali ini kita memuatkan hampir semua maklumat mengenai pesalah untuk `menggerunkan’ orang ramai akibat yang bakal diterima jika terbabit dalam kesalahan rasuah. Kita mensasarkan memuatkan gambar pesalah menjelang Jun bagi menambahkan kesan psikologi terhadap orang awam agar tidak lagi mengamalkan rasuah,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Hisyam berkata, pihaknya berharap langkah itu dapat meningkatkan integriti rakyat Malaysia sama ada di kalangan pegawai kerajaan, swasta dan orang awam seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain bagi memerangi rasuah.

Sementara itu, beliau berkata, 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2012.

“Semua mahkamah berkenaan akan disiapkan secara berperingkat mengikut negeri yang ditetapkan dan kita berharap penubuhan mahkamah ini dapat mempercepatkan perbicaraan kes rasuah dalam masa setahun,” katanya

Monday, May 24, 2010

Rakyat boleh isi borang banci melalui e-Census

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2010 - Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini, orang ramai buat pertama kalinya boleh mengisi sendiri soal selidik secara dalam talian atau e-Census untuk Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof berkata, mereka boleh menggunakan ID dan kata laluan yang dibekalkan melalui laman web www.statistics.gov.my.

Beliau berkata, e-Census merupakan salah satu daripada dua kaedah baru pengumpulan data yang diperkenalkan untuk memudahkan penduduk yang tinggal di bandar yang bekerja dan sukar ditemui pada hari-hari bekerja.

"Satu lagi ialah drop-off and pick up iaitu kaedah meninggalkan Kit Banci untuk responden mengisi sendiri dokumen berkenaan serta pembanci akan kembali pada tarikh yang dipersetujui untuk mengambil semula dokumen yang telah lengkap diisi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, pembancian akan dijalankan dari 6 Julai hingga 22 Ogos tahun ini, yang akan melibatkan 36,000 pembanci dan 3,000 penyelia, membabitkan kira-kira 29 juta penduduk Malaysia atau 18.97 peratus peningkatan berbanding dengan bancian kali terakhir pada 2000.

"Saya berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pembanci yang datang ke kediaman mereka untuk menjalankan pembancian," tambahnya. - BERNAMA

Friday, May 21, 2010

Bina 1,320 rumah kos rendah

Oleh MUHAMMAD RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 21 Mei - Sebanyak 1,320 buah rumah kos rendah akan dibina kerajaan negeri menjelang 2012 bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, setakat ini projek yang dilaksanakan menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) itu sudahpun berjaya menyiapkan sebanyak 920 unit rumah manakala bakinya akan dibina dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, usaha itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat yang lebih baik dan berterusan.

"Ia menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat hal berkaitan kebajikan semua golongan rakyat terutamanya kepada yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah projek rumah pangsa lima tingkat PPR Sungai Putat di Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Perumahan Negara, Mohamad Yusoff Ghazali dan Pengarah Urusan Comfort Plus Sdn. Bhd., Borhan Md. Doya.

PPR Sungai Putat adalah projek yang dibangunkan oleh Jabatan Perumahan Negara merangkumi 336 unit rumah dengan membabitkan kos sebanyak RM46 juta.

Projek di kawasan seluas empat hektar itu merupakan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Comfort Plus Sdn. Bhd.

Ia yang mula dibina bulan ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2011.

Mohd. Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Tanah, Kewangan dan Perancang Ekonomi negeri berkata, PPR tersebut akan turut dilengkapi dewan orang ramai dan surau bagi memudahkan para penduduk melaksanakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

"Harga jualan bagi rumah PPR itu ditetapkan pada kadar RM35,000 seunit, iaitu lebih rendah dan berpatutan berbanding harga rumah dan jenis sama di pasaran yang berharga lebih RM80,000.

"Ini bermakna, secara tidak langsung, kerajaan telah memberi subsidi perumahan sehingga RM45,000 kepada golongan berpendapatan rendah," katanya.

Perak laksana empat langkah majukan sektor hartanah

IPOH 21 Mei 2010 - Kerajaan Negeri Perak melaksanakan empat langkah penting memastikan sektor hartanah di negeri ini terus berkembang dan kekal berdaya saing bagi melonjakkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah pertama ialah memberikan diskaun "blanket" sebanyak 45 peratus bagi premium tanah dan kedua, mengurangkan kadar penilaian hak milik berstrata dari 16 peratus kepada 10 peratus.

Katanya, kerajaan negeri turut meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menghapuskan syarat jaminan penyelenggaraan kemudahan awam selepas sijil layak menduduki (CF) dikeluarkan, sementara keempat, mengkaji paras harga rumah supaya ia boleh dibeli oleh warga asing di negeri ini melalui program "Malaysia Rumah Kedua.

"Kita sedia maklum sektor hartanah mempunyai nilai pembangunan antara RM700 juta hingga RM1 billion dan antara penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak. Ia juga mempunyai kaitan dengan lebih 140 sektor industri lain termasuk pengilangan dan logistik.

''Oleh itu, bagi menangani segala halangan untuk mengekalkan sektor hartanah, kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah tersebut memastikan ia terus berdaya saing," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon pada Ekspo Hartanah dan Perindustrian (Mapex) 2010 Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Perak, Datuk Francis Lee.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian untuk memajukan projek-projek yang bakal menjadi pemangkin dalam melonjakkan sektor hartanah di negeri ini.

Katanya, ini termasuk mengaktifkan semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini serta pembinaan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) baru di negeri ini.

"Beberapa sektor perindustrian di Manjung dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan pembangunan projek naik taraf jalan utama Manjung ke Taiping dan Jelapang ke Selama diharap membuka potensi kawasan-kawasan baru untuk dibangunkan," katanya.

Kompleks Angkatan Bersama bakal dibina

KUALA LUMPUR 21 Mei 2010 - Bagi mewujudkan satu markas strategik untuk tujuan latihan kompetensi bagi pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebuah Kompleks Angkatan Bersama akan dibina di Pangkalan Udara Subang, Selangor pada tahun depan.

Mantan Panglima Angkatan Bersama Lt. Jen. Datuk Wira Allatif Mohd Noor berkata, selain fungsi itu, kompleks terbabit akan turut digunakan sebagai pusat pentadbiran dan perencanaan operasi ketiga-tiga cabang ATM iaitu Tentera Laut, Darat dan Udara.

"Pada asalnya, idea projek ini telah diusulkan dua tahun lepas namun kerana kekangan kewangan ketika itu, ia terpaksa ditangguh.

"Namun kini saya difahamkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) bahawa apabila peruntukan diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), pembangunan projek terbabit akan dimulakan tahun depan dan dijangka disiapkan dua tahun lagi," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Bersama di sini hari ini.

