Wednesday, March 31, 2010

Akta Persaingan diwujud atasi monopoli satu kaum

Oleh Sariha Mohd Ali, Hussain Saad dan Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my
2010/04/01
Peraturan diperkenal tahun ini galak amalan sihat di pasaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Akta Persaingan pada tahun ini bagi mengurangkan amalan kartel dan monopoli sesuatu kaum dalam perniagaan tertentu bagi membolehkan semua kaum bersaing secara sihat dan adil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian kini sedang dalam peringkat akhir untuk membentangkan Rang Undang-undang Persaingan dalam sesi Parlimen kali ini. “Pengenalan akta ini akan merangkumi peraturan bagi memastikan persaingan sihat wujud di dalam pasaran, sekali gus merancakkan lagi suasana perdagangan di dalam negeri.

“Akta ini juga akan memastikan amalan antipersaingan dapat diatasi dan menjamin hak pengguna secara keseluruhan tanpa mengira kaum,” katanya menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, semalam.

Ismail Sabri berkata, undang-undang itu juga akan mengandungi peraturan untuk mengambil tindakan terhadap perjanjian antipersaingan seperti penetapan harga, pembidaan, pembahagian pasaran dan salah guna kuasa pasaran.

Katanya, Suruhanjaya Persaingan juga akan diwujudkan bagi melaksanakan undang-undang itu.
“Undang-undang ini diperkenalkan sebagai langkah persediaan kepada perusahaan tempatan menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi selain hendak meningkatkan daya saing industri Malaysia pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, undang-undang ini bersesuaian dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan kerajaan bagi memacu ekonomi negara yang menitik berat prinsip inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.

Sementara itu, katanya, Akta Hak Cipta 1987 akan dipinda tahun ini bagi memperluaskan kuasa tribunal kepada pengguna dan pemilik karya hak cipta untuk membawa sebarang masalah mengenai isu royalti kepada Tribunal Hak Cipta.

Katanya, pindaan Akta Hak Cipta 2010 juga memberi kuasa kepada menteri untuk memantau dari semasa ke semasa aspek royalti, pengagihan dan menyelesaikan sebarang pertelingkahan penggunaan karya hak cipta.

“Akta ini sudah 20 tahun tidak dikaji semula dan saya anggap sudah sampai masa kadar royalti perlu dikaji juga,” katanya.

Berhubung konsep 1Komuniti, 1Koperasi (1K1K), Ismail Sabri berkata, sebanyak 307 koperasi berasaskan konsep itu diwujudkan membabitkan 73,681 ahli yang memiliki modal sebanyak RM33.5 juta, aset berjumlah RM307.5 juta dan pulangan RM17 juta.

Pelan tindakan dilancar

Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my



Hishammuddin Tun Hussein bersama Shahrizat Abdul Jalil melancarkan buku The National Action Plan Against Trafficking In Persons di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Komitmen dan aspirasi kerajaan untuk memerangi jenayah pemerdagangan orang diperkukuhkan hari ini dengan pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang.

Pelan yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu akan dijadikan panduan kepada usaha memerangi jenayah berkenaan sekali gus menjadi pelengkap kepada Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Ia mengandungi lima prinsip panduan selain masing-masing sembilan matlamat strategik dan bidang program untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2015.

Hishamuddin berkata, pelan berkenaan merupakan satu platform untuk menggembleng usaha pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah rakyat jelata.

Kerana itu, kata beliau, pihaknya turut melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pelbagai agensi lain yang sebelum ini bergerak secara berasingan dalam isu yang sama.

"Pemerdagangan orang merupakan sesuatu yang serius untuk ditangani bersama.

"Dalam hal ini, saya percaya apa yang disediakan sebagai asas sekarang, adalah mencukupi untuk kita menganjakkan tindakan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang di sini hari ini.

Menyaksikan pelancaran itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sasaran jangka pendek dalam tempoh satu hingga dua tahun pelan berkenaan adalah mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan serta pihak berkaitan di samping mengetatkan keselamatan sempadan dan pembinaan kapasiti seperti menyediakan rumah perlindungan yang mencukupi, kempen kesedaran awam dan memupuk kerjasama dengan negara asing.

Untuk tempoh tiga ke empat tahun, ia akan memberi tumpuan kepada pengurangan pekerja asing dan mengukuhkan perundangan domestik untuk menyokong Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Dalam jangka panjang pula, pelan tersebut akan meneruskan rancangan jangka pendek dan pertengahan selain mengurangkan kes dan melahirkan pegawai yang berpengetahuan dalam isu berkaitan jenayah pemerdagangan orang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pelan tindakan itu akan digunakan untuk menangani masalah persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara ini dalam isu pemerdagangan orang.

Katanya, perkara itu sebenarnya hanyalah persepsi semata-mata sedangkan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

"Tetapi ada kalanya kita tidak pandai masuk bakul angkat sendiri, tidak pandai pukul gendang dan tidak pandai menerangkan kepada pihak berkepentingan mengenai usaha yang telah kita lakukan.

"Saya akui ada kelemahan tetapi tidaklah seteruk seperti yang digambarkan masyarakat antarabangsa, ini akan ditangani dengan apa yang kita buat (pelan tindakan)," katanya.

Tuesday, March 30, 2010

Akta agama Islam Wilayah Persekutuan dipinda

KUALA LUMPUR 30 Mac - Akta Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 akan dipinda bagi memasukkan peruntukan mengenai 'perintah bersaling' dengan negeri lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perintah bersaling itu akan membolehkan keputusan mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan termasuk berkaitan perceraian dikuatkuasakan di negeri lain.

"Pindaan ini yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat secepat mungkin akan menyebabkan tiada sesiapa yang boleh 'lari' ke negeri lain semata-mata untuk mengelak daripada mematuhi segala perintah yang telah dikeluarkan mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) mengenai ketiadaan perintah bersaling pada akta berkenaan sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri.

Walaupun penguatkuasaan akta sedia ada tidak boleh dibuat di negeri-negeri, Jamil Khir menjelaskan, ia tidak melibatkan perintah berkaitan pemenjaraan.

"Perintah pemenjaraan ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

"Jabatan ini diberi kuasa di bawah Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 untuk mengambil tindakan walaupun pesalah berkenaan berada di luar dari Wilayah Persekutuan.

"Hukuman penjara ini adalah tidak melebihi tiga tahun dan ia turut membabitkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam sebatan," katanya.

Tambah beliau, mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan juga boleh mengeluarkan perintah pemenjaraan berdasarkan peruntukan dalam Akta Kesalahan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.

"Perintah pemenjaraan juga boleh dibuat di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993," jelasnya.

Monday, March 29, 2010

Penginapan ala-tentera tarikan pelancong ke PD

29/03/2010 4:13pm

SEREMBAN 29 Mac 2010 – “Barrack Stay” atau penginapan ala-tentera di salah sebuah kem lama di Port Dickson (PD) akan menjadi tarikan utama untuk pelancong datang ke Bandar Tentera Darat itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penginapan itu merupakan salah satu daripada tiga elemen terpenting untuk menonjolkan PD sebagai bandar tentera yang mempunyai tarikan pelancongannya yang tersendiri.

Tiga elemen itu ialah pembangunan, kandungan dan atur cara, katanya.

"Kita belum sampai ke tahap untuk membenarkan orang ramai menembak senjata api seperti yang ada di luar negara. Yang penting kita mulakan dulu dengan mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap PD,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan PD bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada konsep penyewaan senjata api dan kereta perisai untuk orang awam seperti yang wujud di Vietnam dan Ukraine akan disertakan bersama pakej “Barrack Stay” itu.

Dari segi pembangunan, Muzium Tentera Darat di PD akan dibangunkan semula, malahan satu kawasan “boulevard” akan dibina dari bangunan itu sehingga ke kawasan tepi laut melepasi zon ketenteraan di sekitar muzium tersebut, katanya. – Bernama

Friday, March 26, 2010

BioFIS pertingkat penyelesaian kes jenayah - PDRM

26/03/2010 4:07pm

KUALA LUMPUR 26 Mac 2010 – Sistem Indentifikasi Cap Jari Biometrik (BioFIS) berjaya menyelesaikan sebanyak 1,015 kes jenayah sejak diperkenalkan tahun lepas, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Katanya, BioFIS yang dikendalikan secara elektronik itu membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memproses dan mengesan identiti penjenayah dalam masa yang singkat.

"Semenjak penggunaan BioFIS ini pihak kami dapat meningkatkan penyelesaian kes jenayah tahun lepas, berbanding dengan penyelesaian 377 kes pada 2008 dan 365 kes pada 2007,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sistem itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Ismail berkata, sistem itu mempunyai dua kaedah iaitu kaedah “Live Scan" (menggunakan ibu jari) dan “Card Scan” (dokumen yang mengandungi cap ibu jari) yang terdapat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.

"Sebanyak 52 “Live Scan” terdapat di 14 buah IPK dan 28 di IPD yang mempunyai rekod jenayah yang tinggi, manakala “Card Scan” terdapat di IPD yang lain.

