Sunday, February 28, 2010

Rakyat Selangor boleh sewa rumah PPR tanpa deposit

Print E-mail
Harakahdaily
SHAH ALAM, 1 Mac 2010: Rakyat negeri Selangor yang berpendapatan rendah bakal menikmati kemudahan menyewa rumah di Projek Perumahan Rakyat atau PPR di negeri itu tanpa perlu membayar deposit.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan memberitahu mesyuarat exco kerajaan negeri pada 24 Februari lalu telah memutuskan skim itu dan beberapa keringanan lain juga diberikan kepada penyewa.

"Sebelum ini deposit sehingga RM1050 perlu dibayar kepada mereka yang hendak menyewa rumah PPR.

"Deposit ini akan dikurangkan dan boleh dibayar secara ansuran," katanya.

Menurut beliau lagi, buat permulaannya skim baru itu adalah terbuka kepada mereka yang hendak menyewa di PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang dan berkuatkuasa serta merta.

"Skim ini adalah terbuka kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Kelayakannya adalah sama seperti mereka yang ingin memohon pengurangan sewa rumah PPR dari RM250 kepada RM124," katanya lagi.

Selain dari itu, beliau memaklumkan permohonan untuk menyewa rumah PPR dan permohonan untuk mengurangkan kadar membayar sewa RM124 boleh dibuat secara serentak dan bukan seperti sebelum ini di mana penyewa perlu memasuki rumah terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat permohonan pengurangan sewa.

Buat masa ini terdapat 5436 unit rumah PPR di empat kawasan iaitu di di Serendah, Kota Damansara, Lembah Subang dan Kg. Baru Hicom.

Dari jumlah itu, sebanyak 1717 unit masih kosong.

"Kerajaan Negeri berharap kelonggaran ini akan dapat memudahkan mereka yang memerlukan rumah kediaman mendapatkannya dengan segera.

"Ianya selari dengan hasrat “Kediaman Untuk Semua”, katanya.

Kerajaan selangor jelasnya sentiasa prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat akan berusaha untuk membantu dan mengurangkan beban mereka.

Sebelum ini Selangor telah menurunkan sewa PPR dari RM250 yang dinaikkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada bulan Jun 2007 kepada RM124 bagi mereka yang layak.

DiGi akan labur RM100j bagi program Deep Green (28/2/10)

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) akan melabur sehingga RM100 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk program Deep Green iaitu bagi membangunkan opsyen tenaga boleh diperbaharui dalam operasinya.

Pelaburan berkenaan sejajar matlamat syarikat untuk memastikan operasinya dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 50 peratus menjelang 2012.

Operasi DiGi melepaskan gas terbabit menerusi penggunaan tenaga yang sangat tinggi, yang mana bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama pelepasan gas karbon dioksida di bumi.

Laporan menyebut sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat akan mengatasi sektor penerbangan sebagai penyumbang utama pelepasan gas karbon dioksida ke muka bumi.

Ketua Tanggungjawab Korporat DiGi, Vimal Kumar, berkata syarikat akan membelanjakan peruntukan itu untuk mencari penyelesaian terhadap cara meminimumkan penggunaan tenaga dalam operasinya.

Katanya, program berkenaan akan diperluaskan kepada semua pihak yang merangkumi pekerja syarikat, pengguna perkhidmatannya dan masyarakat umum.

“Kami akan menggerakkan program ini sehingga 2012 yang mana sepanjang tempoh itu DiGi akan membelanjakan antara RM50 juta hingga RM100 juta bagi mencari opsyen tenaga boleh diperbaharui yang sesuai,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Buat permulaan, Vimal berkata syarikat menjalin kerjasama dengan Partners of Communities Organization (Pacos), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan opsyen tenaga boleh diperbaharui di Kampung Lumpagas, Sabah.

Katanya, DiGi membelanjakan RM90,000 untuk membantu Pacos melaksanakan projek mikro hidro di penempatan berkenaan yang kemudian akan dijadikan penyelesaian kepada tenaga boleh diperbaharui.

Pemeriksaan gigi di rumah (28/2/10)

Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan melakukan tinjauan kesihatan gigi dan rawatan susulan yang diperlukan golongan dewasa bermula bulan depan dalam usaha merancang program kesihatan gigi lebih baik untuk rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tinjauan dari rumah ke rumah setiap 10 tahun itu membabitkan lebih 14,000 orang berusia 15 tahun ke atas di seluruh negara.

“Pegawai pergigian yang mengetuai pasukan tinjauan itu akan ke rumah yang terpilih dari April hingga Jun ini dan menemubual serta menjalankan pemeriksaan gigi terhadap isi rumah berkenaan.

“Mereka yang memerlukan rawatan gigi dirujuk ke klinik kerajaan terdekat, sementara yang lain, maklumat pergigian mereka disimpan secara sulit,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Gigi 1Malaysia di sini, semalam.

Liow berkata, mengikut tinjauan 2000, golongan dewasa di negara ini tidak mengambil berat penjagaan gigi kerana peratusan mereka yang mengalami kerosakan gigi serta penyakit gusi dan tulang (periodontal) tidak banyak berkurangan dalam tempoh 10 tahun.

“Tinjauan Kesihatan Gigi Negara bagi golongan dewasa pada 2000 menunjukkan 90.3 peratus mengalami kerosakan gigi, berbanding 94.6 peratus pada 1990, sementara 90.2 peratus mengalami penyakit periodental berbanding 92.8 peratus pada tinjauan dilakukan sebelum itu.

“Peratus kerosakan gigi kanak-kanak berusia enam tahun turun daripada 81 peratus pada 1997 kepada 75 peratus pada 2007, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun turun dengan ketara daripada 61 kepada 42 peratus,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesihatan gigi di kalangan masyarakat, kementerian memberi keutamaan kepada pelajar di mana 99.3 peratus pelajar sekolah rendah dan 78.7 peratus pelajar sekolah menengah menerima perkhidmatan penjagaan gigi di seluruh negara pada tahun lalu.

“Kemudahan penjagaan kesihatan gigi dalam sistem penyampaian awam di Malaysia juga berkembang empat setengah kali ganda iaitu dari 398 kepada 2,200 kemudahan sejak empat tahun lalu, menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan gigi lebih mudah didapati oleh rakyat,” katanya.

Liow berkata, kerajaan berharap dapat melatih lebih ramai doktor gigi untuk mencapai sasaran 1 doktor gigi bagi 4,000 pesakit pada tahun 2018, berbanding nisbah 1:8,000 pada masa ini.

Khidmat PAS bantu penghuni Lorong Haji Taib

Print E-mail
Rusli Yasmin
KUALA LUMPUR, 27 Feb 2010: "Taufik dan hidayah datangnya dari Allah, kita ni berusaha untuk menyentuh hati-hati mereka," kata Dr Lo'Lo' Ghazali dengan penuh harapan dapat memberi kebaikan dan bantuan kepada penghuni di sekitar lorong Haji Taib, di sini.

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat melancarkan kaunter perkhidmatan kebajikan PAS di hadapan pejabat agungnya, petang semalam.

Antara kaunter yang dibuka ialah kaunter khidmat guaman, khidmat kesihatan, khidmat kaunseling dan khidmat perubatan Islam selain memberi makanan dan minuman percuma kepada masyarakat di sekitar situ.

Lebih kurang 100 masyarakat sekitar yang hadir bagi mengambil peluang mendapatkan khidmat-khidmat yang disediakan turut menarik perhatian kenderaan yang lalu di Jalan Raja Laut, berhadapan dengan Pejabat Agung PAS.

"Kita mengharapkan warga Lorong Haji Taib kini yang agak terbiar, dan ada yang telah tersasar, dapat kita dekati, dapat kita santuni dan insyaAllah kalau boleh kita merubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik," kata Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatn PAS Pusat ketika ditemui.

"Mungkin kita kata mereka ni setengahnya sudah agak tegar, pekerja seks tegar, tetapi kita masih lagi meletakkan harapan, Allah Maha Pengampun, dan kita juga hendaklah bersikap begitu.

"Saya harap masyarakat juga memberi peluang kepada mereka sebab kita tahu antara mereka ada yang telah bertaubat (dan) meninggalkan perangai buruk mereka ni," tambahnya.

Dr Lo' Lo' juga mengharapkan program itu digerakkan di peringkat negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

Friday, February 26, 2010

Markas tarbiyyah Pas dijadikan kolej universiti

Feb 26, 10 11:09am

Tapak markas tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Gombak akan dibangunkan semula sebagai institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus bagi memenuhi keperluan industri negara, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub (bawah).