Menurutnya, kompleks terbabit juga akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan termasuk dewan serbaguna, namun beliau enggan mendedahkan kos keseluruhan projek terbabit.

Allatif berkata, ketika ini pengurusan Angkatan Bersama dilakukan di sebuah bangunan, Kementerian Pertahanan sejak ia mula ditubuhkan pada 16 Julai 2007.

Angkatan Bersama adalah gabungan eksesais tiga cabang dalam ATM iaitu Tentera Laut, Darat dan Udara.

Contoh eksesais yang telah dilakukan adalah meletakkan anggota dan pegawai ATM dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan selain pelaksanaan Ops Pasir di Tawau, terutama yang melibatkan aspek operasi, logistik dan pentadbiran.

Terdahulu pada majlis itu, Panglima ATM Jen. Tan Sri Azizan Ariffin menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada Panglima Angkatan Bersama yang baru, Laksamana Madya, Datuk Jamil Osman.

Pada majlis itu juga, Allatif menyerahkan tugas kepada Jamil yang sebelum ini menjawat Ketua Staf Markas Angkatan Bersama.

Jamil ketika ditemui berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan pelbagai perancangan dalam Angkatan Bersama yang dirangka bagi memantapkan kerjasama kesemua cabang dalam ATM di bawah satu bumbung ini di masa depan. - Bernama

Peruntukan RM120j laksana PBR

KUCHING 20 Mei 2010 - Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM120 juta untuk melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negeri bagi tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, program tersebut dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan dianggarkan memberi manfaat kepada seramai 5,774 peserta di negeri ini.

''Bagi 2008 dan tahun lalu, seramai 1,329 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar telah menerima bantuan berjumlah RM43.2 juta," katanya pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai), Rosey Yunus (BN-Bekenu), Joseph Mauh Ikeh (BN-Tamin) dan Abu Seman Jahwie (BNJemoreng).

Jabu menambah, sehingga 10 Mei tahun ini, seramai 45,522 KIR telah didaftarkan di dalam sistem e-Kasih yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa melalui pendaftaran terbuka bagi memastikan tiada penduduk miskin yang tercicir.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak RM9.67 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) kepada seramai 955 orang peserta yang didaftarkan dalam sistem e-Kasih pada tahun lalu.

Katanya, bagi tahun ini pula, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi melaksanakan PPP dengan sasaran seramai 700 orang peserta.

Pada masa sama, tambahnya, sehingga Mei tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM73 juta bagi melaksanakan pelbagai jenis program bantuan bulanan untuk golongan miskin, miskin tegar dan mudah miskin.

''Jenis-jenis bantuan bulanan yang diberikan termasuk bantuan am, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja cacat dan bantuan orang tua.

''Secara keseluruhannya, bantuan-bantuan bulanan ini telah memanfaatkan 34,269 peserta," katanya.

Tuesday, May 18, 2010

Infrastruktur jelapang padi dinaik taraf

PENDANG 18 Mei 2010 - Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan jelapang padi sedia ada bagi meningkatkan pengeluaran supaya tidak lagi bergantung kepada beras import pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, ini berikutan infrastruktur di kawasan jelapang padi negara seperti di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang berusia lebih 30 tahun sudah ketinggalan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan hasrat untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi sukar direalisasikan.

"Dasar kerajaan pada masa ini mengutamakan jelapang padi sedia ada dan tidak membuka yang baru sebab mahu menaik taraf infrastruktur pertanian di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan sempena lawatan kerja ke kawasan Parlimen itu hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan kerajaan kepada para petani.

Mohd. Johari berkata, bagi memastikan usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi menjadi kenyataan, kementerian itu turut memberi fokus untuk menambah keluasan projek estet padi.

Sehubungan itu jelasnya, PPK di seluruh negara akan digerakkan untuk memberi penerangan kepada para pesawah supaya menyertai projek berkenaan yang terbukti mampu meningkatkan hasil keluaran padi menerusi amalan pengurusan perladangan yang baik.

Menerusi program pertanian secara berkumpulan itu, menurutnya, para peserta berjaya mencapai matlamat pengeluaran antara lapan hingga 10 tan metrik padi sehektar berbanding sekitar 6.5 tan metrik sehektar jika diusahakan bersendirian.

"Di Kedah misalnya, fokus untuk menambah keluasan estet padi tidak hanya tertumpu di kawasan MADA," katanya.

Tambah beliau, kementerian itu juga akan mengkaji semula dasar sedia ada agar lebih banyak jentera pertanian dapat digunakan oleh petani bagi membantu mereka meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Tabung Haji tubuh Kelab Taha@U

Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my
2010/05/19

SERI PADUKA menandatangani replika Batu Bersurat tanda perasmian majlis pecah tanah Kompleks Tabung Haji Terengganu di Kuala Nerus, Gong Badak, semalam. Turut serta Jamil Khir, Ahmad Said, Ismee (kanan) dan Abi Musa (tiga dari kiri).Kerjasama kementerian, BH galak penuntut IPT menabung

KUALA TERENGGANU: Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Berita Harian menubuhkan Kelab Taha@U bagi meningkatkan lagi semangat menabung di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata TH mensasarkan 50,000 pelajar IPT di seluruh negara akan menjadi ahli Kelab Taha@U dengan jangkaan kutipan simpanan sebanyak RM2.5 juta bagi tahun pertama penubuhannya. Katanya, Kelab Taha@U adalah kesinambungan kepada Kelab TaHa yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu yang berjaya menarik lebih 400,000 ahli di kalangan pelajar berusia antara tujuh hingga 17 tahun dengan jumlah simpanan lebih RM250 juta.

"Kelab ini ditubuhkan atas kesedaran pentingnya generasi muda di IPT menabung sejak usia muda dan mempunyai wawasan pada masa depan. Ia menjadi landasan bagi TH untuk meneruskan lagi tanggungjawabnya kepada masyarakat serta membantu kerajaan membentuk modal insan bersahsiah tinggi serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

"Kewujudan kelab Taha@U akan membantu TH mencapai sasaran Pelan 50 TH iaitu menjadikan 50 peratus penduduk Islam di seluruh negara sebagai pendeposit menjelang 2012," katanya berucap merasmikan Pelancaran Kelab Taha@U di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Mohamed Nor; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mahfar Ali dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh.
Semua aktiviti berkaitan Kelab Taha@U akan dimuatkan dalam akhbar ini terutama menerusi sisipan Varsiti yang dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 14 Januari lalu. Sisipan Varsiti diterbitkan pada setiap Khamis.

Akhbar sisipan Varsiti ini mendapat sokongan penuh Kementerian Pengajian Tinggi yang menaja sejumlah 1.2 juta naskhah Berita Harian untuk diedarkan kepada pelajar IPT awam di setiap negeri.