"Segala cap jari itu akan terus berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengesan identiti penjenayah selama kira-kira 10 minit dan dalam sehari kami boleh mengesan 500 hingga 1,000 identiti,” katanya. – Bernama

Thursday, March 25, 2010

Pusat Bimbingan Usahawan diwujudkan

KUALA LUMPUR 25 Mac 2010 - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mewujudkan Pusat Bimbingan Usahawan tidak lama lagi bagi memberi khidmat nasihat kepada para usahawan bumiputera.

Menterinya, Datuk Se-ri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, kewujudan pusat itu kelak bakal memantapkan usaha kerajaan dalam membantu usahawan bumiputera untuk lebih berjaya.

Menurutnya, pusat itu juga akan meneruskan khidmat nasihat kepada usahawan bumiputera yang sebelum ini menyertai program kelolaan beberapa agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Justeru katanya, usahawan bumiputera tidak perlu bimbang kepentingan mereka akan terjejas kerana peranan MECD seperti khidmat nasihat diambil alih oleh MITI.

''MITI akan mewujudkan Pusat Bimbingan Usahawan bagi memberi khidmat nasihat dan konsultansi keusahawanan yang akan beroperasi dalam sebulan ini," katanya menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz menanyakan apakah pihak kerajaan telah mengenalpasti rungutan usahawan mengenai kesukaran-kesukaran yang dihadapi mereka berikutan penstrukturan semula agensi-agensi yang sebelum ini berada di bawah MECD.

Dalam pada itu kata Mustapa, kerajaan tidak bercadang mewujudkan semula MECD yang dibubarkan April lalu kerana peranan kementerian itu telah diserapkan ke lapan kementerian termasuk MITI dan Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah.

"Saya memberi jaminan walaupun MECD ini telah dibubarkan dan peranannya dipindah kepada lapan kementerian lain, kerajaan tetap memperjuangkan agenda Bumiputera," jelasnya.

Terdapat 11 agensi yang diletakkan di bawah MECD sebelum ini seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Rakyat, Bank Pembangunan, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).

Tuesday, March 23, 2010

Rumah kos rendah S'gor untuk golongan miskin

Mac 23, 10 4:32pm

Orang ramai yang ditawarkan borang permohonan membeli rumah kos rendah lebih tinggi daripada harga sebenar RM2 disarankan supaya membuat laporan polis atau melaporkanya terus kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Exco Perumahan Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata demikian setelah menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat pihak menawarkan borang berkenaan dengan harga setinggi RM300.

Menurutnya, borang permohonan untuk membeli rumah kos rendah di Selangor adalah hanya RM2 sekeping dan borang itu juga boleh didapati dari mana-mana pejabat daerah.

“Saya menasihatkan mereka yang ditawarkan borang rumah kos rendah lebih daripada RM2 melaporkan kes kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam atau menghubungi 603 - 5544 7537/ 7170/ 7199.”

Iskandar turut menyangkal dakwaan bahawa ada pihak yang boleh membantu mendapatkan kelulusan untuk membeli rumah kos rendah.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen, baik untuk mengedar borang mahupun memproses sebarang permohonan.

Sebaliknya menurut beliau semua permohonan diproses oleh Lembaga Perumahan.

“Mereka yang hendak membeli rumah kos rendah mesti mendaftar dengan Lembaga Perumahan dengan menyatakan lokasi yang hendak dibeli.”

Menurut Iskandar lagi, hanya mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 sebulan layak membeli rumah kos rendah.

“Peraturan ini perlu bagi mengelakkan penyelewengan agar hanya mereka yang layak dapat membeli rumah-rumah kos rendah kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi rumah-rumah kos rendah terutamanya bagi kawasan-kawasan seperti Ampang dan Petaling Jaya,” katanya lagi.

Iskandar berkata kerajaan negeri juga akan menyediakan borang-borang permohonan rumah kos rendah di pihak berkuasa tempatan dan pejabat Adun bagi memudahkan ia diperolehi oleh rakyat dalam masa terdekat.

SPRM guna sms Frenz of MACC salur maklumat

2010/03/23
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) "Frenz of MACC" dalam usaha menyalurkan maklumat serta pandangan bagi membanteras kegiatan rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata menerusi "Frenz of MACC" maklumat disalurkan menerusi "key communicator" yang pada masa ini terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta pengurusan jabatan, kementerian dan media.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 1,000 "key communicator" di seluruh negara dan jumlah keahlian dijangka meningkat kepada 5,000 orang pada akhir tahun ini. "Frenz Of MACC akan diletakkan di bawah Pejabat Ketua Pesuruhjaya dan kami harap selepas ini seandainya kami menghadapi krisis kita akan dapat menanganinya dengan lebih mudah dengan adanya sokongan daripada masyarakat khususnya anggota Frenz Of MACC," katanya pada majlis makan tengahari dan pelancaran "Friends Of MACC" bersama Persatuan Bekas Pegawai SPRM Selangor/Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Abu Kassim berkata, SPRM juga akan melancarkan laman rangkaian sosial Facebook SPRM pada 16 April ini.

"Dengan cara ini, kami berharap dapat menyalurkan maklumat yang tepat dan benar kepada masyarakat agar isu yang dibangkitkan dari semasa ke semasa dapat diterangkan sedikit sebanyak," katanya.

Abu Kassim berkata, masyarakat juga boleh memberi pandangan mereka kepada SPRM bagi penambahbaikkan tugas SPRM.

"Perkhidmatan yang kita berikan ini adalah percuma kepada masyarakat kerana kita nak masyarakat faham dan mendapat maklumat sebenar apa yang terjadi dalam sesuatu isu yang dibangkitkan," katanya.

Abu Kassim turut melancarkan Persatuan Bekas Pegawai BPR untuk dijadikan platform bagi bekas pegawai menyuarakan pandangan kepada SPRM.

Beliau berharap kira-kira 200 ahli persatuan itu akan dapat menjadi barisan hadapan kepada SPRM dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap SPRM. - Bernama

Sunday, March 21, 2010

PR tunai janji RM100 kepada warga emas

Mohd Sabri Said
SEBERANG JAYA, 20 Mac 2010: Apa yang dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini dikotakan apabila seramai 300 orang warga emas seluruh Seberang Perai menerima wang RM100 setahun sebagai penghargaan mereka peringkat Perdana di Dewan Serbaguna Tapak Ekspo Seberang Jaya petang tadi.

Sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng diiringi Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman serta Exco Kerajaan Negeri itu terbukti kesungguhan kerajaan negeri membantu golongan terbabit bukannya cakap kosong sebagaimana yang disangkakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pemberian itu sekaligus melawan dakyah Umno dan BN yang sering mendakwa pemberian berkenaan merupakan 'sogokan politik' kononnya untuk memastikan Pakatan Rakyat terus berada di hati rakyat setelah berjaya menang pada pilihan raya umum dua tahun lalu.

Lim Guan Eng dalam ucapanya menegaskan, selain memberikan RM100 setahun pada warga emas kerajaan negeri tetap mengutamakan kebajikan rakyat berbanding kerajaan BN yang asyik memenuhkan poket kroni sahaja.

Prinsip 3P iaitu Perkasakan, Perkuasakan dan Perkayakan bukan slogan kosong bahkan telah menjadi realiti BN hingga segala curahan yang mereka berikan tiada tolok bandingnya dengan kemajuan yang diperolehi oleh Negeri Pulau Pinang dari dulu sehinggalah sekarang.

Hari ini juga tambahnya, dakwaan bahawa penghargaan warga emas digunakan untuk menambah ahli DAP silap sama sekali sebaliknya merupakan suara sumbang ekoran perasaan dengki kerajaan terdahulu kerana gagal melaksanakan program seumpama itu walaupun telah memerintah lebih 51 tahun.

"Untuk pengetahun anda semua seluruh warga emas yang didaftarkan berjumlah 82,983 orang. Jumlah itu meliputi 54 peratus di bahagian pulau manakala 47 peratus di Seberang Perai. Kami bukan anti Melayu atau Islam sebagaimana yang digambarkan kepada umum," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.

Beliau juga mengucapkan terima kasih pada jentera Adun, Ahli Parlimen, Senator, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus untuk menjayakan hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Selagi Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang selagi itulah bantuan kepada warga emas akan diteruskan tanpa ada pilih kasih sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan BN dahulu.

"Kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang dengar suara rakyat, buat kerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat tetap tidak akan melupakan jasa yang telah ditaburkan demi pembangunan Pulau Mutiara, " kata Lim bersemangat.

Monday, March 15, 2010

KL Krash Pad bimbing remaja kota

KUALA LUMPUR 15 Mac 2010 – Sejajar dengan matlamat untuk mendekati kumpulan sasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil inisiatif menubuhkan KL Krash Pad (KLKP) bagi memberi bimbingan kepada remaja kota.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, KLKP yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini bakal menjadi pusat aktiviti kepada remaja berusia 13 hingga 21 tahun yang menjurus kepada pembentukan sahsiah dan jati diri.