Beliau berkata penubuhan "Kolej Universiti Prof Dr Zulkifli Mohamad" itu mendapat persetujuan PAS pusat dan boleh membuat pengambilan pertama pelajar pada pertengahan tahun ini selepas kurikulumnya diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pembinaan institut itu menelan belanja hampir RM2 juta dan ditampung oleh wang sumbangan orang ramai dan dermawan, katanya ketika melawat tapak kolej universiti itu yang sedang giat dibina.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad berkata Majlis Pendidikan PAS Pusat kini dalam proses mengemas kini kurikulum institut itu.

"Kita mahukan kursus-kursus yang ditawarkan adalah lebih menjurus kepada kursus-kursus keperluan industri dan bukannya kursus tradisi. Mengenai kelayakan, jika kursus kita menepati syarat-syarat saya rasa tiada masalah,"katanya.

e-munakahat mudahkan urusan perkahwinan secara online

26/02/2010 2:52pm


PULAU PINANG 26 Feb 2010 - Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan sistem pendaftaran perkahwinan orang Islam di negeri ini secara online yang dikenali sebagai e-munakahat.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim berkata, e-munakahat mengandungi lima modul utama iaitu kebenaran kahwin, pendaftaraan perkahwinan, cerai, rujuk dan akad nikah.

"Selain memudahkan urusan perkahwinan, orang ramai juga dapat mencari maklumat dengan lebih mudah berkaitan urusan perkahwinan melalui e-munakahat yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

"Sistem yang boleh dilayari melalui laman web emunakahat.penang.gov.my itu dilancarkan hari ini dan pengguna boleh mendapat maklumat terperinci atau menyemak berkaitan perkahwinan dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini hari ini yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas. - Bernama

Thursday, February 25, 2010

Kerajaan lancar 10 pusat pekerjaan di bandar besar bulan depan (25/2/10)

JOHOR BAHRU: Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata kerajaan akan melancarkan 10 pusat pekerjaan di bandar utama bulan depan bagi membolehkan pencari kerja mendapat bimbingan dan nasihat mengenai jenis pekerjaan dan kelayakan yang diperlukan secara percuma.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan pusat pekerjaan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program penempatan pekerjaan golongan miskin dan kurang upaya di Dewan Taman Sinar Harapan Jubli di sini, hari ini.

Wednesday, February 24, 2010

Kerajaan sasar tubuh Universiti Politeknik menjelang 2015

25/02/2010 12:09pm

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 25 Feb 2010 - Kerajaan menyasarkan sebuah Universiti Politeknik ditubuhkan menjelang 2015 sejajar dengan langkah transformasi menjadikan politeknik menjadi peneraju pendidikan vokasional dan teknik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan universiti itu bagi membolehkan para pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pascamenengah dan tinggi di bawah satu bumbung.

Selaras program transformasi itu, tiga buah politeknik perintis dinaik taraf sebagai Politeknik Premier (Perdana) iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Politeknik Ungku Omar, Ipoh; dan Politeknik Johor Bahru.

Perkara itu diumumkan pada majlis pelancaran Transformasi Politeknik yang disempurnakan oleh Muhyiddin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. – Utusan

MPAJ perhebat kesedaran alam sekitar

AMPANG 24 Feb. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memperhebatkan usaha menanamkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap kepentingan memulihara alam sekitar termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Timbalan Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, usaha itu adalah permulaan sebelum melihat skop yang lebih besar ke arah penyediaan polisi alam sekitar di kawasan pentadbirannya.

Katanya, MPAJ juga akan mempertimbangkan beberapa cadangan lain termasuk mewujudkan unit pembangunan lestari berkaitan alam sekitar, menyediakan rumah hijau sebagai lokasi pengumpulan maklumat-maklumat berkaitan alam sekitar dan sebagainya.

"Kami akan melihat cadangan-cadangan ini sebelum menentukan tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Ke Arah Penyediaan Polisi Alam Sekitar MPAJ di Menara MPAJ di sini hari ini.

Seminar yang julung kali diadakan itu mengundang dua penceramah jemputan iaitu Prof. Datuk Dr. Kamarudin Mohd. Nor dari Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM) dan Pegawai Laut, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Mazlan Idrus.

Tujuan seminar itu diadakan dengan mengundang individu berpengalaman dalam bidang berkenaan adalah untuk berkongsi idea, pengalaman dan pengetahuan bagi menjayakan projek Polisi Alam Sekitar MPAJ yang bakal digubal.

Seminar yang disertai Ahli Majlis, Jawatankuasa Penduduk (JKP) setiap zon dan pihak pengurusan tertinggi MPAJ, antara lain bertujuan memberi pendedahan awal kepada para peserta tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, kempen kitar semula, seminar dan sebagainya yang giat dilakukan kalangan masyarakat merupakan perancangan jangka pendek MPAJ.

"Untuk jangka panjang, kita akan memperhalusi setiap idea atau buah fikiran yang diberikan oleh pihak yang berpengalaman seperti yang dilakukan hari ini," ujarnya.

Terdahulu dalam sesi ceramah yang disampaikan Kamarudin, beliau mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak berkuasa tempatan itu dalam usaha mengurangkan kemusnahan alam sekitar yang semakin membimbangkan.

Selain cadangan mewujudkan unit lestari, cadangan lain termasuk menjadikan MPAJ sebagai PBT contoh kepada PBT lain dalam menyediakan Polisi Alam Sekitar yang komprehensif dan bukan setakat memenuhi undang-undang sahaja.

Ini termasuklah mengaplikasi elemen bangunan hijau dalam bangunan mereka sendiri, antaranya penjimatan tenaga melalui pengguna lampu, alat penghawa dingin dan sebagainya.

Malah, beliau turut menyatakan kesediaannya dan rakan-rakan akademik lain untuk menjalinkan kerjasama dengan MPAJ dalam menjayakan usaha-usaha tersebut.

Sementara itu, Mazlan pula berpandangan, kesedaran tentang alam sekitar di kalangan masyarakat perlukan anjakan paradigma dengan tidak hanya meletakkan kepada rasa tanggungjawab tetapi juga boleh mendatangkan keuntungan.

Beliau memberi contoh kepada penggunaan minyak masak terpakai yang boleh dimanfaatkan dengan menggunakan kaedah kitar semula.

AES dilaksana selepas Mac

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 24 Feb 2010 - Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan secara menyeluruh selepas pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan diluluskan Parlimen Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, pindaan itu bertujuan memberi kuasa kepada penguat kuasa untuk mengesan pesalah jalan raya melalui AES.

''Selepas diperhalusi oleh kerajaan dengan membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, AES dijangka akan dilaksanakan secara formal selepas Akta Pengangkutan Jalan dipinda pada sesi Parlimen akan datang.

''Sistem ini dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas, mencegah jenayah dan kes buli jalan raya serta mengelakkan amalan rasuah," katanya di sini hari ini.

Selain berperanan sebagai perangkap kelajuan, AES juga boleh digunakan untuk memantau keadaan trafik di jalan raya serta mengesan aktiviti jenayah.

JPJ sebelum ini dilaporkan mengenal pasti lebih 800 kawasan risiko kemalangan yang sesuai dipasang dengan AES untuk mengurangkan kadarnya.

Tee Keat berkata, AES selepas diperkenalkan akan digunakan secara permuafakatan antara JPJ dan polis untuk pelbagai tujuan.

''Polis bagaimanapun boleh memilih untuk terus menggunakan sistem penguatkuasaan sedia ada atau menggantikan peralatan sedia ada dengan AES," katanya.

Sementara itu, Tee Keat berkata, Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina yang dijalankan selama sebulan bermula 21 Januari lalu berjaya mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini.

''Purata 13 orang meninggal dunia setiap hari akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh kempen berbanding 18 kematian pada hari-hari biasa.

''Sebanyak 201 kematian dicatatkan sepanjang tempoh kempen tahun ini berbanding 212 kematian pada tempoh kempen tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, hasil kerjasama pelbagai pihak, sifar kematian untuk penumpang bas telah dicapai sepanjang tempoh kempen itu dijalankan.

''Kita berjaya mengekalkan rekod sama yang dicapai semasa kempen Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu di mana tiada kes kematian melibatkan penumpang bas dicatatkan," katanya.

Fomca syor sistem kuota petrol (24/2/10)

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem kuota kepada pemilik kenderaan bagi membeli petrol sebagai satu mekanisme penjimatan perbelanjaan subsidi petrol setiap tahun.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Shaani Abdullah, berkata menerusi sistem itu kerajaan hanya perlu menetapkan jumlah petrol yang boleh dibeli oleh setiap pemilik kenderaan pada setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu meletakkan syarat bahawa hanya warga negara yang memiliki kenderaan dibenarkan membeli petrol subsidi dan setiap pembelian perlu disertai dengan menunjukkan MyKad bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat.

“Terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan berapa liter petrol yang boleh dibeli sama ada minimum 100 liter untuk sebulan atau 500 liter atau lebih.

“Fomca berpendapat kerajaan tidak perlu mewujudkan mekanisme remeh-temeh dan merumitkan seperti perlu mengambil kira jumlah bilangan kenderaan pengguna kenderaan dan jumlah pendapatan mereka bagi melaksanakan sistem ini.

“Sewajarnya, kerajaan tidak perlu babitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam melaksanakan sistem subsidi petrol,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Disember lalu, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan sistem subsidi petrol baru menggunakan MyKad mulai Mei tahun ini bagi membolehkan kerajaan berjimat lebih RM2 bilion perbelanjaan subsidi.

Kerajaan kini dalam proses membangunkan sistem itu bagi melancarkan urusan pembayaran untuk petrol baru menggunakan MyKad di semua stesen minyak di Malaysia dan sistem berkenaan dijangka siap April ini untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Mohamad Shaani berkata, menerusi sistem kuota ini, kerajaan juga dapat mendidik rakyat dan pemilik kenderaan untuk menerima kemungkinan subsidi petrol akan dihapuskan pada masa depan.

Kerjasama strategik Felda, Felcra dan RISDA

PUTRAJAYA 24 Feb 2010 - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini digabungkan di bawah satu konsortium yang dikenali sebagai Synergy Perdana.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, konsortium yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM300 juta itu akan bekerjasama dalam bidang pembekalan input pertanian bermutu tinggi seperti benih dan baja.

Menurutnya, kerjasama itu turut membabitkan bidang industri hiliran berasaskan sawit dan getah seperti pengeluaran baja bio-organik dan produk makanan.

''Dengan adanya konsortium ini, maka wujudlah sebuah konglomerat perladangan terbesar negara yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

''Konsortium ini bukanlah suatu penggabungan ketiga-tiga agensi perladangan tersebut tetapi hanya sebuah kerjasama strategik.

''Ia mampu mewujudkan sinergi perniagaan bagi mencapai ekonomi berskala besar selain meningkatkan pendapatan dan memberi pulangan dividen yang lebih tinggi kepada kumpulan sasar melalui pelaksanaan pelbagai projek pertanian secara perkongsian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Felda, Felcra dan Risda di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Konglomerat itu akan mewakili kepentingan 112,000 peneroka Felda, 235,000 pekebun kecil Risda dan 95,000 peserta Felcra.

Mohd. Shafie memberitahu, kerajaan menjangka melalui kerjasama strategik itu, harga baja di pasaran semasa akan dapat diturunkan.

Malah, katanya, pada masa sama, ketiga-tiga agensi itu dapat mengurangkan pergantungan daripada pihak luar.

''Penggunaan baja oleh ketiga-tiga agensi perladangan kerajaan itu pada hari ini amat besar nilainya iaitu hampir mencecah RM1 bilion.

''Kita harap dengan kerjasama itu harga baja akan dapat diturunkan dan dapat membantu bukan hanya ketiga-tiga agensi itu bahkan masyarakat peneroka di luar bandar," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks penyelidikan pula, ketiga-tiga agensi itu dapat mewujudkan satu badan yang khusus bagi mengkaji pelbagai perkara seperti baja, benih, kaedah menanam dan pengangkutan.

''Tidak perlu kita belanja banyak dengan setiap agensi belanja sendiri dan kalau ia dapat digabungkan, maka ia lebih menjimatkan," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya siapa yang akan menerajui konsortium itu, beliau berkata, Perdana Menteri akan memutuskan perkara itu dalam waktu terdekat.

''Buat masa ini, operasi konsortium itu akan dipantau oleh kementerian sendiri," katanya.

Tuesday, February 23, 2010

S'gor agihkan RM49 juta untuk kebajikan rakyatnya

Jimadie Shah Othman
Feb 24, 10
10:06am

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap perbicaraan kes liwat keduanya di mahkamah tidak “mengganggu” tugasnya sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk memberikan lebih perhatian terhadap negeri itu.


“Kalau saya tidak diganggu banyak di mahkamah, saya dapat tumpukan perhatian lebih banyak di negeri Selangor,” katanya ketika berucap dalam program agihan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri kepada pelbagai pihak di Shah Alam malam tadi.

Anwar berkata, beliau sentiasa berdoa supaya ujian berbentuk 'fitnah dan khianat' terhadapnya dapat dipermudahkan oleh Allah.

“Sekarang ini masih banyak fitnah dan kianat dilemparkan terhadap saya,” katanya dalam Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) 2010 di sebuah dewan di Seksyen 19.

Turut hadir dan berucap pada program berkenaan ialah menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim serta exco kebajikan, wanita dan sains Rodziah Ismail.

Menilai program itu, Anwar berkata, kerjasama berkumpulan antaranya pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dalam isu-isu ekonomi di negeri itu menyebabkan beliau “amat senang bekerja”.

Pada majlis pada malam semalam, kerajaan Selangor mengumpulkan kira-kira 400 anak negeri yang layak menerima bantuan kewangan, antaranya kanak-kanak baru lahir, warga tua dan penuntut universiti.


Sementara itu, Khalid (kanan, bersongkok) pula pada ucapanya selepas itu berazam menyalurkan kemakmuran dan kekayaan negeri itu terus kepada rakyat Selangor di pelbagai pelosok negeri tanpa mengira bangsa, agama dan parti yang dianggotainya.

“Saya hendak bawa sendiri beliau ke seluruh pelosok... biar Datuk Seri Anwar lihat sendiri, adakah semua ini sampai kepada rakyat di Selangor,” katanya.

Sementara itu, rata-raya penerima sumbangan daripada program-program MES menunjukkan perasaan gembira mereka terhadap skim-skim bantuan yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat selepas mengambil alih kerajaan dua tahun lalu.

Seorang pemandu, Kamarul Hisham Abdullah yang mengambil bantuan bagi pihak bapanya yang sudah uzur berkata bantuan tersebut amat membantu, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah sepertinya.

“Bapa saya sebelum ini terima RM1,000, malam ini dapat RM1,500, alhamdulillah, apa yang kami terima ini saya rasa cukup dan memadai untuk keperluan-keperluan kami. Sebelum ini saya pun tidak tahu ada program apa untuk membantunya,”katanya.

Sementara seorang penuntut Mohd Reeezwan Ramli, 19, yang menerima bantuan pendidikan RM1,000 berkata, duit yang diterimanya itu akan digunakan bagi meringankan beban keluarganya.

“Saya tidak bercadang guna semua. Saya hanya hendak guna RM500 untuk permulaan, selebihnya saya akan beri pada emak saya pegang.

“Saya seronok dapat bantuan hari ini, tetapi saya gementar kena naik ke pentas, kena bersalam,” katanya sambil tersenyum.

Program kebajikan yang menjadi teras kepada MES ialah Tabung Anak Warisan Selangor, Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Kebajikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Menurut kenyataan daripada pejabat penasihat ekonomi Selangor, sejak dilancarkan pada Jun 2008, sebanyak RM49 juta telah dibelanjakan bagi tujuan kebajikan di negeri itu.

Thursday, February 18, 2010

300 terima kunci rumah dari Anwar esok

Feb 19, 10 11:51am

Seramai 300 penduduk di Hulu Kelang dan Puchong merupakan kumpulan terawal yang berjaya memiliki rumah di Selangor melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.

Penduduk berkenaan akan menerima kunci rumah masing-masing di Taman Ukay Bistari dan Saujana Puchong dari Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, demikian kenyataan pejabat penasihat ekonomi Selangor itu.

Skim berkenaan dimulakan tahun lalu melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM5 bilion, bagi memulihkan hampir 5,000 unit rumah terbengkalai di 141 kawasan perumahan di Selangor.

"(Pemulihan rumah terbengkalai ini bertujuan) membantu pembeli yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dan rendah, yang tidak dibela sejak sekian lama, akibat menanggung hutang pinjaman walaupun rumah belian mereka tidak dapat disiapkan.

"Kerajaan negeri akan menyuntik bantuan dalam bentuk underwriting (jaminan bayar balik) bagi projek yang tidak dapat dipulihkan oleh pihak swasta dengan melibatkan kontraktor baru melalui tender terbuka.