Ahli Kelab Taha@U pula berpeluang berkhidmat dengan TH dan antara program yang boleh disertai ialah Skim Latihan Graduan, latihan amali dan praktikal, program sukarelawan ketika musim haji, program mentor-mentee antara pelajar universiti dan sekolah serta program kemasyarakatan TH dan IPT

100 lagi tapak: FAMA sasar jualan pasar tani RM600 juta

18/05/2010 6:17pm


JERANTUT 18 Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan sebanyak RM600 juta berikutan pembukaan 100 buah lagi tapak pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin berkata, sepanjang tahun lalu, nilai jualan daripada 364 pasar tani di seluruh negara ialah sebanyak RM490 juta dengan bilangan 17,300 peserta. – Utusan

Monday, May 17, 2010

Taman Botani tarikan baru Tasik Perdana

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tunduk, kanan) dan Ahmad Fuad Ismail (tunduk, kiri) melepaskan ikan sebagai tanda pra pelancaran Taman Botani di Taman Tasik Perdana, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Jumlah pengunjung ke Taman Tasik Perdana dijangka meningkat tiga kali ganda apabila kerja-kerja menaik taraf kawasan berkenaan sebagai Taman Botani siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi.

Dengan kos kira-kira RM30 juta, taman tasik itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan prasarana dan pengangkutan manakala bangunannya akan dinaik taraf.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, walaupun jumlah pengunjung tidak direkodkan sebelum ini tetapi jumlah pengunjung diyakini akan bertambah kerana taman botani mampu menarik perhatian pengunjung tempatan dan asing.

Katanya, selain mengekalkan karakter sedia ada di mana pokok-pokok berusia seperti spesies mahagoni, tembusu, ara dan pulai dikekalkan, mempamerkan pelbagai tema landskap dengan pelbagai bunga-bungaan pasti akan memberi memberi kelebihan kepada Taman Botani itu.

"Taman Botani ini akan dibangunkan menerusi tiga fasa iaitu tindakan segera, tindakan pertengahan dan tindakan jangka masa panjang melibatkan skop kerja berbeza.

"Pembangunan bagi fasa pertama ini dijangka siap pada September ini dan sehingga hari ini, kos sebanyak RM3 juta telah dibelanjakan, selain turut menerima sumbangan syarikat swasta berjumlah RM8 juta,'' katanya pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Taman Botani yang diadakan di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop dan Pengarah Malik, Lip & Associates, syarikat arkitek yang bertanggungjawab merancang dan membina landskap Taman Botani, Nik Malik Nik Zainal Abidin.

Nong Chik yang ditemani isteri, Datin Nafesah Nong Chik turut diberi penghormatan melepaskan kira-kira 100 ekor anak ikan jenis 'big head' dan puyu ke kolam berhampiran, selain upacara menanam pokok jenis Moringa Thouars.

Beliau menambah, skop kerja pembangunan fasa pertama termasuklah memperkenal dan menanam pokok-pokok besar spesies hutan seperti berlian, cengal, meranti dan sebagainya.

Ia juga termasuk mereka bentuk dan membina pintu masuk dan gazebo.

Tasik Kenyir pulau bebas cukai

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 17 Mei 2010 - Tasik Kenyir yang memiliki kira-kira 340 buah pulau bakal berubah wajah dan mampu menarik lebih ramai pelancong apabila bakal diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pengisytiharan itu dijangka dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan bajet negara pada Jun atau Julai ini.

''Kerajaan negeri sudah mengemukakan permintaan secara rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut untuk tindakan lanjut,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Bicara Intelektual Terengganu Negeri Anjung Ilmu di Dewan Besar Darul Iman di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang menjayakan segmen Bicara Intelektual.

Ahmad memberitahu, sejurus pengisytiharan itu dibuat, kerajaan negeri akan mengambil masa setahun untuk melaksana dan menyiapkan pembangunan pelbagai infrastruktur selain premis perniagaan di pulau tersebut.

Jelasnya, pembangunan yang bakal dilaksanakan di pulau berkenaan akan menelan kos kira-kira RM100 juta yang diperoleh daripada peruntukan Kerajaan Pusat manakala RM26 juta lagi daripada kerajaan negeri.

Menurut beliau, permintaan agar Kerajaan Pusat mengisytiharkan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai merupakan timbal balas terhadap peranan Empangan Tasik Kenyir membekalkan tenaga elektrik kepada negara.

Katanya, tasik berkenaan berupaya menarik lebih ramai pelancong selain menyemarakkan lagi pelbagai tarikan menarik di situ dengan penganjuran aktiviti memancing dan sebagainya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, kerajaan negeri akan menggandakan usaha untuk membangunkan bidang pendidikan di negeri ini sekali gus menjadikannya negeri Anjung Ilmu.

Beliau turut membuat tawaran kepada UUM untuk membuka kampus cawangan di Tasik Kenyir.

Yayasan Wakaf Malaysia bina lima hotel bernilai RM100j

KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) membina lima hotel bertaraf tiga bintang dengan kos lebih RM100 juta dalam usaha membangun dan mengembangkan harta wakaf untuk kepentingan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hotel-hotel itu dibina di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

"Dua hotel telah dibina dan kini hampir siap sementara pembinaan tiga yang lain akan dimulakan tidak lama lagi. Kita menjangkakan kesemuanya akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2012,'' katanya.

Jamil Khir yang juga Pengerusi YWM berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara yayasan itu dengan Amanah Raya Berhad (ARB) di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani bersama oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri (Jawhar) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sohaimi Mohd. Salleh sementara Amanah Raya Legacy Services Sdn. Bhd. (ARLS) pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafie Omar.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Jamil Khir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Pengerusi ARB, Datuk Dusuki Ahmad.

YWM merupakan badan yang dinaungi Jawhar.

Jamil Khir berkata, projek pertama pembinaan hotel bernilai RM25.6 juta di Tanjung Kling, Melaka dimulakan tahun lalu dan dijangka siap September tahun ini.

"Sementara itu projek di Taiping, Perak yang bernilai RM19 juta telah dimulakan pada Mei tahun lalu dan dijangka siap November nanti,'' katanya.

Menurut beliau, pembinaan hotel di Kuala Terengganu pula menelan belanja RM39.95 juta manakala di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dianggarkan bernilai RM18 juta dan di Kota Bharu, Kelantan membabitkan kos RM20 juta.

Jamil Khir berkata, YWM akan menyerahkan hotel-hotel tersebut kepada majlis agama negeri berkenaan untuk diuruskan apabila siap sepenuhnya nanti.

"YWM hanya membina hotel-hotel tersebut tetapi majlis agama di negeri berkenaan akan menentukan pihak yang boleh menguruskannya secara profesional.

"Walau apa pun, kita mahu hotel-hotel itu nanti menjadi berdaya maju dan bukannya projek gajah putih supaya ia menjadi kebanggaan kepada umat Islam,'' tegasnya.