Katanya, ia juga bakal berfungsi sebagai zon selamat kepada remaja yang berhadapan sebarang masalah dan memerlukan kaunseling atau bimbingan secara peribadi tanpa ada rasa terancam.

“Program yang dipertanggungjawabkan kepada Yayasan Salam Malaysia (Salam) di sini itu adalah bersifat substantif serta ‘mesra generasi muda’ bagi memberi keselesaan kepada remaja tanpa ada rasa takut.

“Antara aktiviti dijalankan adalah kelas komputer, muzik, akademik dan bermacam lagi. Saya lihat ia mampu mewujudkan persekitaran positif kepada golongan remaja tertentu terutama yang berasal dari keluarga bermasalah atau miskin,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan KLKP di sini hari ini.

Saturday, March 13, 2010

Portal U-Library dilancar Julai ini

2010/03/13
KUALA LUMPUR: Penggemar buku mungkin tidak perlu menjejakkan kaki ke perpustakaan untuk meminjam buku tidak lama lagi apabila portal U-Library bakal diperkenalkan untuk membolehkan pinjaman buku dibuat secara dalam talian.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar, berkata projek perintis dalam proses pendigitalan bahan bacaan itu akan dilancar Julai ini, membabitkan tujuh perpustakaan awam.

Perpustakaan terbabit ialah PNM, Perpustakaan Awam Selangor, Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan Intan Bukit Kiara, Perpustakaan Awam Pahang dan Pustaka Negeri Sarawak.

Beliau berkata, portal itu akan menyenaraikan senarai buku yang boleh dipinjam melalui dalam talian selain senarai buku yang terdapat di tujuh perpustakaan terbabit. "Pengguna di seluruh negara boleh mendapatkan bahan bacaan tanpa perlu ke perpustakaan dan bahan bacaan itu akan dihantar ke rumah mereka melalui pos," katanya pada sidang media selepas melancarkan “Program ABC: Mari Membaca 1Malaysia” di sini, hari ini.

Raslin berkata, kos pos laju akan ditanggung oleh peminjam buku berdasarkan berat buku. Beliau berkata, liputan kemudahan portal U-Library itu akan disediakan di semua perpustakaan awam yang lain selepas dua tahun tempoh percubaan.

"Kita mahu mudahkan pengguna terutama yang minat membaca, dan sekarang pun sudah menjadi trend orang menggunakan online untuk pelbagai urusan," katanya. - Bernama

Tuesday, March 9, 2010

Bayaran wad hospital kerajaan untuk pegawai, pesara dimansuhkan

10/03/2010 2:03pm


KUALA LUMPUR 10 Mac 2010 - Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap pegawai dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuatkuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam pemansuhan itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).

Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, katanya.

Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ismail berkata jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.

"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya. - Bernama

Monday, March 8, 2010

Sentral: Pantau kawasan panas (9/3/10)

Polis Kuala Lumpur cadang 47 balai di lokasi tumpuan

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur bercadang mewujudkan 47 balai polis berbanding 18 yang sedia ada dalam mempertingkatkan usaha untuk memerangi jenayah.

Sebanyak 20 balai polis komuniti di sini akan dinaik taraf menjadi balai sepenuhnya sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mat.

Selain itu, pihaknya turut memohon penambahan sembilan lagi balai polis, katanya kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat di kawasan panas di Alam Damai, Cheras di sini, semalam.

"Permohonan sudah dihantar ke Bukit Aman sebelum dilanjutkan ke peringkat kementerian, namun kita tidak mahu menaik taraf dari segi fizikal balai saja, ia diharapkan dapat disertakan dengan kemampuan dan penambahan keanggotaan," katanya.

Penambahan balai polis itu, katanya, menjadi sebahagian usaha polis bagi mengurangkan kadar jenayah dengan meningkatkan kehadiran polis.

Sehingga kini, katanya terdapat 18 balai di Kuala Lumpur yang dibahagikan kepada tiga gred iaitu gred A dengan keanggotaan seramai 140 orang, Gred B dengan 130 keanggotaan dan Gred C dengan 100 keanggotaan.

Sementara balai polis komuniti pula hanya diketuai oleh seorang anggota berpangkat sarjan dengan tujuh anggota.

Abu Samah berkata, bagi memenuhi keperluan masyarakat yang berkehendakkan lebih banyak balai polis terutama di kawasan perumahan mereka, polis KL akan menempatkan balai polis di lokasi terpilih terutama di 11 kawasan panas.

Sehingga kini kita mempunyai 11 balai bergerak di Kuala Lumpur dan kita sedang memohon untuk menambah 11 balai polis bergerak untuk ditempatkan di kawasan hot spot (panas)," katanya.

Sementara itu, Jelaing turut bertemu dengan penduduk dan Rukun Tetangga Alam Damai dan taman sekitar kawasan tersebut.

Katanya Alam Damai yang menjadi salah satu daripada 11 kawasan panas di Kuala Lumpur turut menunjukkan penurunan kadar jenayah sebanyak 45 peratus sejak September tahun lalu.

"Ini antara tanda positif dan kita harap keadaan ini akan berterusan sampai bila-bila termasuk di kawasan-kawasan lain yang tersenarai di Kuala Lumpur," katanya.

Selain Alam Damai, Taman Midah, Taman Connaught dan Bandar Permaisuri juga adalah kawasan panas yang diletakkan di bawah seliaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Turut tersenarai ialah Bukit Bintang dan Jalan Pudu yang terletak di bawah IPD Dang Wangi, Brickfields dan Kuchai Park di bawah IPD Brickfields, dan, Jinjang Utara, Metro Prima Kepong dan Danau Kota di bawah IPD Sentul. - Bernama

KDN wujudkan pangkalan data

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 8 Mac 2010 - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewujudkan pangkalan data nasional berhubung warga asing bagi memastikan proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu perlu kerana aktiviti warga asing sepanjang berada di negara ini akan dapat direkodkan dengan cepat dan boleh digunakan oleh agensi penguatkuasaan untuk rujukan.

Menurutnya, ia juga akan memastikan rekod keluar masuk dan aktiviti dalam negara semua kategori warga asing dapat disepadukan dengan sistem pemantauan.

"Dari segi penguatkuasaan, pangkalan data itu akan dapat menyediakan keperluan maklumat berhubung status semasa setiap warga asing termasuk jenis permit dan pas serta tempoh sah laku pada bila-bila masa operasi dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan.

"Cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing kali ketiga yang dipengerusikan oleh saya hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, selain keperluan prasarana yang bersesuaian, penyediaan pangkalan data ini juga memerlukan kepada penggubalan undang-undang untuk membolehkan pelaksanaannya secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkaitan.

"Antaranya, semua pihak yang didapati berurusan dengan warga asing yang berada di negara ini seperti pihak hotel, pengusaha rumah sewa, pusat pengajian tinggi, hospital dan majikan akan diwajibkan untuk menghantar maklumat kepada pihak yang menguruskan pangkalan data ini.

"Penglibatan orang ramai juga akan dapat ditingkatkan apabila maklumat yang mereka salurkan berhubung warga asing dapat diproses pada kadar segera," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memberitahu akan bertemu dengan Ketua Pengarah Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), William Lacy Swing di sini esok.

Katanya, antara perkara dibincangkan adalah penubuhan pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur dan cadangan untuk membantu melatih pegawai penyiasat dan pendakwa berhubung kes-kes melibatkan pemerdagangan manusia.

"Saya percaya kewujudan pejabat cawangan IOM akan membantu KDN dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia, penyeludupan orang serta masalah berkaitan dengan migrasi," katanya.

IOM adalah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula.

Sunday, March 7, 2010

Esplanade, ikon baru Kuching

Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my



Percikan bunga api mewarnai ruang udara ketika perasmian Esplanade Kuching dekat Tebingan Sungai Sarawak Waterfront , Kuching, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KUCHING 7 Mac 2010 – Esplanade Kuching yang dibina dengan kos RM6.6 juta bukan sahaja menjadi ikon baru di bandar raya ini malah mampu menarik kedatangan kira-kira 3 juta pelancong yang disasarkan setiap tahun.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pembinaan Esplanade itu juga secara tidak langsung mencerminkan imej baru bandar raya ini yang lebih tersusun, menarik serta kondusif.

Menurut beliau, pembinaan Esplanade Kuching di Jalan Gambier di sini merupakan kesinambungan pembangunan Tebingan Kuching yang dijangka menjadi tarikan utama pelancong khususnya dari luar negara.

‘‘Esplanade Kuching ini dikelilingi bangunan-bangunan yang cukup cantik terutamanya Astana Negeri serta Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru selain bangunan bersejarah di sekitar bandar ini.

‘‘Ia akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak, malah pembinaan Esplanade akan menyerlahkan lagi bandar raya Kuching sebagai pusat destinasi pelancongan,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Esplanade Kuching di sini malam semalam.