"Kerajaan negeri menyediakan geran bayar balik kepada perunding perumahan yang berminat untuk menyelamatkan projek perumahan yang terbengkalai," kata kenyataan itu lagi.

Program itu diselia oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan dijalankan melalui sumbangan modal dan kepakaran dari syarikat swasta.

Jawatankuasa itu pula diletakkan di bawah jawatankuasa induk yang akan turut dianggotai exco perumahan, pihak berkuasa tempatan dan juga wakil penduduk.

Menurut kenyataan itu lagi, lapan projek perumahan berjaya disiapkan, manakala 42 lagi diambil alih dari pemaju dan kontraktor bermasalah sehingga Jun tahun lalu.

"Kerajaan Selangor mensasarkan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan unit, dapat dipulihkan dan diserahkan kepada pembeli bagi tahun 2010," katanya.

Tuesday, February 16, 2010

Jakim mahu wujud akta logo halal (16/2/10)

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan akta khusus bagi memantau penggunaan logo halal sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan tindakan lebih berkesan dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pada masa ini Jakim tidak dapat mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal berikutan tiada akta khusus berhubung perkara itu.

Katanya, langkah penguatkuasaan diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan tanda halal termasuk memalsukannya mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 disifatkan kurang berkesan.

"Sebelum ini, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal tetapi tindakan dan penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Namun, sebaik akta ini wujud, Jakim akan mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pihak tertentu termasuk syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal palsu selain menyalahgunakan logo berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Ke Sekolah SRA 2010 Peringkat Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Guar Chempedak, di sini, semalam.

Katanya, ketika ini tiga agensi termasuk Jakim, Pejabat Peguam Negara dan KPDNKK mengadakan perbincangan berhubung mewujudkan akta berkenaan.

"Sejurus selesai, ia akan dibentang ke kabinet sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

"Kita jangkakan akta itu akan mula dikuatkuasakan sebelum hujung tahun ini. Justeru, saya berharap dengan adanya akta ini penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan logo halal dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.

Mengulas mengenai logo halal yang akan diseragamkan, Jamil Khir berkata, hakikatnya logo halal itu sudah diseragamkan sebelum ini, cuma Jakim membenarkan logo halal itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri.

"Selain Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri, logo halal juga dikeluarkan empat syarikat swasta. Namun, ada pihak lain mengeluarkan logo itu tanpa kebenaran Jakim," katanya.

"Justeru, saya menyeru mana-mana syarikat yang ingin memohon mendapatkan sijil halal supaya tidak berurusan dengan pihak yang tidak diiktiraf bagi mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan menggunakan tanda halal palsu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir turut membidas pihak tertentu yang tidak memahami erti sebenar sambutan Maulidur Rasul.

"Sambutan Maulidur Rasul tidak boleh dilihat dalam pengertian hari kelahiran sahaja, apatah lagi ada pihak yang cuba menyamai kelahiran Rasulullah seperti menyambut hari lahir .

"Menyambut Maulidur Rasul bukan bererti menyambut hari lahir Baginda, sebaliknya menghayati pengajaran dan sejarah di sebaliknya untuk mendalamkan rasa cinta terhadap Rasulullah dalam semua amalan dan sifatnya," katanya.

Henti kenderaan kurang 20 minit di lorong kecemasan

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mendapatkan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya bagi memastikan setiap kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan tidak mengambil masa terlalu lama seperti mana sekarang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh berkata, usaha ini menyasarkan supaya semua kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan tidak mengambil masa melebihi tempoh 20 minit.

Katanya, untuk tujuan itu, pihaknya akan berbincang dengan polis dan pemilik konsesi lebuh raya bagi mengenalpasti langkah yang boleh diambil bagi mencapai sasaran ini termasuk menyediakan khidmat lori penunda.

''Kita boleh tambah bilangan kamera bagi kesan setiap kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan serta mewujudkan khidmat penunda bagi mengalihkan kenderaan yang rosak itu secepat mungkin," katanya ketika mengadakan lawatan di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Suret berkata, usaha ini diharap mendapat kerjasama semua kerana kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan dalam tempoh masa yang lama umpama 'bom jangka' yang bila-bila masa sahaja boleh membawa padah.

"Kemalangan maut akibat melanggar kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan semakin meningkat dan langkah segera perlu diambil untuk mengatasi masalah ini," jelasnya.

Mengulas mengenai kemungkinan menggubal undang-undang berhubung tempoh masa berhenti di lorong kecemasan, Suret berkata, isu itu masih dalam peringkat awal perbincangan.

"Buat masa ini kita hanya menumpukan kempen ini dahulu dan mengenai undang-undang, ia di bawah bidang kuasa kementerian," katanya.

Menurut Suret, bermula Januari lalu, JKJR telah menggunakan khidmat sukarelawan yang terdiri daripada mangsa kemalangan untuk menjadi jurucakap kempen yang akan diadakan.

"Cara ini dijangka berkesan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Setakat ini seorang sukarelawan telah menjadi jurucakap JKJR dan kita sangat mengalu-alukan jika ada yang sudi berbuat demikian," katanya.

KDN wujud mekanisme pantau warga asing sepanjang berada di negara ini (16/2/10)

KUALA LUMPUR: Satu mekanisme dan sistem bagi memantau status setiap warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula akan dibangunkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata kekerapan penguatkuasaan perlu dimantapkan dengan mekanisme pemantauan yang komprehensif, yang hanya boleh diwujudkan sekiranya mempunyai sistem maklumat yang bersepadu dan berintegrasi.

"Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana.



"Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin, yang meninjau sendiri kebanjiran warga asing di ibu negara pada cuti umum sempena Tahun Baru Cina, berkata cadangan mewujudkan mekanisme itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI), yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 22 Februari ini. - Bernama

Monday, February 15, 2010

2 Taman Halal di Pantai Timur

KUALA LUMPUR 15 Feb 2010 - Pasir Mas di Kelantan dan Gambang di Pahang akan mendapat nafas baru dalam ekonomi apabila kedua-dua bandar di negeri Pantai Timur itu membangunkan Taman Halal.

Pembangunan Taman Halal Pasir Mas dan Taman Halal Gambang sedang dilakukan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan ia akan menyediakan peluang pekerjaan serta manfaat sosio ekonomi yang lain kepada penduduk tempatan.

Menurut kenyataan dikeluarkan, penubuhan Taman Halal tersebut sejajar dengan visi negara untuk menjadi hab halal global dan mengambil kesempatan ke atas peningkatan pembangunan pasaran produk halal global.

''Taman Halal itu juga bagi menarik minat dan membantu peniaga-peniaga bumiputera serta menawarkan perkongsian kemudahan termasuk pusat penyimpanan dan perniagaan.

''Pusat penyimpanan akan dilengkapi dengan kemudahan biasa termasuk makmal. Selain itu, akan bekerjasama dengan program sedia ada untuk menyediakan latihan skil dan perkhidmatan khidmat nasihat teknologi,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, program penyimpanan itu juga menyediakan sokongan teknikal, meningkatkan dan membangunkan skil serta pemasaran.

''Program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk produk perikanan telah diproses kepada meningkatkan kebolehan pengeluaran dan untuk meningkatkan capaian pasaran produk juga akan dibangunkan.

''Inisiatif Taman Perniagaan Industri Halal telah dibincangkan di mesyuarat Kumpulan Fokus Industri dianjurkan oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) untuk mengenalpasti perkara di dalam kajian yang telah dilakukan.

''Sebelum ini ECERDC telah melantik MIGHT untuk menjalankan kajian yang menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat untuk melakukan strategi perniagaan, pemasaran dan melaksanakan program pembangunan industri halal,'' jelasnya.

Dengan dua lokasi telah dikenalpasti oleh ECER bersama dengan kerajaan negeri, MIGHT telah melakukan penilaian kerja-kerja asas dan mengenalpasti strategi meliputi semua perkara terlibat.

MIGHT adalah platform kerjasama industri dan kerajaan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Friday, February 12, 2010

Sistem semakan status warga asing ditingkat

PUTRAJAYA 12 Feb 2010 - Kerajaan sedang meningkatkan sistem maklumat sedia ada bagi membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu untuk membuatkan warga asing takut tinggal di negara ini secara haram lalu meninggalkan Malaysia secepat mungkin.

''Kita melihat secara menyeluruh kaedah berhubung kait dengan visa, permit masuk dan dokumen- dokumen seperti pasport.

''Apa yang kita lakukan ini bukan sahaja dilihat dalam konteks memperkemaskan isu warga asing tetapi juga untuk melihat produk dan dokumen-dokumen yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing Kedua di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menafikan anak Raja Petra, Raja Azman, 33, telah diseksa mental dan fizikalnya ketika dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.