Sunday, May 16, 2010

Kelantan bakal laksana 90 hari cuti bersalin

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 16 Mei 2010: Selepas Selangor, Kelantan bakal memberikan cuti 90 hari kepada ibu bersalin khususnya kakitangan kerajaan negeri bagi memberi peluang mereka berehat sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata bagaimanapun cadangan itu akan dibawa ke mesyurat exco terlebih dahulu.

Beliau berkata demikikan ketika ditemui selepas merasmikan majlis 90 Hari Untuk Ibu anjuran Kesatuan Kebajikan pekerja-Pekerja Bank Semenanjung Malaysia (NUBE).

Program ini turut mendapat kerjasama Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

NUBE antara lain sedang berusaha mengumpul 1 juta tandatangan untuk menyokong usaha cuti 90 hari dilaksanakan di peringkat persekutuan.

"Kerajaan negeri menyokong usaha ngo ini khususnya bagi mendapatkan tandatangan 1 juta rakyat di negara ini untuk dihantar pada Perdana Menteri bagi membolehkan ianya dilaksanakan di negara ini,"ujar Ubaidah lagi.

Kelantan sebelum ini menjadi negeri perintis memperkenalkan cuti bersalin 60 hari yang kemudiannya turut dipakai di peringkat pusat.

"Mungkin kita agak terkebelakang dari soal ini, sebab Kelantan telah menjadi perintis pada cuti bersalin 60 hari yang bertama di negara ini," katanya.

Sambungnya, jika ianya dilaksanakan di negeri ini, kakitangan awam khususnya di bahagian sokongan akan mendapat manfaatnya, memandangkan 90 peratus tenaganya terdiri dari kaum wanita.

Turut berucap pada majlis itu Naib Presiden NUBE Malaysia, Daufkafli Nor Ghazali, Pengerusi Persatuan NUBE Kelantan, Azhar Yusof, Dr Rosnani Mohammad dan Penolong Kanan Sek Men Agama (A) Amir Inderaputera, Ustaz Nasir Mohammad.

MPPP Kota Bharu tingkat ekonomi petani

KOTA BHARU 16 Mei 2010 - Seramai 74 pengusaha kecil dalam bidang penternakan, pertanian dan industri asas tani di sini hari ini menerima bantuan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Kota Bharu.

Sumbangan bernilai RM100,000 itu diberikan dalam bentuk input pertanian seperti baja, di samping jentera pemerosesan dan juga kambing boer bagi merangsang mereka mengembangkan perusahaan.

Pengerusi MPPP Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh berkata, bantuan berbentuk peralatan itu adalah di antara program awal pihaknya yang menjadi salah satu badan penggerak.
"Kerajaan sebenarnya tidak pernah diam dari merancang pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira kedudukan ataupun bidang kehidupan yang diceburi.

"Bidang pertanian dan penternakan juga mempunyai potensi untuk maju sekiranya dilaksanakan dengan baik" katanya semasa ditemui selepas majlis penyampaian bantuan tersebut di Tapak Pertanian Bunut Payung, dekat sini, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Ibrahim Mat, Pengarah Penyelarasan KADA, Halim Salleh serta pegawai-pegawai MPPP Kota Bharu.

Mohd. Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu mengharapkan segala bentuk bantuan yang disampaikan pada hari ini tidak disia-siakan oleh semua penerima.

"Saya minta jangan sesekali ia disalahgunakan. Manfaatkan betul-betul bantuan ini sehingga berjaya demi diri dan keluarga sehingga boleh jadikan contoh kepada masyarakat.

"Bila ada kemajuan, nampak kejayaannya, ia akan mempermudahkan penyaluran dalam skala yang lebih besar kepada golongan terbabit.

"Bahkan saya sendiri ingin melihat kejayaan mereka dalam bidang ini, kerana penerima bantuan pada hari ini merupakan kumpulan pertama di bawah program MPPP Kota Bharu ini" katanya.

Tambah Mohd. Fatmi, kerajaan sentiasa komited dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan rakyat, justeru rakyat seharusnya bersikap lebih beramanah apabila berjaya menerima bantuan.

Terengganu akan beri insentif kepada bekas guru

KUALA TERENGGANU 16 Mei 2010 - Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk memberi insentif kepada bekas guru di negeri ini sebagai mengenang jasa dan khidmat mereka mengajar anak bangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bentuk insentif tersebut akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak lama lagi.

Beliau memberitahu, penghargaan itu wajar diberikan kepada mereka yang banyak membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan khususnya di Terengganu.

Menurut beliau, profesion perguruan adalah satu kerjaya yang mulia dan ia sering dikatakan sebagai permulaan kejayaan seseorang dalam kehidupan.

"Guru seringkali diumpamakan sebagai pelita yang menerangi hidup orang lain, jadi pelbagai cara dilakukan bagi menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih untuk menghargai jasa dan pengorbanan seseorang guru," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas melawat beberapa bekas guru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini hari ini sempena sambutan Hari Guru 2010.

Dalam kunjungan itu, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada tujuh bekas guru.

Sementara itu, seorang pesara guru, Dr. Alias Omar, 62, sewaktu ditemui di rumahnya di sini berkata, terdapat perbezaan antara guru masa kini dengan guru pada zaman dahulu.

Beliau menjelaskan, guru era kini memerlukan komitmen yang tinggi untuk terus melonjakkan pendidikan.

"Di samping itu, para pendidik juga perlu berdedikasi dan meningkatkan ilmu seiring dengan teknologi masa kini," ujarnya.

Monday, May 10, 2010

Miti rancang guna internet sebagai saluran niaga

2010/05/11
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) merancang mewujudkan satu gerbang internet bagi menghubungkan Malaysia dan komuniti perniagaan serta profesional Malaysia di seberang laut.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata gerbang itu akan berfungsi sebagai tempat bagi mengadakan perbincangan, menyebarkan maklumat mengenai dasar ekonomi baru serta memberitahu perniagaan di seberang laut mengenai peluang yang ada bagi perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia. Beliau, yang berada di Washington DC bagi menghadiri Majlis Penerangan Bergerak Menteri-Menteri Ekonomi Asean, mengambil peluang untuk menemui komuniti perniagaan dan profesional Malaysia di Seattle, Chicago, Washington DC dan New York. Ketika menemui tetamu dan rakan Mybizcouncil LLC, sebuah kumpulan jaringan perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Washington DC, komuniti perniagaan terbabit membayangkan minat mereka untuk melabur di dalam bidang bioteknologi di Malaysia dan mengetuai misi perdagangan perusahaan kecil dan sederhana ke Malaysia.

Satu kumpulan lagi berminat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di Washington DC.

Mustapa menambah, kumpulan perniagaan sedemikian dapat membantu dan saling melengkapi usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan di seberang laut.