Dalam pada itu, Abdul Taib memberitahu, Esplanade itu juga akan memberi kesan positif kepada perniagaan di sekitar Main Bazaar, Tua Pek Kong dan Jalan Tun Openg.

Katanya, secara tidak langsung ia akan mengubah orientasi perniagaan tradisional sebelum ini kepada bentuk yang lebih moden serta menarik.

Sehubungan itu, jelasnya, setiap pembangunan yang kerajaan laksanakan akan memberi impak kepada masyarakat terutamanya para peniaga memandangkan Esplanade bakal meningkatkan jumlah pengunjung di kawasan tersebut.

‘‘Pada masa yang sama, setiap pembaharuan perlu memberi tumpuan kepada generasi muda kerana mereka hidup dalam zaman baru dan lebih moden dengan kecenderungan kepada gaya serta fesyen baru luar negara.

‘‘Justeru, kita harus seimbangkan orientasi perniagaan yang dijalankan supaya sesuai dengan cara dan kehendak generasi muda pada masa ini,” ujarnya.

Abdul Taib yakin, pembangunan Esplanade Kuching akan meningkatkan pendapatan para peniaga di kawasan tersebut berlipat kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Esplanade, ikon baru Kuching

Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my

Pusat latihan pekerja restoran dibuka

KUALA LUMPUR 7 Mac 2010 - Kerajaan menyediakan sebanyak RM500,000 untuk membuka pusat latihan bagi warga tempatan yang ingin menjadi tukang masak dan pelayan restoran.

Langkah itu bertujuan mengurangkan pergantungan kepada pekerja-pekerja asing khususnya di restoran-restoran mamak.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan berkata, peruntukan itu merupakan satu peluang kepada warga tempatan untuk bekerja dalam industri perkhidmatan makanan.

"Bersesuaian dengan kempen supaya restoran mengambil pekerja tempatan, peruntukan itu akan dapat membantu pengusaha restoran mengurangkan pekerja asing.

"Sekolah latihan itu akan melatih warga tempatan menjadi tukang masak, pelayan dan juruwang supaya mereka mempunyai kemahiran untuk melakukan tugas dan mengikis perasaan malu kerana menjadi pekerja restoran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Mengambil Pekerja Tempatan di sini semalam.

Kempen anjuran Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) itu adalah untuk menyahut seruan kerajaan supaya tidak menggunakan pekerja asing dalam industri perkhidmatan dan makanan.

Saravanan berkata, bukan pengusaha restoran tidak mahu mengambil pekerja tempatan tetapi ramai warga tempatan yang malu untuk berdepan dengan orang ramai, tidak mahu bekerja lebih masa serta tidak bersungguh-sungguh ketika bekerja.

"Primas menyarankan agar kerajaan memberi tempoh lima tahun untuk pengusaha restoran tidak lagi menggunakan pekerja asing.

"Ini kerana bukan mudah untuk mengambil pekerja tempatan dalam waktu yang singkat," jelasnya.

Sementara itu, pengusaha restoran Sri Nirwana Maju Sdn. Bhd, Amutha berkata, kempen itu boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Namun, dia mengakui bukan mudah untuk mengambil orang tempatan untuk bekerja di restoran.

"Orang tempatan tidak mahu bekerja sebagai pelayan dan tukang masak kerana mereka rasa malu dan tidak mahu kerja lebih masa sedangkan gaji yang ditawarkan boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

"Sikap orang tempatan ini harus dikikis dan ia mengelakkan pengangguran di kalangan golongan belia di negara ini," katanya.

Saturday, March 6, 2010

Bahagian Keselamatan Makanan di setiap negeri

06/03/2010 5:23pm

KUALA LUMPUR 6 Mac 2010 – Bahagian Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan akan diwujudkan di setiap negeri mulai tahun ini bagi memantau tahap keselamatan produk makanan hasil keluaran tempatan dan yang diimport.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemantauan serta pemeriksaan dapat dipertingkatkan di setiap negeri dengan adanya bahagian ini yang sebelum ini dilakukan hanya secara rambang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kilang baru Polar Ice Cream Sdn. Bhd. di sini hari ini, beliau berkata, 10 makmal analisis makanan di seluruh negeri juga akan dinaik taraf untuk memastikan pemeriksaan keselamatan makanan dapat diperluaskan lagi.

Misalnya untuk produk aiskrim pada 2008 sejumlah 224 sampel diuji, hanya satu mengandungi bahan terlarang, sementara pada 2009 sebanyak 232 sampel diuji dan satu juga sampel didapati mengandungi bahan terlarang, katanya.

Semua produk yang mengandungi bahan terlarang itu sudah ditarik balik dari pasaran, tambah Tiong Lai. – Bernama

Thursday, March 4, 2010

MAS permudahkan perkhidmatan

Indira Nair bersama pengacara Destinasi Bajet, Qushairi Mohammed Razali dan Sheryl Samad selepas pelancaran destinasi Bajet 3 di Akademi MAS, Kelana Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 4 Mac 2010 - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini melancarkan rancangan pengembaraan 'Destinasi bajet jom MAS!' secara eksklusif menerusi portal pengembaraannya, www.MAStraveller.com.

Rancangan itu akan memaparkan perkara-perkara yang membabitkan pengembaraan seperti penginapan, makanan pada kadar yang murah serta aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di sesuatu destinasi.

Pengurus Besar Besar Kanan MAS (Komunikasi), Indira Nair berkata, inisiatif tersebut mampu menarik pengembara menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan kebangsaan itu.

''Dua atau tiga tahun lalu terdapat tiga kategori pelancong iaitu mereka yang setia kepada syarikat penerbangan tambang murah, mereka yang setia kepada syarikat penerbangan premium dan mereka yang sentiasa berubah-ubah (memilih jenis syarikat penerbangan).

''Bagaimanapun, dengan turun naik harga minyak serta ketidaktentuan ekonomi menyaksikan trend tiga kategori pelancong ini berubah-berubah,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran 'Destinasi bajet jom MAS!' menerusi MAStraveller.com di sini, hari ini.

Hadir pada majlis pengacara 'Destinasi bajet jom MAS!', Qushairi Mohammed Razali yang dikenali Qi an pengacara televisyen, Cheryl Samad.

Menurut Indira, kewujudan rancangan tersebut berikutan kekhuatiran terhadap perbelanjaan yang tinggi perlu ditanggung oleh pengembara.

Sempena dengan pelancaran itu, MAS menganjurkan peraduan yang menawarkan satu tiket penerbangan ke mana-mana destinasi ASEAN ataupun domestik setiap minggu sepanjang musim 'Destinasi bajet jom MAS!'.

Bagi menyertai peraduan itu, peserta hanya perlu menjawab satu soalan berdasarkan destinasi yang disiarkan di 'Destinasi bajet jom MAS!'.

DBKK perkenal mesin bayar cukai 24 jam

Yeo Boon Hai (dua dari kanan) cuba menggunakan mesin Kios Pembayaran DBKK sempena majlis pelancaran kios tersebut

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 4 Mac 2010 – Penduduk di bandar raya ini kini mempunyai pilihan untuk membayar cukai taksiran apabila Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkenalkan mesin pembayaran pintar berkuat kuasa hari ini.

Mesin yang diletakkan di hadapan pintu masuk bangunan DBKK itu membolehkan orang ramai membayar cukai masing-masing di luar waktu pejabat kerana ia beroperasi 24 jam.

Majlis pelancaran mesin pembayaran itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBKK, Yeo Boon Hai.

Boon Hai berkata, penggunaan mesin itu mampu meningkatkan kutipan hasil cukai dan memberi keselesaan kepada pembayar cukai di bandar raya ini.

“Mesin ini mudah dikendalikan dan ia mesra pelanggan kerana menerima bayaran menggunakan wang tunai, cek, kad kredit atau kad debit.

“Apabila hendak melakukan pembayaran, apa yang perlu dibuat oleh pembayar adalah membawa bil cukai atau mengetahui nombor rujukan bil mereka dan seterusnya boleh membuat pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, di peringkat permulaan, mesin tersebut hanya menerima pembayaran cukai pintu.

Jelasnya, jika mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, DBKK akan memperluaskan perkhidmatan mesin itu untuk menerima bayaran lesen dan kompaun.

Thailand tawar pelancong insurans

Pelawat asing dilindungi kerana krisis politik

BANGKOK: Thailand menawarkan perlindungan insurans bernilai AS$10,000 (RM34,000) kepada sesiapa yang terjejas dalam rusuhan dan demonstrasi termasuk pelawat asing dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara itu berikutan krisis politik tempatan.

Tawaran lain termasuk semua bentuk yuran visa secara percuma hingga potongan cukai lapangan terbang.

"Langkah berkenaan bertujuan menyokong industri pelancongan. Keadaan sudah pulih tetapi perniagaan masih lagi perlukan bantuan," kata jurucakap kerajaan Thailand, Panitan Wattanayagorn awal minggu ini.

Thailand dilanda krisis politik selepas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera 2006. Lebih banyak demonstrasi dijadualkan bagi penyokongnya pertengahan bulan ini.