Beliau menegaskan, penahanan anak lelaki Raja Petra itu bukan sengaja dilakukan sebaliknya dia sendiri telah mengaku salah di mahkamah atas tuduhan mencuri.

''Sekarang dia berada dalam wad tetapi timbul dakwaan dalam Internet kononnya kata kita tangkap anak Raja Petra dan kita menderanya.

''Saya nafikan sekeras-kerasnya perkara ini," katanya.

Pengendali portal propembangkang Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini dalam buruan polis dilaporkan mendakwa pihak berkuasa Malaysia menggunakan anak lelakinya itu untuk menghukumnya.

Beliau berkata, selain isu pengurusan dan pemantauan warga asing, agenda yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu antaranya adalah pertimbangan dan kajian dasar berhubung pengambilan pekerja asing.

''Ini membabitkan pembantu rumah asing, pengawal keselamatan dan pekerja urut refleksologi.

''Kita juga akan membincangkan prosedur pengambilan pekerja asing khususnya melalui ejen dan syarikat penyumberan luar," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengulangi amaran kepada warga asing yang telah tamat permit kerja atau berada di negara ini secara tidak sah agar meninggalkan Malaysia dengan segera.

Tegas beliau, mereka mempunyai masa sehingga 16 Mei ini untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum.

Katanya, sehingga 22 Januari lalu, seramai 63,673 warga asing telah menyertai program itu sejak ia mula diperkenalkan pada April 2009.

Thursday, February 11, 2010

Persatuan pengguna di taman perumahan

SEREMBAN 11 Feb 2010 - Setiap kampung dan taman perumahan di negeri ini disaran menubuhkan persatuan pengguna di kalangan penduduk setempat dalam usaha memperkasakan pengetahuan berhubung kepenggunaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, langkah itu wajar memandangkan tahap kesedaran kepenggunaan di kalangan masyarakat khususnya di negeri ini masih rendah.

''Usaha ini diyakini dapat membantu mempertingkatkan pengetahuan mengenai kepenggunaan termasuk mengetahui hak-hak mereka (rakyat) sebagai pengguna dari terus dicabuli atau dianiaya.

''Selain menajamkan pengetahuan sebagai pengguna, penubuhan persatuan ini juga bertindak dalam menyalurkan maklumat tepat mengenai kepenggunaan," katanya.

Hasim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cabaran Pengguna Di Pasaran peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya menggalakkan penduduk setempat untuk bersatu hati menubuhkan persatuan pengguna di kawasan masing-masing seperti di kampung, daerah dan juga negeri.

Menurut Hasim, penganjuran seminar berhubung kepenggunaan sedikit sebanyak membolehkan ilmu-ilmu kepenggunaan yang selama ini tidak diketahui oleh masyarakat setempat dikongsi bersama.

''Dengan adanya seminar seperti ini, masyarakat ataupun rakyat dapat mengetahui dan menggunakan ilmu-ilmu kepenggunaan dengan lebih mendalam.

''Saya harap masyarakat kita menjadi pengguna yang bijak dan jika terdapat sebarang isu berkaitan kepenggunaan, tidak perlu lagi kerajaan bersusah-payah memaklumkan kepada mereka kerana sudah boleh membuat pertimbangan sendiri," ujarnya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung bekalan gula sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, Hasim berkata, bekalan gula bagi negeri ini dilaporkan mencukupi.

''Berdasarkan laporan, bekalan gula di negeri ini berada pada tahap yang mencukupi untuk menampung keperluan semua. Lebih-lebih lagi dengan kedatangan sambutan perayaan Tahun Baru Cina," jelasnya.

Rujukan tunggal urus daftar niaga

Oleh ZULKIFLI JALIL
dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 11 Feb 2010 – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia (MyCoID) yang menjadi satu nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai urusan pendaftaran perniagaan dan urusan dengan agensi kerajaan berkaitan.

Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu titik permulaan ke arah merevolusikan kaedah pendaftaran melibatkan antara agensi kerajaan pada skala lebih baik.

Menurutnya, ia juga akan memudahkan rakyat dan pada masa sama meningkatkan keberkesanan urusan dengan kerajaan tanpa menambah sebarang elemen-elemen kerumitan.

“Dalam fasa pertama, MyCoID akan memperkenalkan penggunaan satu nombor rujukan untuk kegunaan di pelbagai agensi.

“Melalui fasa kedua pula, ia akan diperluaskan dan memaksimumkan potensi pemakaian MyCoID menerusi pembangunan sistem yang akan membolehkan (perkongsian) pangkalan data dan maklumat secara automatik.

“Ini bermakna pemilik syarikat baru tidak lagi perlu pergi ke pelbagai agensi untuk tujuan pendaftaran kerana proses tersebut boleh berlaku serentak dengan hanya satu proses pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan MyCoID anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KPDNKK melalui SSM membangunkan konsep MyCoID dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta iaitu Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan , Kementerian Kewangan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pergurusan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan Sumber Manusia Berhad dan SME Corp.

Najib berkata, menerusi MyCoID, rakyat dan warga korporat kini tidak lagi dibebankan dengan beberapa nombor rujukan berlainan apabila berurusan dengan pelbagai agensi.

Menurutnya, urusan pendaftaran dan rujukan di agensi-agensi terbabit akan menggunakan satu nombor sahaja yang dikeluarkan oleh SSM bertujuan mempermudahkan amalan perniagaan di negara ini.

“Pada hari ini, kita boleh berbangga dengan satu inisiatif yang telah membuktikan bahawa budaya kreatif, inovasi dan pelaksanaan yang pantas masih subur di kalangan jabatan kerajaan.

“Ini membuktikan tanggapan bahawa jentera kerajaan perlahan di dalam pelaksanaan adalah tidak tepat kerana bila ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat yakin idea inovatif MyCoID bukan hanya memudahkan rakyat berkecimpung dalam perniagaan tetapi juga membantu mempertingkatkan aktiviti urus niaga domestik.

“Pencapaian ini merupakan satu bentuk tindakan menongkah arus yang wajar dicontohi,” katanya.

Memudahkan proses: UPM cipta mesin nanas 3 dalam 1

11/02/2010 2:35pm


SERDANG 11 Feb. – Sejajar dengan Tahun Inovasi 2010, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta “Mesin Nanas 3 Dalam 1” yang akan meningkatkan produktiviti produk makanan berasaskan nanas terutama dalam mekanisme pemprosesannya.

Inovasi hasil penyelidikan Dr. Rosnah Shamsudin dari Fakulti Kejuruteraan UPM itu akan memudahkan proses pengupasan kulit dan empulur selain berfungsi sebagai pemotong nanas keping dan kiub.

Mesin nanas yang boleh beroperasi secara manual atau automatik itu akan memberi manfaat besar kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) nanas, antara lain dalam pembuatan jem, kuih muih dan nanas tin.

“’Pineapple-multipeeler’ ini akan menjimatkan tenaga, masa, ekonomik dan selamat untuk digunakan,” kata Rosnah pada sidang media mengenai inovasi itu yang masih di peringkat prapengkomersialan di UPM Serdang di sini hari ini.

Mesin diperbuat daripada besi tahan karat itu siap dalam tempoh setahun pembangunan dan penyelidikan (R&D) bermula 2008 dengan menggunakan dana penyelidikan RM30,000 daripada UPM. – Bernama

Wednesday, February 10, 2010

MAIPP tawar saham wakaf serendah RM5

PULAU PINANG 10 Feb 2010 - Masyarakat Islam di negeri ini termasuk syarikat korporat berpeluang melabur dengan Saham Dana Wakaf yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dari harga serendah RM5 sebulan.

Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria berkata, selain amal jariah, pelabur juga berpeluang memperoleh keuntungan untuk jangka masa panjang menerusi pembelian aset-aset tetap seperti hartanah.

"Apabila saham ini dibeli secara berterusan oleh majoriti umat Islam, kita mengumpul kekuatan dana secara konsisten setiap bulan.

"Lama-kelamaan satu hari nanti kita ada kuasa untuk membeli dan mentadbir kewangan dalam jumlah yang tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, melalui dana yang terkumpul, MAIPP akan membeli premis dan bangunan di lokasi-lokasi strategik untuk dibangunkan demi kepentingan umat Islam.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di pejabat MAIPP yang terletak di Menara UMNO, Jalan Macalister di sini.