“Kelompok kecil rakyat Malaysia masih berminat memainkan peranan aktif di dalam perniagaan dan pelaburan dengan Malaysia - potensi jaringan perniagaan mereka belum dieksploitasi sepenuhnya - kerana terdapat banyak lagi potensi di dalam bidang pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

“Satu gerbang dapat membantu kami berkongsi perkembangan terbaru dan untuk mendapatkan maklum balas daripada perniagaan Malaysia di seberang laut," katanya. – Bernama

Sunday, May 9, 2010

Surau Al-Hafiz berkonsep resort dirasmi

JOHOR BAHRU 9 Mei 2010 - Surau Al-Hafiz di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang dekat sini yang berkonsepkan ala resort dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam.

Pengerusi surau berkenaan, Khairuddin Idrus berkata, surau yang menjadi mercu tanda buat penduduk sekitar telah beroperasi sejak lima tahun lalu dan dibina dengan jumlah kos RM40,000.

Beliau berkata, surau tersebut pada mulanya dibina melibatkan bangunan induk sebelum mengalami banyak perubahan di bahagian hadapan yang direka berkonsepkan resort.

"Pembinaan surau telah melengkapkan kemudahan di kawasan taman ini untuk membolehkan penduduk sekitar dapat beribadat dan pada masa sama melakukan aktiviti riadah dalam suasana santai.

"Saya harap surau ini akan memainkan peranan penting mengembangkan syiar Islam terutamanya generasi muda kerana ia dapat menampung 200 jemaah dalam satu masa," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian surau tersebut di sini semalam.

Khairuddin berkata, sejak beroperasi pihaknya telah menganjurkan pelbagai program seperti program pendidikan, kelas fardu ain dan bimbingan al-Quran dari semasa ke semasa serta tidak hanya terhad kepada sembahyang berjemaah sahaja.

Jelasnya, menerusi pelbagai program keagamaan itu, peranan surau secara tidak langsung dapat diperluaskan bagi memupuk semangat muhibah di kalangan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berharap penduduk setempat dapat mengimarahkan surau dengan aktiviti faedah agar dapat mengeratkan lagi hubungan mesra sesama mereka.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, surau seharusnya dijadikan tempat untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Islam.

Syor wujud Unit Usahawan Bumiputera

BUKIT MERTAJAM 9 Mei 2010 - Kerajaan disyorkan menubuhkan Unit Usahawan Bumiputera yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan penglibatan golongan bumiputera dalam kegiatan ekonomi.

Cadangan itu merupakan salah satu resolusi yang dibentangkan pada hari terakhir Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang 'Menggarap Peluang Dalam Cabaran' yang diadakan di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, resolusi tersebut turut merangkumi cadangan supaya seorang menteri dipertanggungjawabkan untuk menguruskan unit berkenaan.

''Ini adalah salah satu daripada resolusi yang signifikan sempena konvensyen ini dan sebahagian lagi akan diperincikan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya selepas menyempurnakan majlis penutup konvensyen tersebut di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima resolusi konvensyen tersebut daripada Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, pihaknya berharap semua resolusi yang akan diperincikan kelak akan diberi perhatian sebagai input dalam pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibentangkan kerajaan tidak lama lagi.

Katanya, perhatian kepada nasib orang Melayu di negeri ini adalah wajar memandangkan tiada agenda khusus oleh kerajaan negeri yang kini ditadbir pakatan pembangkang untuk memperkasakan golongan itu.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau juga akan mencadangkan supaya semua resolusi konvensyen itu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan datang.

''Kita mahu supaya ahli-ahli MT yang lain dapat merasakan denyut nadi orang Melayu di Pulau Pinang dan ia (resolusi) tidak tinggal di atas kertas sahaja tetapi disusuli dengan tindakan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penubuhan lapan sekretariat hasil daripada konvensyen tersebut yang akan dipantau oleh sebuah badan pemikir yang diwujudkan bagi memberi maklum balas mengenai pelaksanaannya.

Lapan sekretariat itu adalah perkhidmatan, pendidikan, hartanah dan binaan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi, perusahaan kecil dan sederhana, industri halal serta pertanian dan industri asas tani.

Aset bumiputera P. Pinang terjaga

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
dan NURUL HUDA HASSAN
utusanpenang@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 9 Mei 2010 – Kerajaan bersetuju menubuhkan Yayasan Aset Bumiputera Pulau Pinang yang akan berfungsi meningkatkan penguasaan ekonomi khususnya dalam pemilikan hartanah oleh golongan bumiputera di negeri itu.

Yayasan tersebut juga berperanan meningkatkan penglibatan golongan itu dalam sektor ekonomi strategik mencakupi pelbagai bidang termasuk teknologi komunikasi maklumat (ICT), pelancongan dan industri kecil dan sederhana (IKS).

Serentak dengan itu, empat organisasi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan bumiputera di Pulau Pinang akan diletakkan di bawah pemantauan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang supaya saling berkoordinasi.

Empat organisasi itu ialah Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Jawatankuasa Pemandu Bumiputera (JKP) Sdn. Bhd. dan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan yayasan itu dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena perasmian Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang di sini semalam.

‘‘Perdana Menteri mahu yayasan ini berfungsi secara aktif dan dipantau secara berkala agar ia benar-benar dapat memainkan peranannya secara berkesan,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutup konvensyen itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri juga bersetuju supaya sejumlah dana bantuan disalurkan kepada yayasan tersebut.

Menurutnya, usaha menyelaraskan semua organisasi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan orang Melayu di Pulau Pinang mesti dilakukan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan persaingan antara satu sama lain.

‘‘Keempat-empat organisasi ini tidak patut bertindih antara satu sama lain. Penyelarasan harus dilakukan dan kita sudah bersetuju supaya diletakkan di bawah Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

‘‘Kita bukan nak ambil-alih tetapi kita tidak mahu mereka bersaing antara satu sama lain sehingga ada masanya fungsi sebenar organisasi-organisasi ini mengelirukan orang ramai,” jelasnya.

Beliau berkata, kewujudan banyak agensi untuk membangunkan bumiputera adalah baik tetapi ia tidak mampu berfungsi secara berkesan sekiranya tiada fokus dan perancangan yang tersusun.

Justeru katanya, setiap organisasi terbabit akan membuat laporan secara berkala pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri supaya setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

‘‘Dengan ini, kita akan mendapat gambaran dan input secara menyeluruh supaya ada koordinasi yang jelas. Ini penting supaya semua resolusi konvensyen ini tidak hanya tinggal di atas kertas sahaja,” ujarnya.