Pada 2009, bilangan pelancong merosot kepada 14.1 juta, kira-kira lapan peratus penurunan daripada tahun sebelumnya manakala pendapatan hanya dicatatkan sebanyak 527 bilion baht (AS$16 bilion), kira-kira tiga peratus penurunan daripada 2008. Pelancongan adalah punca pendapatan mata wang asing utama negara itu.

Perlindungan insurans percuma selain langkah penggalakan pelancongan lain diperkenal selepas dua lapangan terbang utama Bangkok diambil alih penunjuk perasaan pada lewat 2008 menyebabkan beratus ribu pelancong terkandas.

Jurucakap Kementerian Sukan dan Pelancongan, Vachara Kannikar, berkata perlindungan insurans sebanyak $10,000 itu dilanjutkan sehingga akhir tahun dan layak kepada semua pelawat asing yang pernah mengalami kehilangan atau kerugian akibat masalah politik berkenaan termasuk kematian, kecederaan atau kecacatan.

Mangsa juga akan menerima rawatan perubatan percuma dan pampasan sebanyak AS$1,000 (RM3,400) sehari jika dimasukkan ke hospital selama lebih 10 hari.

Pelancong yang berhadapan dengan penangguhan perjalanan disebabkan rusuhan dan demonstrasi akan diberikan AS$100 (RM340) sehari. Tetapi, jumlah berkenaan dan tempoh tinggal di hospital tidak boleh melebihi jumlah keseluruhan sebanyak $10,000.

Pelancong semua kerakyatan akan diberikan pelepasan yuran visa sehingga Mac 2011, kata Vachara, sambil menambah bahawa ia mungkin akan menjadi satu dasar. – AP

Konsep PDRM diperluas

KUALA LUMPUR 4 Mac 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperluaskan konsep 'Berhenti dan Bercakap' bagi mengurangkan rasa tidak selamat orang ramai terhadap jenayah di lokasi tumpuan umum dan lokasi-lokasi panas di negara ini.

Melalui pendekatan itu, setiap anggota polis yang bertugas di lokasi-lokasi panas akan berhenti untuk bercakap dengan orang ramai bagi mengenal pasti masalah mereka atau maklumat mengenai jenayah.

Konsep itu dilancarkan pada 8 Januari lalu dan menyasarkan lokasi panas yang dikenal pasti di sekitar ibu negara, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Menurut Penolong Pengarah Gerakan Pengawal Pengiring Bukit Aman, Supritendan Mohd. Anuar Osman, langkah itu melibatkan sesi dialog antara polis dan masyarakat selama 20 hingga 30 minit di setiap lokasi.

Katanya, anggota polis peronda akan berhenti di lokasi-lokasi tersebut dan menjemput orang awam seperti pejalan kaki dan pengguna motosikal untuk berinteraksi.

"Orang ramai juga boleh menyemak saman trafik, rekod kesalahan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen atau perkhidmatan lain yang disediakan.

"Selain itu, orang ramai boleh juga menyalurkan sebarang maklumat berhubung jenayah di kawasan mereka terus kepada anggota-anggota polis peronda yang ditugaskan," katanya ketika ditemui di lokasi program itu yang dilancarkan berdekatan stesen monorel Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.

Jelas Mohd. Anuar, langkah tersebut dilihat berupaya mengurangkan kadar jenayah jalanan di lokasi-lokasi panas selain mewujudkan rasa selamat di hati orang ramai dengan kehadiran pihak polis.

Katanya, sambutan yang diterima setakat ini amat baik dan ia akan diteruskan sebagai program tetap pasukan polis peronda.

IPTA dibenar laksana pengajian secara online (4/3/10)

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh menawarkan program pengajian masing-masing ke peringkat antarabangsa melalui online serta francais.

Malah, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, IPTA digalak menawarkan pengajian ijazah pertama melalui online kepada penuntut antarabangsa melalui saluran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Asia e University (AeU).

Katanya, dasar sedia ada menetapkan jumlah pengambilan pelajar asing untuk program peringkat ijazah pertama dalam kampus IPTA terhad kepada kuota sebanyak lima peratus saja.

Justeru dengan penawaran program melalui online, IPTA dapat mempertingkat pengambilan pelajar asing dalam pengajian ijazah pertama tanpa menjejaskan peruntukan tempat kemasukan yang disediakan bagi mahasiswa tempatan, katanya.

“Pelaksanaan pengajian online ini secara langsung menjadi satu kaedah untuk IPTA meningkatkan sumber pendapatan.

“Ini adalah pendekatan inovatif yang diusahakan. Dalam konteks ini, setiap universiti harus bekerjasama walaupun mengamalkan persaingan secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancar dan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) program perantis antara Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI), Institut Jerman Malaysia (GMI) serta UTI Worldwide Malaysia Sdn Bhd di sini, semalam.

Sementara itu, Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi dan kolej komuniti sedang bekerjasama dengan pihak industri untuk menyediakan latihan melalui program perantis kepada belia yang ‘tercicir’ daripada melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan.

Melalui kaedah itu katanya, belia berkenaan dapat menimba pengalaman menjalani latihan kemahiran secara langsung dalam bidang industri walaupun tidak memasuki pendidikan formal, sekali gus dapat menyumbang ke arah penjanaan pekerja berpengetahuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang pengajian tinggi melalui pelancaran EU-Malaysia Link, akhir bulan ini, yang membolehkan ahli akademik dan IPT di negara ini memanfaatkan pelbagai peluang disediakan oleh EU dalam sektor berkenaan, termasuk geran penyelidikan.

Cadang perlindungan insurans guru pedalaman

KUALA LUMPUR 4 Mac 2010- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran yang akan mengambil kira pengalaman golongan guru yang berkhidmat di pedalaman untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain.

Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, para guru yang berkhidmat di luar bandar mempunyai pengalaman luas dan mereka berhak menerima kenaikan pangkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mahu insentif lain dipertimbangkan untuk menggalakkan golongan guru berkhidmat di kawasan luar bandar.

"Kerajaan boleh memperkenalkan perlindungan insurans khas bagi golongan yang berkhidmat di kawasan pedalaman. Insentif itu bukan untuk semua tetapi mereka yang terpaksa menggunakan bot atau tinggal di kawasan berisiko tinggi.

"Insentif tambahan ini mungkin akan menggalakkan para guru untuk bekerja di kawasan luar bandar dan memberi pengajaran terbaik kepada pelajar di sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengumumkan pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain termasuk tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Tambah Yim Pheng, bagaimanapun pihaknya sedar terdapat kakitangan awam lain yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan berisiko tinggi.

"Oleh itu, kami tidak akan memaksa kerajaan untuk melaksanakan insentif perlindungan insurans khas terhadap golongan guru.

"Setakat ini, kerajaan telah membuat yang terbaik untuk kebajikan para pendidik dan kami sangat menghargainya," kata beliau.

Sentral: Tabung Wakaf RTK dilancar (4/3/10)

Oleh Nurhasyima Hasim
3,000 lot dijual bagi kumpul dana beli rumah tampung 120 penghuni

KUALA LUMPUR: Selepas 11 tahun menyewa dua rumah bagi memberi perlindungan dan menempatkan golongan memerlukan, Rumah Titian Kasih (RTK) semalam, melancarkan Tabung Wakaf RTK bertujuan mengumpul dana melalui jualan lot wakaf bagi membeli sebuah rumah untuk 120 penghuninya di sini.

Pengasas RTK, Sharifah Adlan, berkata RTK menyediakan 3,000 lot wakaf untuk dijual kepada orang ramai pada harga RM1,000 bagi setiap lot yang diharapkan dapat menampung bayaran pembelian tapak dan rumah bernilai RM2.7 juta yang selama ini disewa di Persiaran Titiwangsa, berhampiran Tasik Titiwangsa di sini.

“Bagaimanapun, RTK tetap menerima sumbangan bawah RM1,000 daripada mereka yang berminat. Sementara itu, mereka yang membeli lot wakaf berharga RM1,000 akan diberikan sijil untuk potongan cukai. Pembelian rumah ini sudah lama dirancang bagi mengelak daripada terus membayar sewa rumah yang tinggi setiap bulan.

“Selain itu, RTK turut mengambil kira keperluan perbelanjaan untuk penghuni berikutan pertambahan penghuni di dua rumah perlindungan berkenaan. Justeru, kami amat mengharapkan sokongan rakyat Malaysia yang prihatin bagi merealisasikan niat murni ini.

“Orang ramai yang berminat membeli lot wakaf berkenaan boleh menyalurkan terus sumbangan kepada Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan Titian Kasih Kuala Lumpur melalui akaun Maybank bernombor 564061002172.

“Mereka yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi saya di 019-6455769 atau Penasihat RTK, Md Salleh Abd Hamid di talian 013-3793532,” katanya.

Sharifah menjelaskan, buat masa ini, RTK tidak menerima sebarang bantuan tetap termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya bergantung kepada sumbangan pihak korporat dan individu yang bersimpati.