DHL tawar khidmat fret jalan raya antara sempadan

10/02/2010 4:11pm


KUALA LUMPUR 10 Feb. – Syarikat logistik utama DHL kini menawarkan perkhidmatan fret jalan raya antara sempadan bagi pelanggannya di Malaysia, Thailand dan Singapura.

Menurut syarikat itu, perkhidmatan itu akan mengurangkan kos fret sehingga 25 peratus berbanding fret udara dan pelanggan mendapat kelebihan tempoh transit yang lebih pendek berbanding fret laut.

Perkhidmatan itu akan memastikan penghantaran barangan kurang dari 100kg hingga lebih 2,000kg dirancang untuk penghantaran pada waktu yang diperlukan oleh pelanggan sektor automotif, pelanggan, teknologi tinggi dan minyak dan gas, katanya.

Ketua pegawai eksekutif DHL, penghantaran Asia Selatan global, Thomas Tieber berkata, perkhidmatan itu dijangka membantu perdagangan antara rakan niaga perdagangan utama di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Ketua eksekutif DHL, penghantaran Asia Tenggara global, Sam Ang pula berkata, perkhidmatan antara sempadan ini beroperasi dari hab-hab di Bangkok, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sadao dan Singapura. – Bernama

Tuesday, February 9, 2010

Tambang separuh harga bagi warga emas (9/2/10)

GEORGETOWN: Bermula Isnin depan, warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas akan menikmati tambang separuh harga bagi setiap perjalanan menggunakan bas Rapid Penang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Penang Sdn Bhd, Azhar Ahmad.

Beliau berkata, kadar tambang separuh harga itu bergantung kepada jarak perjalanan penumpang.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan itu juga akan menghentikan penggunaan kad konsesi warga emas secara berperingkat dan warga emas hanya perlu menunjukkan Mykad kepada pemandu bas untuk menikmati potongan harga.



"Seiring dengan pengenalan 1 Nombor Untuk Semua yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Januari lalu, semua warga emas yang dilahirkan pada 1950 ke bawah akan dapat menikmati kemudahan tersebut tanpa perlu membuat permohonan pemprosesan secara bertulis kepada pihak kami sebagaimana yang dilakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini, Rapid Penang akan menyediakan 10 buah bas tambahan khas untuk laluan utama di Pulau Pinang bermula dari 13 hingga 16 Februari.

"Dengan adanya bas tambahan ini, jumlah keseluruhan bas yang disediakan adalah sebanyak 265," katanya.

Azhar berkata, perkhidmatan bas tambahan itu akan beroperasi melalui tiga laluan utama iaitu dari Teluk Bahang, Air Itam, Bayan Baru menuju ke Pengkalan Weld dan kekerapan bas di ketiga-tiga laluan ini ialah antara lima hingga 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas. - Bernama

Monday, February 8, 2010

Program Pagi Bersama Ketua Menteri ke sekolah

Mohd. Ali Rustam menyampaikan hadiah kepada Pelajar Terbaik Aliran Vokasional, Khaliezah Kazimah Khairudin pada Majlis Perhimpunan Pagi Bersama Ketua Menteri di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah, Bukit Katil, Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 8 Feb 2010 - Jika sebelum ini Majlis Perhimpunan Pagi Bersama Ketua Menteri diadakan di Dataran Seri Negeri tetapi hari ini majlis tersebut diberi nafas baru apabila berlangsung di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah (SMTMT), Bukit Katil di sini.

Malah melihat kepada keberkesanan pendekatan tersebut, kerajaan negeri selepas ini berhasrat untuk menganjurkan majlis berkenaan secara lebih kerap di sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, majlis yang diberi nafas baru itu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan pimpinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, melalui pendekatan tersebut, kerajaan negeri akan dapat mengetahui masalah yang dihadapi sekolah terbabit dan langkah segera untuk mengatasinya akan dapat dilakukan.

''Usaha kerajaan negeri adalah untuk memperkasakan lagi pencapaian akademik pelajar.

''Selain itu apabila majlis perhimpunan ini diadakan di sekolah bersama ADUN kawasan terbabit, barulah kita tahu apa masalah yang dihadapi," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kanan agensi kerajaan berkaitan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md. Amin; Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu dan Pengetua SMTMT, Abd Aziz Sahat.

Dalam ucapannya, Mohd. Ali menyeru para pelajar sekolah menengah aliran vokasional dan teknik di negeri ini supaya mempunyai sikap ingin meningkatkan kemahiran sekiranya mereka mahu berjaya pada masa depan.

Beliau berkata, tidak ada gunanya sekiranya hanya mempunyai pengetahuan dan kemahiran tetapi tidak disertakan dengan sikap inginkan perubahan ke arah yang lebih baik.

"Untuk seseorang mengecapi sesuatu kejayaan, 80 peratus daripadanya ditentukan oleh sikap manakala 20 peratus lagi adalah pengetahuan dan kemahiran.

"Yang 20 peratus itu tidak akan ke mana sekiranya kita tidak bersikap menjana kemahiran dan pengetahuan ke peringkat yang lebih baik sejajar dengan peredaran zaman," katanya.

Mohd. Ali menambah, para pelajar di peringkat menengah juga harus menanamkan sikap inovasi yang tinggi bagi menyumbang kepada bidang pembuatan negara pada masa depan.

"Tidak perlu tunggu hingga ke peringkat universiti, sebaliknya daripada peringkat sekolah lagi, kita perlu membudayakan cara pemikiran untuk mencipta sesuatu produk.

"Adalah satu kerugian jika kita tidak gunakan ilmu dan kemahiran yang ada untuk berfikir bagi mencipta produk yang mempunyai tempat dalam pasaran," katanya.

Guna karavan lebih praktikal, mampu tingkat pendapatan (8/2/10)

Mohamed Shariff (dua dari kiri) menunjukkan pisang tanduk yang dihasilkan oleh petani pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-25 Peringkat Negeri Johor di Lakin baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 8 Feb. - Peserta pasar tani disaran menggunakan karavan kerana ia lebih praktikal serta mampu meningkatkan hasil jualan.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohamed Shariff Abd. Aziz berkata, dengan menggunakan karavan, mereka boleh menjual pelbagai barangan seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan sekali gus.

"Ia juga lebih bersih dan kemas. Peserta juga boleh membawa dan menjual pelbagai barangan dalam satu karavan berbanding hanya satu barang saja dengan menggunakan khemah pada masa ini," katanya selepas merasmikan Sambutan 25 Tahun Pasar Tani Larkin di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md. Mokri (nota: nama memang seperti ditulis). Pasar Tani Larkin yang ditubuhkan pada 31 Januari 1985 merupakan pasar tani pertama di negara ini.

Beliau berkata, FAMA menyasarkan dapat menggalakkan 100 peratus pesertanya menggunakan karavan pada 2012.

Menurutnya, pada masa ini hanya 30 daripada kira-kira 18,000 peserta pasar tani di seluruh negara telah menggunakan karavan. Enam daripada peserta tersebut adalah dari Johor.

Mohamed Shariff berkata, dengan menggunakan karavan, para peserta juga mudah bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain membawa dan menjual barangan dan sekali gus dapat meningkat pendapatan mereka.

Selain itu, FAMA juga mewujudkan Kedai Rakyat dan perkhidmatan roda tiga untuk membeli pelbagai barangan keluaran masyarakat yang kemudiannya dijual di Kedai Rakyat.

Beliau berharap dapat mewujudkan 100 perkhidmatan roda tiga pada tahun ini untuk menyokong hasil jualan di Kedai Rakyat.

"Setiap roda tiga, FAMA memperuntukkan RM7,000 yang dibayar secara ansuran dan mengikut kemampuan peserta," katanya.

NASIONAL Pejabat Sultan Selangor dianugerah sijil ISO (8/2/10)

KLANG: Pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah, semalam, mencatat sejarah menjadi pejabat pertama seumpamanya mendapat pensijilan MS ISO 9001:2008 bagi pengurusan dan pengendalian istana daripada Sirim QAS International Sdn Bhd.

Pensijilan itu diberikan untuk tiga aspek utama organisasi Istana Alam Shah iaitu pengurusan hal ehwal pentadbiran dan santapan Sultan Selangor; pengurusan pentadbiran serta pengurusan adat istiadat Istana Alam Shah.



Pejabat Sultan Selangor dianugerahkan pensijilan berprestij itu selepas diaudit oleh dua pegawai Sirim QAS International Sdn Bhd pada 23 dan 24 Disember lalu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pensijilan ISO itu daripada Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Yahaya Ahmad pada satu majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah di sini.

Turut hadir, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Zakaria Abdul Rahman dan Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj.