Skim bayaran balik pinjaman perumahan diperkenal semula

BUTTERWORTH 9 Mei 2010 - Kerajaan akan memperkenalkan semula skim bayaran balik pinjaman perumahan sehingga dua generasi bagi membolehkan lebih ramai golongan bumiputera di Pulau Pinang memiliki kediaman sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) berkata, konsep sedemikian telah dicuba dan terbukti berkesan bagi membantu mereka tidak berpendapatan tetap seperti nelayan, petani dan peniaga kecil Melayu membeli rumah.

Bagaimanapun, jelas beliau, hanya beberapa bank yang mengambil inisiatif melaksanakan skim berkenaan dan secara 'ad hoc'.

"Kita akan bincang dengan bank-bank supaya dapat sedia pembiayaan dengan terma-terma memuaskan dan tidak terlalu menekan peminjam.

"Kita akan guna satu kaedah tempoh bayaran balik yang panjang dinamakan dua generasi untuk sedaya upaya mengatasi masalah orang Melayu di Pulau Pinang," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang sukan pelbagai guna di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Memerintah Pangkalan TUDM Butterworth, Kolonel Rashid Majid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Abdul Hamid.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penambahan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki golongan bumiputera di Pulau Pinang.

Langkah tersebut dilihat wajar berikutan tahap pemilikan rumah oleh orang Melayu terutama di lokasi strategik di negeri ini masih terlalu rendah.

Nor Mohamed menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menubuhkan sebuah tabung bagi membantu membiayai orang Melayu di negeri ini membeli rumah.

Ditanya mengenai bilangan rumah yang bakal dibina di Pulau Pinang dalam RMK-10, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada jumlah peruntukan yang diberikan nanti.

Namun, beliau memberi jaminan jumlah tersebut adalah munasabah berdasarkan bilangan penduduk Melayu di negeri ini.

"Kerajaan bukan sahaja mahu membina rumah kos rendah untuk orang Melayu tetapi juga pelbagai kategori lain termasuk sederhana dan mewah," ujarnya.

Sementara itu, gelanggang sukan untuk kemudahan orang ramai berharga RM150,000 tersebut merupakan yang ketiga dibina di kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

Dua yang lain adalah di Permatang Berangan dan Sungai Dua manakala sebuah lagi bakal dibina di Jalan Berlian, Bagan Ajam.

Kemudahan tersebut dibuka kepada orang ramai dan disediakan untuk permainan-permainan futsal, sepak takraw, bola tampar dan bola jaring.

Friday, May 7, 2010

Pakar-pakar UiTM akan ditempatkan di seluruh dunia

07/05/2010 5:48pm

BANDUNG 7 Mei 2010 – Pakar-pakar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang ditempatkan di universiti-universiti di seluruh dunia dalam program transformasi UiTM untuk meletakkan Melayu di peta dunia.

Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, program itu dimulakan di Indonesia dan negara-negara ASEAN yang lain dan kemudiannya akan dikembangkan ke Eropah.

"Kita ada perancangan terperinci untuk meletakkan pakar-pakar UiTM Melayu dalam peta dunia.

“Maknanya Melayu dianggap sebagai pakar rujuk, Melayu dianggap sebagai profesor-profesor pakar dan kita nak kenalkan UiTM di persada dunia,” katanya kepada pemberita di sini.

Program itu katanya, dilaksanakan dengan harapan pensyarah-pensyarah pakar yang telah berkhidmat di universiti di seluruh pelosok dunia dan lulusan UiTM yang diterima bekerja di luar negara akan pulang ke tanah air selepas 10 tahun untuk menjadi sumber yang amat dikehendaki negara.

Sahol Hamid, yang mengetuai delegasi UiTM di Seminar Antarabangsa Peranan Media Dalam Pemilihan Umum Indonesia dan Malaysia, berkata, pada masa yang sama universiti itu turut menghantar pelajarnya untuk menjalani latihan amali di luar negara untuk mendedahkan mereka kepada suasana global.

Sejak tahun lepas, lebih 120 pelajar UiTM telah dihantar ke luar negara untuk menjalani latihan amali termasuk ke Amerika Syarikat, United Kingdom, negara-negara Asia Barat, Turki, Jerman, Rusia dan Perancis. – Bernama

Imbuhan jika bertindak terhadap pemberi rasuah

Mei 7, 10 5:17pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang untuk memberi imbuhan kepada pegawai kerajaan yang mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberi rasuah kepada mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata pihak kerajaan dan SPRM sedang menyediakan draf satu kaedah yang bersesuaian berhubung imbuhan tersebut sebagai pengiktirafan kepada mereka.

"Perbincangan telah dibuat dengan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan mengenai apakah bentuk imbuhan tersebut," katanya pada sidang media selepas menutup kursus "Corruption Prevention and Risk Management in Public Organisations" di Kuala Lumpuri, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya imbuhan itu nanti ia dapat memberi kesedaran dan mendidik pegawai kerajaan tentang usaha kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah.

Katanya, ini kerana agensi penguatkuasaan adalah agensi kerajaan yang paling banyak terdedah dengan rasuah bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara lain.

"Jika kita lihat di negara ini kini, agensi penguatkuasaan jugalah yang paling banyak melapor dan mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah," katanya.

Abu Kassim berkata, jumlah tangkapan ke atas pemberi rasuah pada suku pertama tahun ini ialah sebanyak 68 orang dan pegawai kerajaan yang ditahan kerana menerima rasuah pula sebanyak 80 orang.

Katanya, ini menunjukkan kempen dan usaha SPRM untuk membawa perubahan dalam masyarakat Malaysia telah disahut pegawai kerajaan.

"Jika kita lihat sepanjang tahun lalu, tangkapan terhadap orang yang memberi rasuah ialah sebanyak 108 orang, manakala pegawai kerajaan yang ditangkap kerana menerima rasuah ialah sebanyak 194 orang.

"Kita amat berbangga kerana salah satu petanda perubahan minda dan sikap dalam memerangi rasuah telah berlaku di negara ini apabila pegawai kerajaan mula mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah," katanya.

Beliau berkata, bagi melancarkan kempen yang dilancarkan SPRM, pihaknya akan mengambil lebih ramai pegawai baru bukan Melayu untuk mengisi kekosongan jawatan dalam SPRM.

Katanya, ini kerana bidang tugas SPRM bukan sahaja menjalankan siasatan malah perlu memberi penerangan dan berinteraksi dengan masyarakat untuk memberi pendedahan mengenai rasuah.

"Sehubungan itu satu sesi temuduga terbuka akan diadakan pada 9 Mei ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur yang bertujuan untuk memperbanyakkan pegawai bukan Melayu terutamanya kaum Cina," katanya.

Sesi temuduga terbuka yang diadakan itu akan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang bagi mengisi 20 kekosongan jawatan Pegawai Siasatan (P41) dan 20 kekosongan jawatan bagi Penolong Pegawai Siasatan (P29) dan keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mahir berbahasa Mandarin atau pelbagai dialek Cina.