“Jika pembelian rumah ini berjaya, sekurang-kurangnya RTK akan dapat menggunakan wang yang selama ini dikhaskan bagi membayar sewa rumah untuk perkara lebih memerlukan.

“Ia juga diharap dapat mengembangkan potensi RTK sebagai pusat perlindungan utama di ibu negara untuk kanak-kanak dan anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal beragama Islam yang kurang bernasib baik,” katanya.

PDRM tempat 32 balai bergerak di 50 kawasan panas (4/3/10)

KLANG: Sebanyak 32 balai polis bergerak telah ditempatkan di 50 "kawasan panas" dengan jenayah di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bagi meningkatkan kehadiran polis di kawasan itu dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam serta mencegah jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menerima 90 lagi balai polis bergerak, di mana 60 adalah van dan 30 lagi bas mini, pada Jun depan dalam usaha menurunkan kadar jenayah di negara ini.

"Balai Polis Bergerak ini dilengkapi dengan sistem komputer yang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah seperti kecurian atau kehilangan kereta," katanya kepada pemberita selepas penyerahan lapan lagi balai polis bergerak dalam bentuk van kepada kontinjen Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di Balai Polis Komuniti Bukit Tinggi di sini hari ini.

Katanya, balai bergerak itu disediakan oleh kerajaan menerusi Peruntukan Khas Perdana Menteri kerana pembinaan balai polis baru mungkin terpaksa menunggu sehingga Rancangan Malaysia ke-10.

Hishammuddin berharap badan bukan kerajaan dan PDRM dapat bekerjasama bagi mewar-warkan kepada orang ramai mengenai kemudahan balai polis bergerak yang ditempatkan di 50 kawasan panas itu.

Beliau berkata, bagi meningkatkan keberkesanan rondaan polis, motosikal telah mula digunakan kerana ia didapati berkesan daripada rondaan berjalan kaki di mana 393 motorsikal telah diterima dan digunakan oleh PDRM ketika ini.

"Pada masa yang sama, pihak PDRM juga telah memohon 404 motosikal tambahan yang digunakan di kawasan panas ini. Penempatan balai polis bergerak dan penggunaan motosikal ini adalah bagi menunjukkan peningkatan kehadiran polis di kawasan panas," katanya.

Hishammuddin berkata, seramai 37,883 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) telah ditempatkan di 50 kawasan panas di empat negeri itu bagi mengurangkan kadar jenayah.

Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga menyumbang 415 polis bantuan mereka untuk membantu PDRM dalam inisiatif membasmi jenayah.

Malah, beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk memberi peluang orang awam melakukan tugas pengkeranian polis dan sejumlah 1,456 anggota polis yang kini menjalankan tugas pengkeranian telah dikenalpasti bagi melakukan tugas rondaan.

Hishammuddin berkata, walaupun tumpuan polis diberikan kepada 50 kawasan panas di empat negeri itu, tidak bermakna keselamatan orang awam di kawasan lain akan diabaikan.

Beliau berkata, penumpuan khusus yang diberikan kepada empat negeri itu adalah kerana mereka menyumbang kepada 87 peratus kadar jenayah di seluruh negara.

Dengan penumpuan khusus itu, kadar indeks jenayah negara turun sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat 2009 berbanding suku kedua 2009, serta penurunan indeks jenayah jalanan sebanyak 7.6 peratus dalam tempoh masa yang sama.

Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar hari ini bahawa terdapat tukang jahit warga Bangladesh yang menerima tempahan pakaian pasukan keselamatan tanpa menyelidik latar belakang pelanggan, beliau berkata:

"Salah tu...kita tak akan kompromi dalam tu, saya minta mereka berhenti atau kita ambil tindakan."

Mengenai sikap masyarakat yang seolah-olah membiarkan kejadian kematian Syafiah Humairah Sahari, 3, yang disyaki mati didera baru-baru ini, Hishammuddin berkata puncanya akan dicari.

Beliau berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi menggalakkan masyarakat berani tampil bukan sahaja untuk membantu siasatan tetapi sehingga kes itu dibawa ke muka pengadilan.

Mengenai isu anugerah darjah kehormat yang dikurniakan oleh wakil Sultan Sulu kepada tiga rakyat Malaysia Selasa lalu, Hishammuddin berkata walaupun kesahihan anugerah itu dipertikaikan, masih ada pihak yang menerimanya tetapi rakyat Malaysia boleh menilai sendiri nilai penganugerahan itu. - Bernama

Wednesday, March 3, 2010

Kerja komuniti langsai hutang

Oleh AZIAN AZIZ
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 3 Mac 2010 - Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor yang mempunyai tunggakan sewa melebihi RM3,500 pada 31 Disember lalu kini mempunyai pilihan untuk melangsaikan tunggakan tersebut.

Pilihan itu ialah melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat di komuniti mereka.

Kerja khidmat masyarakat itu dibahagikan kepada empat syif dengan setiap syif memakan masa selama empat jam dan penghuni yang terlibat perlu melakukan kerja sebanyak tiga syif bagi melunaskan bayaran sewa untuk sebulan.

Kerja khidmat masyarakat yang ditawarkan ialah mengendalikan pusat penerangan dan aduan setempat, pemantauan kejiranan, mengendalikan kelas kemahiran atau pendidikan kepada komuniti dan program pengawasan harta awam.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, tidak semua penghuni layak untuk menyertai program yang baru diperkenalkan itu.

Menurutnya, golongan yang layak ialah penghuni yang berpendapatan kurang daripada RM720 sebulan, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

"Mereka yang tidak termasuk dalam kumpulan itu perlu membayar tunggakan sewa seperti biasa," jelasnya di sini hari ini.

Beliau berkata, penghuni yang terlibat boleh memilih jenis khidmat yang hendak dilakukan serta waktu syif yang sesuai mengikut kelapangan masing-masing sehingga tunggakan selesai.

Iskandar berkata, program tersebut diharap dapat mendidik rakyat supaya lebih bertanggungjawab, di samping dapat meningkatkan aktiviti komuniti di PPR terlibat.

Berdasarkan rekod, katanya, terdapat lebih 3,000 penghuni PPR di empat kawasan di Selangor iaitu Taman Putra Permai, Kota Damansara, Kampung Baru Hicom dan Serendah, Rawang mempunyai tunggakan sewa yang berjumlah RM4.2 juta sehingga kini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan program perintis untuk kerja-kerja khidmat masyarakat tersebut di PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang pada 1 April ini.

"Sekiranya program itu berjaya, ia akan dikembangkan ke PPR lain," tambah beliau.

Siri Program Pencipta Muda TPM bermula

PENGURUS Kanan Teknologi Maklumat Teknology Park Malaysia (TPM), Aminuddin Ahmad (tengah) bersama peserta pencipta muda yang berjaya menamatkan kursus sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 di Dewan 2020, Kangar baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------


KANGAR 2 Mac 2010 - Siri penjelajahan Program Pencipta Muda oleh Technology Park Malaysia (TPM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini baru-baru ini, menyaksikan kejayaan rekacipta inovasi baru telefon bimbit oleh gabungan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Kumpulan Radiation yang dianggotai Nur Afiqah Idris, Syaed Syawal Mustaqim, Ahmad Zulhilmi Mohamad dan Mohamad Syahmi Rodzi muncul johan melalui hasil ciptaan telefon bimbit yang mempunyai sistem keselamatan kawalan suara dan cap jari.

Sistem kawalan suara dalam telefon itu mampu mengawal aplikasi telefon itu sendiri selain mempunyai peranti kesihatan yang dapat memberitahu pengguna tentang suhu badan, tekanan darah, berat badan dan tekanan darah.

Pemenang kedua ialah kumpulan Coarge-i yang dianggotai oleh Mohd. Aswad Abd. Rahman, Nur Asykin Izhar, Majidah Mohd. Azam dan Izatul Arina Hasan Basri melalui ciptaan telefon bimbit.

Alat itu mampu bertindak sebagai penggera kereta dan mengesan kenderaan yang hilang selain boleh memberi maklumat seperti peranti sistem penentu global (GPS) kepada pemilik telefon tersebut.

Kedua-dua kumpulan itu memenangi set telefon bimbit dan sijil penghargaan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Mohamad Zaibid Zainal pada majlis penutup Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) peringkat Zon Utara di Dewan 2020 di sini baru-baru ini.

Program Pencipta Muda itu berjaya menghimpunkan sebanyak 40 pelajar dan mahasiswa dari seluruh Perlis, bertujuan menggalakkan penjanaan minda kreatif di kalangan pelajar agar menjadi individu yang kreatif dan inovatif serta mampu melahirkan idea inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ia juga memberi peluang kepada pencipta muda mencipta dan melahirkan produk inovatif berdasar konsep menggunakan teknologi paling mudah dalam mereka cipta produk inovatif.

Pada hari pertama program tersebut, para pelajar dan mahasiswa diberi pendedahan untuk mempelajari teori dan kajian kes serta aktiviti kumpulan.