Dalam ucapannya, Zakaria berkata, dengan penganugerahan ISO itu, pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah adalah setanding dengan organisasi kerajaan atau swasta yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Penganugerahan ini sekali gus menafikan tanggapan yang menyatakan pentadbiran istana selama ini hanya menjalankan tugas dengan berselindung di atas titah Tuanku tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata sehingga kini, 4,793 syarikat dan organisasi di Malaysia menerima pensijilan ISO 9001, satu piawaian yang menentukan komponen khusus sistem pengurusan bermutu.

Proses audit memastikan organisasi atau syarikat berkenaan mempunyai sistem diperlukan bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan sentiasa memenuhi piawaian ditetapkan. - Bernama

Tol percuma, diskaun (8/2/10)

*Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 1) tiada bayaran tol pada 11 Februari dan 15 Februari pukul 11.30 malam hingga 4.30 pagi.

* PLUS Expressways pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menawarkan diskaun 20 peratus, 12 tengah malam hingga 7 pagi dari 10 hingga 19 Februari.

* 15 lebuh raya lagi menawarkan diskaun tol antara lima hingga 20 peratus pada 14 Februari. 10 lebuh raya menawarkan diskaun pada 14 Februari bermula dari pukul 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

SPRM akan tubuh Bahagian Operasi Khas siasat kes berprofil tinggi (8/2/10)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan Bahagian Operasi Khas untuk menyiasat kes berprofil tinggi.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata bahagian itu kini sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini sebentar tadi.

Sunday, February 7, 2010

Kelancaran pilihan raya automasi pertama Filipina diragui pelbagai pihak (8/2/10)

MANILA: Lebih daripada 50 juta pengundi di Filipina akan memilih pemimpin baru di peringkat kebangsaan dan tempatan menerusi pendekatan baru, iaitu pilihan raya automasi yang berasaskan komputer pada Mei ini.

Pilihan raya berasaskan sistem automasi itu adalah kaedah baru yang masih belum diuji.

Penggubal undang-undang, parti politik dan pakar teknologi maklumat (IT) meragui proses yang akan diguna pakai, kerana bimbang kerosakan mesin, kelewatan atau kegagalan penghantaran keputusan yang boleh menyebabkan pilihan raya itu gagal.



Keadaan itu mengakibatkan pasaran kewangan asing dan tempatan gemuruh.

Penganalisis memberi amaran kadar faedah mungkin melonjak, melemahkan peso dan pasaran saham merudum apabila pelabur bertindak menjual saham mereka akibat ketidakstabilan politik negara itu. - Reuters

Kod untuk disiplin pengusaha bas diperkenalkan Mac ini (8/2/10)

ALOR SETAR: Lembaga Perlesenan Kenderaan Persekutuan (LPKP) akan menguatkuasakan arahan penubuhan Jawatankuasa Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) dan pelekat aduan pengguna kepada semua syarikat bas ekspres dan teksi bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata bagi pelaksanaan SHE, LPKP akan mula melaksanakan penguatkuasaan peraturan itu dua minggu selepas semua syarikat berkaitan diberi taklimat kefahaman mengenainya pada 23 Februari ini, manakala bagi peraturan pelekat aduan pengguna ia sudah dimaklumkan melalui surat pekeliling yang dikeluarkan bulan lalu.

Katanya, bagi program SHE, LPKP mengarahkan semua syarikat bas ekspres supaya bersiap sedia menubuhkan jawatankuasa masing-masing dalam hal berkaitan audit dalaman dan polisi merangkumi pengurusan syarikat, kenderaan, pemandu, perjalanan dan risiko serta dokumentasi.



"Program ini diwajibkan kepada semua 224 syarikat bas ekspres dalam negara ini dan ia akan dipantau oleh LPKP dari semasa ke semasa.

"Kita juga akan memberi taklimat mengenai She kepada semua wakil syarikat dalam mesyuarat yang akan belangsung selama dua hari untuk memastikan program ini difahami oleh semua pihak.

"Selepas itu biasanya kita akan bagi masa dua minggu supaya syarikat ini melaksanakan She di peringkat syarikat," katanya pada sidang media selepas majlis interaksi bersama Persatuan Kereta Sewa Perlis & Kedah di sini, hari ini.

Halimah berkata, bagi program pelekat aduan pihaknya sudah memberi masa yang cukup untuk dipatuhi oleh semua syarikat bas, syarikat dan pemandu teksi bagi memastikan ia dilaksanakan sebelum penguatkuasaan bulan depan.

"Melalui program ini pengguna pengangkutan awam sendiri akan menjadi mata dan telinga LPKP dengan memantau setiap kesalahan yang dilakukan.

"Pada pelekat itu akan diletakkan nombor aduan LPKP 1800 88 9600 dan talian aduan sms 1588 yang bakal dibuka 24 jam dalam masa terdekat.

"Selain nombor kita juga bercadang meletakkan beberapa maklumat berkaitan pengguna bagi membolehkan mereka faham dan sedar hak mereka dalam mendapatkan pekhimdatan yang baik seperti dikehendaki kerajaan," katanya.

Korea Selatan lancarkan 'pulau terapung'

SEBUAH pelampung gergasi yang akan menjadi sebahagian daripada tiga pulau terapung di Sungai Han di Seoul, kelmarin. - AFP

--------------------------------------------------------------------------------



SEOUL 7 Feb 2010 - Sebuah besi pelampung gergasi akan menjadi sebahagian daripada 'pulau terapung' di sini sekali gus menyemarakkan lagi di pesisiran pantai dengan menyusuli sepanjang Sungai Han, semalam.

Struktur sebesar padang bola itu, menyerupai sebuah kapal kargo dan pergerakannya hampir tidak dapat dikesan kerana diletakkan di atas beg udara getah.

Pelampung yang diperbuat daripada besi dan seberat 2,000 tan itu boleh digunakan bermula semalam.

Mempunyai ketinggian setinggi tiga meter, panjang 85 meter serta lebar 49 meter, ia akan menjadi salah satu daripada Viva, satu daripada tiga pulau kecil yang akan dibina di selatan Jambatan Banpo.

Di samping dua lagi pulau kecil buatan iaitu Vista dan Tera yang akan dibuka penghujung April ini, pulau buatan manusia ini boleh digunakan untuk kegunaan konvensyen, sukar air, restoran, persembahan serta pameran.

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini.

"Kami berharap, pulau terapung ini akan menjadi mercu tanda baru kepada Seoul," kata jurucakap kerajaan negeri. - AFP

Lesen lulus dalam tempoh 24 jam

MUAR 7 Feb 2010 - Para peniaga kecil yang mahu membuka perniagaan di bandar Muar kini tidak perlu menunggu lama kerana permohonan lesen mereka akan diluluskan dalam tempoh 24 jam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abdul Wahab Ridwan berkata, jaminan tersebut diberikan pihaknya dalam membantu memudahkan urusan peniaga terutamanya golongan penjaja.

"Menerusi dasar baru yang kita keluarkan tahun ini, permohonan mana-mana lesen perniagaan di kawasan MPM akan diluluskan dalam tempoh 24 jam.

"Dengan kemudahan seperti ini, mereka tidak boleh lagi memberi alasan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata beliau, kemudahan itu terhad kepada perniagaan kecil dan tidak tertakluk kepada perniagaan-perniagaan berisiko tinggi yang membabitkan aspek keselamatan dan alam sekitar.

Jelasnya, pihak MPM yakin perkhidmatan tanpa kerenah birokrasi yang ditawarkan pihaknya itu akan banyak membantu melegakan golongan berpendapatan rendah yang mahu menjalankan perniagaan.

"Sejak pelancarannya pada awal tahun ini, kita telah menerima maklum balas yang begitu menggalakkan terutamanya dalam perniagaan makanan dan pakaian," katanya.

Kerajaan cadang anjur Hari Tunku Abdul Rahman

ALOR SETAR 7 Feb 2010 – Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan merancang penganjuran Hari Tunku Abdul Rahman untuk menghayati jasa dan perjuangan Perdana Menteri pertama itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran hari seumpama itu adalah penting kerana masih ramai yang tidak memahami dan menghayati fahaman dan keistimewaan Tunku Abdul Rahman Putra dalam sejarah tanah air.

Katanya, antara pengisian Hari Tunku Abdul Rahman termasuk menganjurkan kuiz, pertandingan esei, pameran dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan dan perjuangan Tunku Abdul Rahman membentuk negara ini.