Seramai 30 peserta dari sembilan negara iaitu Brunei, Fiji, Maldives, Jordan, Nepal, Filipina, Sri Lanka, Yemen dan Malaysia menamatkan kursus yang diadakan selama lima hari bermula 3 Mei lalu di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur.

- Bernama

Imbuhan jika bertindak terhadap pemberi rasuah

Mei 7, 10 5:17pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang untuk memberi imbuhan kepada pegawai kerajaan yang mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberi rasuah kepada mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata pihak kerajaan dan SPRM sedang menyediakan draf satu kaedah yang bersesuaian berhubung imbuhan tersebut sebagai pengiktirafan kepada mereka.

"Perbincangan telah dibuat dengan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan mengenai apakah bentuk imbuhan tersebut," katanya pada sidang media selepas menutup kursus "Corruption Prevention and Risk Management in Public Organisations" di Kuala Lumpuri, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya imbuhan itu nanti ia dapat memberi kesedaran dan mendidik pegawai kerajaan tentang usaha kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah.

Katanya, ini kerana agensi penguatkuasaan adalah agensi kerajaan yang paling banyak terdedah dengan rasuah bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara lain.

"Jika kita lihat di negara ini kini, agensi penguatkuasaan jugalah yang paling banyak melapor dan mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah," katanya.

Abu Kassim berkata, jumlah tangkapan ke atas pemberi rasuah pada suku pertama tahun ini ialah sebanyak 68 orang dan pegawai kerajaan yang ditahan kerana menerima rasuah pula sebanyak 80 orang.

Katanya, ini menunjukkan kempen dan usaha SPRM untuk membawa perubahan dalam masyarakat Malaysia telah disahut pegawai kerajaan.

"Jika kita lihat sepanjang tahun lalu, tangkapan terhadap orang yang memberi rasuah ialah sebanyak 108 orang, manakala pegawai kerajaan yang ditangkap kerana menerima rasuah ialah sebanyak 194 orang.

"Kita amat berbangga kerana salah satu petanda perubahan minda dan sikap dalam memerangi rasuah telah berlaku di negara ini apabila pegawai kerajaan mula mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah," katanya.

Beliau berkata, bagi melancarkan kempen yang dilancarkan SPRM, pihaknya akan mengambil lebih ramai pegawai baru bukan Melayu untuk mengisi kekosongan jawatan dalam SPRM.

Katanya, ini kerana bidang tugas SPRM bukan sahaja menjalankan siasatan malah perlu memberi penerangan dan berinteraksi dengan masyarakat untuk memberi pendedahan mengenai rasuah.

"Sehubungan itu satu sesi temuduga terbuka akan diadakan pada 9 Mei ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur yang bertujuan untuk memperbanyakkan pegawai bukan Melayu terutamanya kaum Cina," katanya.

Sesi temuduga terbuka yang diadakan itu akan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang bagi mengisi 20 kekosongan jawatan Pegawai Siasatan (P41) dan 20 kekosongan jawatan bagi Penolong Pegawai Siasatan (P29) dan keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mahir berbahasa Mandarin atau pelbagai dialek Cina.

Seramai 30 peserta dari sembilan negara iaitu Brunei, Fiji, Maldives, Jordan, Nepal, Filipina, Sri Lanka, Yemen dan Malaysia menamatkan kursus yang diadakan selama lima hari bermula 3 Mei lalu di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur.

- Bernama

FAMA buka peluang OKU jadi usahawan pasar tani

07/05/2010 12:41pm

ALOR SETAR 7 Mei 2010 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka peluang kepada orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi usahawan pasar tani bagi membantu mereka menjana pendapatan di samping meringankan beban kerajaan.

Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, FAMA telah membuka ruang yang luas kepada golongan OKU untuk mengubah nasib mereka dengan menjadi usahawan pasar tani.

"Kita mahu mereka berdikari dan kita juga akan serapkan mereka menjadi usahawan pasar tani ataupun menyertai program-program lain yang diadakan oleh FAMA bagi meringankan beban mereka kerana mereka boleh berdikari dan mencari makan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Amat Setia/Setia FAMA Wilayah Utara dekat sini.

Badruddin juga berkata, beliau mendapati program menebus kemiskinan yang dibuat oleh FAMA melalui bimbingan usahawan kecil adalah baik kerana para usahawan dapat mengeluarkan diri mereka daripada kehidupan sempit kepada kehidupan yang lebih selesa.

"Sekarang ini, purata pendapatan setiap usahawan pasar tani adalah kira-kira RM3,000 sebulan. Ini sudah cukup membuktikan bahawa para usahawan pasar tani sekarang ini sudah mula hidup selesa,” katanya. – Bernama

Tuesday, May 4, 2010

Macam-macam: Saintis cipta alat pengesan daging babi dalam makanan

2010/05/05
ALMATY: Saintis di Kazakhstan memperkenalkan alat ujian segera kehadiran elemen babi di dalam makanan, lapor akhbar tempatan kelmarin, memudahkan penduduk negara majoriti Islam ini mengenalpasti makanan halal.

Kayu penguji plastik yang direka itu berupaya mengesan molekul makanan yang hanya ditemui dalam daging babi, yang mudah ditemui di negara Asia Tengah ini, kata mingguan Megapolis. “Tiada rahsia sesetengah chef menipu dan mencampurkan daging babi dengan daging lembu untuk menjadikan makanan itu lebih murah,” kata akhbar itu kelmarin.

USIM hasilkan tempoyak segera

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my



PENUNTUT Universiti Sains Islam Malaysia (dari kiri) Nor Amirah Zulkifli, Siti Noorain Yusoff, Norfasihah Kaanis, Norul Aidah Zakari dan Khairul Muna Abu Bakar yang berjaya menghasilkan tempoyak segera, Tempower di kampus Nilai, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 4 Mei 2010 - Kreativiti dan inovasi memungkinkan segalanya termasuk menjadikan tempoyak sebagai produk makanan segera.

Demikian hasil daya kreatif dan inovatif lima penuntut Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini yang berjaya menghasilkan tempoyak segera.

Penuntut terbabit, Nor Amirah Zulkifli, Siti Noorain Yusoff, Norfasihah Kaanis, Norul Aidah Zakari dan Khairul Muna Abu Bakar menghasilkan produk itu dengan nama Tempower.

Tempower ilham penuntut Tahun Tiga FST itu juga dihasilkan dalam bentuk serbuk melalui proses pemeraman isi buah durian.

Menurut Khairul Muna, 21, bagi menghasilkan produk tersebut, tempoyak yang telah diperam akan diadunkan bersama agen pengikat.

"Tujuannya adalah untuk mengikat air dan tempoyak agar ia melekat dan tidak terburai. Kemudian adunan tersebut ditambahkan dengan agen pemekat yang berperanan untuk memekatkan serbuk tempoyak agar kelihatan seperti tempoyak asli.