Kajian kes itu disampaikan oleh Zirtopia, WIZE Mobile dan Nexviv tentang inovasi dalam Market Mobile, Mobile TV dan Mobile Phone.

Program di negeri ini merupakan yang pertama daripada empat siri Program Pencipta Muda.

Objektif program tersebut adalah untuk memberi pendedahan awal mengenai penciptaan inovasi asas, melatih pelajar menjadi lebih kreatif dan inovatif dan menggalakkan pemahaman dan penguasaan teknik rekacipta.

Selain itu ia bertujuan melatih pelajar untuk menghasilkan prototaip, memberi landasan kepada pelajar mempamerkan penghasilan produk serta memberi pendedahan mengenai penggalakkan pengkomersialan hasil produk yang inovatif.

Selangor wartakan semula hutan Kota Damansara

Mac 3, 10 4:50pm

Kerajaan Negeri Selangor telah mewartakan semula Hutan Kota Damansara, meliputi kawasan seluas 321.7 hektar (795 ekar), sebagai hutan simpan kekal dari 18 Feb tahun ini selepas kempen selama lapan tahun oleh Friends of Kota Damansara (FKD), sebuah badan bukan kerajaan, kata pengerusi bersama FKD Jeffrey FK Phang hari ini.

FKD ialah gabungan 20 persatuan penduduk dan kumpulan alam sekitar yang berkempen bagi Hutan Kota Damansara dimanfaatkan bagi tujuan rekreasi, pendidikan dan penyelidikan.


Asalnya dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Buloh, kawasan hutan itu pertama kali diwartakan pada 1898 membabitkan kawasan 6,590 hektar.

"Ia memegang rekod sebagai hutan tertua diwartakan di Malaysia sehingga 1983 di mana separuh daripada kawasan asal hutan simpan itu digunakan bagi pertanian," katanya dalam kenyataan.

Pada 1992, seluas 1,600 hektar diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan bandar Kota Damansara manakala pada 1993, kerajaan negeri memperuntukkan 402.6 hektar daripada kawasan hutan simpan itu bagi taman botani.

Apabila perancangan bagi taman botani dibatalkan dan cadangan pembangunan bagi kawasan itu diterbitkan pada Mei 2002, penduduk mengadakan bantahan pertama.

Pada Disember 2007, Draf Pelan Tempatan Petaling Jaya 2020 mendedahkan hampir seluruh kawasan tanah itu diperuntukkan bagi pembangunan perumahan dengan satu kawasan kecil diperuntukkan bagi rekreasi.

Berikutan pewartaan terbaru kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kekal oleh kerajaan negeri, ia juga diklasifikasikan sebagai kawasan hutan untuk penyelidikan, pendidikan dan rekreasi, kata Phang.

- Bernama

Insentif tunai balai polis kurang kadar jenayah (3/3/10)

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

HISHAMMUDDIN mendengar pengalaman petugas TV3, Ratnawati Jamil (tiga dari kanan ) mengenai rompakan di rumahnya di Kota Damansara ketika menghadiri Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah di Kota Damansara, semalam.


PETALING JAYA: Kerajaan akan memberi insentif wang tunai menerusi sistem penarafan bintang dikenali 'Liga Balai Polis' bagi mengiktiraf balai yang mencapai sasaran membanteras serta mengurangkan kadar jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata insentif itu akan dikongsi setiap warga balai polis berkenaan daripada peringkat ketua sehingga pemotong rumput.

Beliau berkata, antara kriteria utama yang diambil kira dalam penarafan bintang itu ialah kejayaan balai polis berkenaan membanteras serta mengurangkan kadar jenayah di kawasan masing-masing.



Hishammuddin berkata, liga berkenaan yang dijangka dilancarkan dua minggu lagi, dapat memastikan standard 754 balai polis di seluruh negara dipantau, selain memberi penghormatan, pengiktirafan dan semangat untuk terus menjaga kebajikan serta kedudukan balai masing-masing.

"Kita akan paparkan senarai balai polis dalam kedudukan 10 terbaik, manakala yang lain perlu diberi ruang untuk memperbaiki diri supaya boleh diletakkan pada barisan teratas.

"Inilah cara bagaimana kita sentiasa meletakkan nilai tambah kepada gerakan kita. Liga Balai Polis ini hanya satu daripada 52 inisiatif yang dibincangkan pada peringkat makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah di Kota Damansara di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, maklumat terperinci liga itu termasuk jumlah ganjaran wang tunai akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis pelancarannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata, tahun ini adalah masa untuk pelaksanaan segala inisiatif yang diumumkan dan bukan lagi tempoh untuk berbincang atau mendapat pandangan, dengan mengaplikasikan pendekatan lebih kreatif berbanding dulu, termasuk peruntukan 90 balai polis bergerak.

Mengenai balai polis di kawasan `panas' yang mungkin menghadapi kekangan untuk mencapai penarafan bintang lebih tinggi berbanding balai polis di kawasan `tenang', Hishammuddin berkata:

"Rakyat akan menilai sendiri sama ada wujud liga atau pun tidak. Apa yang saya hendak lakukan ialah memberi semangat kepada mereka. Saya tahu ada balai polis di mana orang ramai, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemaju perumahan tampil membantu."

Malah, katanya, jenayah indeks sudah menurun sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat 2009 berbanding suku kedua tahun sama, manakala jenayah jalanan menurun 7.6 peratus dalam tempoh sama.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri kini berada dalam landasan terbaik untuk merealisasikan matlamat penurunan jenayah indeks dan jenayah jalanan.

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, beliau akan meneruskan program turun padang seperti di Kota Damansara bagi mendapat maklum balas secara langsung dari peringkat akar umbi.

"Orang ramai juga boleh berjumpa saya untuk sebarang aduan jika ada balai polis yang tidak buat kerja," katanya.

Tuesday, March 2, 2010

UiTM bina enam kampus baru

02/03/2010 3:28pm

PUTRAJAYA 2 Mac 2010 - Pembinaan enam buah kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di enam lokasi akan dibuat menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta bagi memenuhi sasaran penempatan 200,000 pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, enam lokasi itu ialah di Pasir Gudang, Johor, Jasin (Melaka), Seremban 3 (Negeri Sembilan) Samarahan (Sarawak), Puncak Alam (Selangor) dan Tapah (Perak).

"Setiap satu kampus itu membabitkan kos sebanyak RM300 juta dan mampu menempatkan 5,000 pelajar. Kesemua projek itu dijangka dapat beroperasi dalam tempoh setahun setengah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Konsesi Asrama Secara Penswastaan antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan Pengurusan Konsesi Asrama Sdn Bhd (Peka). - Bernama

Monday, March 1, 2010

Program tingkat pencapaian semua sekolah diperkenal

PUTRAJAYA, 2/3/10: Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan Program Memperbaiki Sekolah-Sekolah bagi membantu meningkatkan tahap pencapaian semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tumpuan program berkenaan adalah terhadap sekolah-sekolah yang tahap pencapaian mereka kurang memberangsangkan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Kita akan perkenalkan program ini nanti supaya tiada pihak yang membuat andaian Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) merupakan sekolah elit, dan Kementerian Pelajaran hanya hendak membantu 20 buah sekolah berkenaan.

"Kita ada 10,000 buah sekolah di seluruh negara, kita hendak jaga semua. Yang penting sekolah-sekolah di tahap yang belum maju di bawah 40 peratus, pencapaian mereka dapat ditingkatkan," katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi. - Bernama

Juhar rintis kafe bola sepak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Sebahagian pengunjung menikmati makanan sambil menonton perlawanan bola sepak di skrin besar yang disediakan di kafe Soccer Station. – UTUSAN/Rizalman Nor

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 1 Mac 2010 – Restoran atau kafe mana? Itu lazimnya pertanyaan peminat bola sepak kepada rakan mereka apabila diajak menonton siaran langsung perlawanan pasukan pilihan sama ada dalam atau luar negara.

Menonton siaran langsung bersama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama di tempat terbuka sambil menjamu selera memberikan keasyikan berganda berbanding menyaksikannya di rumah.

Namun tidak semua premis menyajikan suasana yang selesa malah ada di kalangan pemilik restoran tidak menyenangi ‘pelanggan’ golongan ini atas beberapa sebab.

Antaranya, golongan ini akan menghabiskan masa yang lama sedangkan mereka ada kalanya hanya memesan segelas air.

Namun kini ada kafe khusus di Jalan Sultan Yahya Petra di sini bagi mereka yang ingin menyaksikan secara santai dengan waktu operasinya bermula dari tengah hari hingga pukul 3 pagi.

Malah ia akan terus beroperasi jika terdapat perlawanan yang berakhir menjelang subuh.

Kafe berkenaan, Soccer Station diusahakan oleh bekas pengurus bank di Petaling Jaya, Juhar Omar, 51, yang kembali ke negeri asalnya untuk memulakan perniagaan itu tahun lalu.

Beliau membelanjakan kira-kira RM150,000 bagi mengubah suai premis berkenaan agar lebih selesa dan dapat memberi ‘mood’ dunia bola sepak kepada para pengunjung.

Premis itu dicat merah sepenuhnya, menyerlahkan kewujudannya, bagaikan simbol semangat terhadap sukan itu.

Warna itu sebenarnya menjadi warna lambang negeri dan skuad Wira Merah manakala di dinding kafe itu dihiasi dengan poster-poster pasukan bola sepak ternama dunia dan bintang-bintang mereka.

Juga turut dipaparkan pelbagai cenderamata yang berkaitan dengan bola sepak termasuk yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Menurut Juhar, idea untuk membuka perniagaan berkonsepkan bola sepak diilhamkan oleh anak lelakinya yang melihat sukan itu sebagai medium untuk menyatukan peminat dan menarik pengunjung.

Katanya, perniagaan ala kafe atau bistro khusus untuk bola sepak belum pernah diwujudkan di negeri ini dan beliau sudah ada perancangan untuk mengembangkan melalui sistem francais berdasarkan sambutan yang menggalakkan.

“Dengan adanya konsep ini, para peminat bola sepak di sekitar Kota Bharu, boleh berkumpul dan berkongsi pandangan mengenai pasukan yang diminati,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Soccer Station akan lebih meriah dan hidup dengan sorakan dan tepukan semasa musim Liga Perdana Inggeris, Liga Sepanyol, Liga Juara-Juara dan liga tempatan berlangsung.

‘‘Pada musim Piala Dunia Jun nanti, kami akan menyediakan tarikan baru termasuk mengadakan cabutan bertuah kepada pelanggan,” ujarnya.

Premisnya turut menjadi persinggahan pemain bola sepak pasukan Kelantan dan peminat boleh menemui mereka secara langsung di situ.

Justeru kemunculan mereka membantu melebarkan promosi Soccer Station sekali gus menarik tambahan pengunjung apatah lagi masyarakat di negeri ini amat menggemari bola sepak dan begitu fanatik terhadap pasukan negeri.

Juhar menambah, premis tersebut juga bukan hanya bertumpu kepada bola sepak, tetapi menitikberatkan mutu sajian dengan penyediaan menu tempatan dan Barat di samping masakan istimewa dari Asia Barat iaitu kebab.

“Di tingkat atas pengunjung berkumpulan boleh menempah ruang untuk tontonan secara eksklusif yang boleh menampung sehingga 50 orang,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga menjadikan premis itu bagi menjalankan kursus motivasi khususnya untuk remaja, keusahawanan serta berkaitan riadah dan sukan.

Di samping itu, ia menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma yang turut menarik pengunjung terutama pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan mereka akan menerima diskaun lima peratus bagi setiap pesanan.

‘‘Setiap lima peratus hasil jualan terhadap setiap pelanggan, kami asingkan untuk didermakan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ia suatu sumbangan kecil daripada kami,” ujarnya.

Sentral: PDN teruskan operasi unit bergerak (1/3/10)

KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) akan meneruskan operasi unit bergeraknya di sekitar Lembah Klang dan Selangor bermula semalam hingga 28 Februari ini.

Inisiatif itu untuk memudahkan orang ramai menderma darah bagi menampung bekalan darah di hospital yang memerlukan.

Antara tempat terpilih bagi menderma darah semalam ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Ukur Bahan Kontrak, Menara Tun Ismail Jalan Raja Laut bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan Kem Paya Jaras Sungai Buloh bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang.

Unit bergerak PDN berkenaan akan beroperasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak juga mulai semalam hingga 25 Februari, manakala di Universiti Industri Sains Selangor (Unisel) di Bukit Tagar, Batang Berjuntai dari semalam hingga 24 Februari. Operasi berkenaan akan dimulakan pada jam 9.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang.

Hari ini ia diadakan di Perbadanan Putrajaya Persint 8; Sungei Wang dan Hospital Selayang bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, unit bergerak itu kemudian ke Kuala Lumpur Metropolitan Jalan Raja Laut; Tingkat 7 Bangunan Kumpulan AMBank Jalan Raja Chulan; RHB Bank Bandar Baru Bangi dan Menara Wawasan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jalan Raja Abdullah, esok bermula 9.30 pagi hingga 5 petang.

Pada 25 Februari pula, ia akan beroperasi di Tan Chong Motor Rawang pada jam 3 petang hingga 6 petang; Universiti Pengurusan Sains Shah Alam pada jam 9 pagi hingga 4 petang; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus Kuala Lumpur pada jam 10 pagi hingga 4 petang dan Citibank Ampang pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang.

Unit bergerak itu akan menyambung operasi mereka pada 26 dan 27 Februari di masjid serta Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar Lembah Klang dan Selangor bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pada 28 Februari, ia akan beroperasi di tiga tempat iaitu berhampiran Stadium Tasik Titiwangsa bermula jam 10 pagi hingga 2 petang; Pusat Perubatan Forrest, Taman Usahawan Kepong pada jam 9 pagi hingga 3 petang dan Jaya Jusco Cheras Selatan bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

Selain itu, orang ramai juga turut dialu-alukan untuk menderma darah di PDN yang memulakan operasinya setiap Isnin hingga Sabtu bermula jam 7.30 pagi.

Semua CCTV diselaras bagi bendung jenayah jalanan

KUALA LUMPUR 1 Mac 2010 - Semua sistem kamera litar tertutup (CCTV) awam di negara ini akan diselaraskan bagi tujuan membendung jenayah jalanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (gambar) berkata, bagi tujuan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan pada Jumaat ini.

"Kita mempunyai ribuan CCTV tetapi penggunaannya sehingga kini gagal diselaraskan dan ia merupakan satu kerugian.

"Bagi Kementerian Pengangkutan dan PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), CCTV milik mereka hanya ditumpukan kepada lalu lintas dan inilah yang mahu kita optimum dan selaraskan penggunaannya,'' kata beliau.

Hishammuddin berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Di Luar Lingkungan Bersama Sayed Munawar yang disiarkan secara langsung di TV1, di sini malam ini.

Hadir sama selaku ahli panel ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Menurut Hishammuddin, langkah menyelaras semua CCTV itu akan membantu pihak polis mengesan dan memburu penjenayah jalanan terutamanya peragut.

Dalam pada itu beliau memberitahu, mulai esok, Kementerian Dalam Negeri akan melancarkan kempen mengurangkan jenayah secara agresif terutamanya di kawasan-kawasan yang mencatatkan indeks jenayah yang tinggi.

"Saya sendiri akan turun padang mulai esok dan tumpuan kami ialah di Petaling Jaya dan Klang serta di Ipoh, Perak dan Negeri Sembilan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain,'' jelasnya.

Kata beliau, melalui usaha agresif itu, pihaknya yakin sasaran bagi mengurangkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus menjelang hujung tahun ini mampu dicapai.

Sementara itu, Idris Jala memberitahu, pemandu yang bertanggungjawab memantau prestasi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi semua kementerian yakin usaha menangani jenayah jalanan akan dapat dikurangkan secara berperingkat-peringkat dalam masa tiga tahun dari sekarang.

Beliau berkata, keyakinan itu timbul memandangkan sehingga kini, 13 peratus jenayah jalanan terutamanya di kawasan panas berjaya dikurangkan dalam tempoh kurang setahun.

30 kem tentera dibangun semula

KUALA LUMPUR, 1/3/10: Semua 30 kem Tentera Darat di seluruh negara yang dibangunkan semula di bawah program "Army Camp" (Kem Tentera) dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, berkata di bawah program yang diperkenalkan pada 2005 itu, kem lama dan usang akan diroboh dan dibina baru dengan menggunakan kaedah Industrial Building Standard (IBS).

Beliau berkata, pada masa ini, dua kem iaitu Kem Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kuantan dan Kem Batalion 25 RAMD di Bentong sedang dibina semula, manakala tiga kem lagi akan dibina semula tahun ini.

"Kebanyakan kem Tentera Darat berusia lebih 60 tahun dan ada di antara kem itu dibina hanya untuk sementara atau semasa Tentera British berada di Malaysia seperti Kem Majidi, Kem Kluang di Johor dan Kem Sungai Petani, Kedah.

"Dengan adanya program ini, Tentera Darat dapat membina kem baru tanpa mencari lokasi lain dan dapat mengurangkan kos yang akan ditanggung kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Ulang Tahun Tentera Darat ke-77 di Kem Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembinaan sebuah kem infantri batalion standard yang mempunyai bangunan teknikal seperti pejabat, stor peluru dan senjata, kediaman anggota dan sebagainya akan menelan kos kira-kira RM90 juta ke RM110 juta, manakala bagi pembinaan rumah keluarga pula membabitkan tambahan kos di antara RM60 juta ke RM70 juta.

"Tetapi dengan menggunakan kaedah IBS, kos pembinaan sesebuah kem batalion infantri standard ialah sekitar RM40 hingga RM55 juta sahaja manakala tempoh pembinaan akan mengambil masa sekitar enam hingga lapan bulan, katanya. - Bernama