"Setelah adunan sebati, ia diratakan dalam dulang leper dan dimasukkan ke dalam dehidrator untuk proses dehidrasi selama 24 jam bertujuan mengeringkan air.

"Selepas itu ia akan menjadi kering dan dikisar supaya lebih halus. Serbuk tempoyak yang dihasilkan kemudiannya dibungkus dalam plastik dan diletakkan dalam kotak," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, tempoyak dalam bentuk serbuk kini boleh dinikmati di mana-mana dan bila-bila masa saja termasuk dibawa ke luar negara.

"Permintaan tempoyak dikatakan sangat tinggi terutama bagi mereka yang ingin ke luar negara seperti golongan penuntut namun perkara itu adalah mustahil kerana masalah bau.

"Kini masalah itu dapat diatasi dengan terhasil serbuk tempoyak yang mudah disediakan dan senang dibawa ke mana sahaja," kata penuntut Tahun Tiga Kursus Pembangunan Produk itu.

Menurut pelajar itu, beberapa penambahbaikan akan dibuat terutama dalam proses pembungkusan dan struktur.

"Penggunaan plastik pembungkus yang lebih baik akan digunakan untuk mengurangkan bau tempoyak sekiranya produk itu dapat dikomersialkan.

"Tempoyak segera didatangkan dalam dua perisa iaitu perisa asli dan perisa sambal. Bagi mereka yang gemar dengan makanan pedas boleh memilih perisa cili," katanya.

Khairul Muna memberitahu, proses penyediaan tempoyak segera mudah dan sesuai sekali untuk wanita yang bekerja.

''Penggunaan tempoyak segera juga boleh dipelbagaikan dalam apa jua masakan contohnya sambal ikan bilis tempoyak, sambal sardin tempoyak dan sebagainya," jelasnya.

Sementara itu menurut Norul Aidah, 21, idea untuk menghasilkan Tempower atau tempoyak segera bermula dengan kaji selidik di kalangan rakan-rakan dan keluarga.

"Kami mahu menjadikan tempoyak lebih mudah dalam proses penyediaannya dan boleh dibawa ke mana sahaja serta tidak berbau,'' katanya.

Menurutnya, mereka berharap produk tersebut dapat dipasarkan sekali gus bagi memperkenalkan makanan tradisi Melayu itu ke peringkat antarabangsa.

"Kami juga berharap agar budaya inovasi ini dapat diterapkan kepada semua pelajar USIM. Sebelum mencipta sesuatu produk, mereka seharusnya membuat kajian dan pemerhatian terhadap kehendak dan kemahuan pengguna.

"Apa yang penting ialah sentiasa membuka minda dan berfikir di luar kotak fikiran untuk maju ke hadapan," katanya.

Dalam pada itu, produk Tempower juga berjaya memenangi tempat pertama pertandingan produk baru anjuran USIM di kampusnya baru-baru ini.

PPUM cipta sejarah perubatan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my



PROF. Wan Azman (tengah) mendengar penerangan Dr. Alexander Lind cara mengendalikan ESMR bernilai RM2.8 juta ketika merawat Masnguti Othman, pesakit pertama menggunakan alat itu di Pusat Perubatan Universiti Malaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 4 Mei 2010 - Sehari selepas memperkenalkan alat rawatan jantung tanpa pembedahan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini buat pertama kalinya merawat seorang pesakit jantung kronik di Malaysia menggunakan teknik tersebut.

Seorang warga emas yang merupakan pesakit pertama mendapatkan rawatan Extracorporeal Shockwave Myocardial Revascularization (ESMR) itu sebelum ini hampir putus harapan apabila doktor mengesahkan tiga saluran darah pada jantungnya tersumbat.

Masnguti Othman, 63, dari Sungai Besar, Selangor yang didapati tidak sesuai untuk rawatan angioplasti atau pembedahan pintasan jantung kerana salur darahnya kecil, kelihatan tenang apabila dirawat menggunakan terapi ESMR.

"Saya tidak merasa sakit semasa menerima rawatan ini. Sebelum ini, saya tidak boleh berjalan lebih dari 10 meter dan sering merasa sakit di dada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rawatan oleh sekumpulan doktor PPUM itu mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dan ia turut mendapat khidmat nasihat daripada seorang pakar kardiologi dari Fakulti Perubatan, University of Duisburg-Essen, Jerman, Dr. Alexander Lind.

Turut hadir, pensyarah kanan dan ahli kardiologi PPUM, Dr. Zul Hilmi Yaakob.

Dalam pada itu, Ketua Unit Kardiologi PPUM, Prof. Wan Azman Wan Ahmad berkata, ESMR berperanan menghantar gelombang kejutan pada dos berbeza ke atas beberapa otot jantung yang tidak mempunyai cukup pengaliran darah (ischemia).

Beliau berkata, penghantaran gelombang kejutan tersebut akan merangsang pertumbuhan pembuluh darah yang baru di dalam otot jantung (angiogenesis) seterusnya menggalakkan pembekalan oksigen dalam bekalan darah.

"ESMR ini boleh dilihat sebagai rawatan pelengkap kepada pesakit jantung setelah mereka masih tidak pulih dengan memakan ubat melalui preskripsi doktor dan tidak sesuai menjalani rawatan pintasan jantung atau angioplasti.

"Kelebihannya ialah ia tidak memerlukan sebarang pembedahan sekali gus tidak meninggalkan sebarang parut pada tubuh badan selain tiada kesan sampingan," katanya.

Dalam pada itu, Zul Hilmi berkata, pesakit tersebut perlu menjalani rawatan tiga kali dalam seminggu untuk minggu pertama sebelum dia direhatkan selama tiga minggu.

"Rawatan seterusnya akan dijalankan pada minggu kelima dan kesembilan di mana tiga lagi sesi rawatan akan dijalankan bagi tiap-tiap minggu tersebut.

"Secara keseluruhannya, pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak sembilan kali," katanya

Sunday, May 2, 2010

Karnival GiatMara diperluas

2010/05/03
KUALA LUMPUR: Giat Mara akan menaik taraf karnival jualan GiatMara Sale 2 U ke seluruh negara mulai tahun depan bagi mendedahkan pelatih di bawah kelolaannya dalam bidang perniagaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Khidmat Pengurusan Giat Mara, Abdul Halim Mansur, berkata usaha meluaskan program itu adalah satu usaha Giat Mara supaya pelatihnya menceburi bidang perniagaan selain mengharapkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Katanya, ketika ini program jualan itu hanya diadakan sekitar kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. “Ini adalah pendedahan awal kepada pelatih yang ingin mendalami bidang perniagaan secara kecil-kecilan sebelum terbabit secara serius dalam perniagaan lebih besar,” katanya di sini, semalam