“Terdapat 15 agensi di bawah kementerian dan daripada itu sebanyak lima agensi adalah yang berkaitan dengan artifak dan sejarah. Kita akan garap kemahiran kelima-lima agensi ini untuk mencari idea (menganjurkan Hari Tunku Abdul Rahman),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Bergerak Koleksi Khas dan Katalog Khas Tunku Abdul Rahman Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata, Hari Tunku Abdul Rahman itu akan diadakan sempena tarikh kemangkatan Tunku Abdul Rahman iaitu pada 6 Disember setiap tahun mulai tahun ini.

Rais berkata, dengan pemilihan hari kemangkatan Tunku Abdul Rahman itu, bermakna selain daripada menganjurkan tahlil dan bacaan Yaasin, kerajaan juga menganjurkan aktiviti memperingati jasa beliau.

Katanya, selain itu kementerian juga meminta institusi pengajian tinggi menganjurkan kajian ilmiah mengenai Tunku Abdul Rahman.

“Setakat ini belum terdapat kajian akademik mengisahkan perjuangan Tunku Abdul Rahman yang begitu banyak memberi sumbangan kepada negara,” kata beliau.

Beliau berkata, masih banyak sejarah Perdana Menteri pertama itu yang belum disingkap dan antaranya kandungan perdebatan pertama Parlimen yang disertai oleh Tunku Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam Parlimen yang sama. – BERNAMA

Saturday, February 6, 2010

Lebih RM6.5j pulih 1,918 hektar sawah padi terbiar

PAPAR 6 Feb 2010 - Kerajaan negeri telah berjaya memulihkan 1,918 hektar kawasan tanah sawah terbiar di negeri ini sejak empat tahun lalu melibatkan 1,246 pesawah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, usaha yang dilakukan dalam tempoh empat tahun itu melibatkan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM6.5 juta.

"Jumlah berkenaan yang merupakan pencapaian kumulatif dari 2006 hingga 2009 merupakan usaha proaktif kerajaan memulihkan tanah sawah terbiar yang sudah lama tidak produktif.

"Jadi kita berharap usaha kerajaan ini akan dapat membantu penduduk kampung mengusahakan tanah sawah mereka seterusnya meningkatkan taraf hidup," katanya selepas melawat kawasan pemulihan sawah di Kampung Langkawit dekat sini hari ini.

Menurut Yahya, kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha memulihkan sawah di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini.

Katanya, usaha pemulihan sawah terbiar meliputi pembersihan kawasan, penyediaan parit serta bantuan peralatan, baja dan benih padi kepada petani.

UPM, Dutch Lady anjur kajian nutrisi (6/2/10)

KOTA BHARU 6 Feb. - Seramai 16 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program kajian Nutrisi dengan kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad sempena 'Kempen Kesihatan, Sertai Kami' di Bangunan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK) di sini kelmarin.

Para penuntut yang juga ahli Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM) berjaya menarik kira-kira 50 kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun menyertai kajian berkenaan.

Ketua Penyelidiknya, Loh Siow Hon berkata, kajian yang dimulakan tahun lalu itu melibatkan tabiat makan, indikator antropometri dan prestasi kognitif.

Katanya, daripada borang soal selidik yang diberikan, tabiat makan kanak-kanak itu dikenal pasti melalui kefahaman serta pemberian makanan oleh ibu bapa.

"Sikap ibu bapa juga diketahui dalam menentukan pemakanan anak-anak mereka," ujarnya.

Menurutnya, pengukuran antropometri pula melibatkan berat, tinggi serta lilitan pinggang kanak-kanak terlibat.

Katanya, seterusnya jenis makanan yang menjadi kegemaran kanak-kanak itu juga dapat diketahui daripada kajian yang dijalankan itu.

Beliau memberitahu, hasil kajian itu akan dijadikan panduan membentuk program intervensi yang diperlukan.

Adzlan azam selesai masalah letak kereta di KT

KUALA TERENGGANU 6 Feb 2010 - Datuk Bandar Kuala Terengganu yang baru dilantik, Datuk Adzlan Mohd. Dagang (gambar) berazam menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta di bandar raya ini terutama di pusat bandar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Adzlan berkata, ia merupakan salah satu permasalahan yang ingin diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak ia terus berlanjutan.

Katanya, beliau merancang memilih satu kawasan di sekitar bandar raya ini untuk dijadikan tempat letak kereta bagi menyelesaikan masalah itu.

"Saya juga merancang menggalakkan pembinaan beberapa pasar raya di beberapa kawasan di luar pusat bandar bagi mengelak terlalu ramai tertumpu di satu kawasan sahaja.

"Ia akan membantu mengurangkan kesesakan yang kita boleh lihat dengan pembukaan beberapa pasar raya seperti Mydin di Kuala Ibai," katanya ketika ditemui di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini kelmarin.

Adzlan berkata, pada masa sama, beliau merancang untuk membuka satu kawasan deretan kedai yang akan disewa oleh syarikat barangan berjenama.

"Ketika ini, hanya sebuah kedai Levi's sahaja yang dibuka di bandar raya ini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi dalam mewujudkan satu kawasan membeli belah untuk golongan berpendapatan sederhana," katanya.

Beliau berkata, selama ini, golongan berkenaan akan pergi ke Kuantan, Pahang untuk mendapatkan barangan berjenama.

24 jam bantu masyarakat

IPOH 6 Feb 2010 - Wanita Barisan Nasional (BN) Perak berazam menjadi pasukan pertama sampai ke destinasi untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan pada bila-bila masa.

Sehubungan itu Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata, Wanita BN negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Sayang Wanita BN Negeri Perak.

Menurut beliau, skuad yang pertama seumpamanya dalam Wanita BN itu bertujuan membantu dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan.

"Masyarakat tidak nampak BN bergerak dan membantu masyarakat. Jadi kita mesti bergerak untuk memperlihatkan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.

"Buktikan bahawa kita bukan nak menang dalam pilihan raya sahaja, tetapi juga hendak memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Oleh itu, kita perlu bergabung tenaga di bawah satu bumbung dengan satu suara dan satu impian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO dan Skuad Sayang BN Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Datin Reny Rahayu Mohd. Ishak.

Menurut Rusnah, bertemakan 'Jalan-jalan Jumpa Kawan', Skuad Sayang BN akan bergerak mendampingi rakyat dalam menyelesaikan masalah mereka.

Jelasnya, sebanyak 50 ahli Skuad Sayang mewakili Wanita BN Perak akan mula bergerak bertemu masyarakat bagi tujuan tersebut.

"Kita juga telah melantik 15 ahli skuad khas yang akan bersedia 24 jam untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

"Sekiranya terjadi sebarang bencana, mereka ini akan menjadi orang pertama yang sampai ke destinasi tersebut dan membantu. Ini janji BN dan kita mahu buktikan BN memang berbakti kepada masyarakat," katanya.

Fama perkenal peniaga pasar tani bermotosikal (6/2/10)

JOHOR BAHRU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memperkenalkan peniaga pasar tani bermotosikal sebagai langkah alternatif untuk memasarkan produk pertanian dalam skala lebih kecil.

Melaluinya, Fama menyasarkan dapat mewujudkan 100 peniaga pasar tani yang akan menggunakan motosikal roda tiga itu tahun ini, dan jumlahnya akan ditambah menjelang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz, berkata menerusi penggunaan motosikal, peniaga pasar tani ini boleh pergi ke serata tempat sama ada untuk menjual produk mereka atau membeli daripada pekebun kecil di seluruh pelosok kawasan yang ada kala sukar untuk sampai dengan kenderaan lain.



“Pada masa lalu, kita susah nak jual tetapi dengan adanya konsep ini kita boleh memasarkan hasil dengan lebih baik serta mampu menambah nilai produk dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Pasar Tani Larkin di sini, semalam.

Mohamed Shariff berkata, pada peringkat permulaan pihaknya merancang untuk mewujudkan 100 peniaga pasar tani bermotosikal dengan memberikan bantuan sebuah motosikal roda tiga bernilai RM7,000 kepada peniaga yang berminat dan dikenakan bayaran ansuran mengikut kemampuan mereka.

“Kita mahu mereka menjadi peniaga sepenuh masa, mereka boleh membawa dan menjual produk mereka ke kedai rakyat dan pasar tani yang diwujudkan Fama,” katanya.

Mengenai Pasar Tani Karavan yang diwujudkan sebelum ini, Mohamed Shariff menjelaskan setakat ini, sudah ada 30 peniaga menjalankan konsep yang diperkenalkan sejak dua bulan lalu itu dan beliau berharap dapat menambah jumlah berkenaan kepada 100 buah karavan menjelang hujung tahun ini.

Kabinet setuju mekanisme bantu wanita dalam proses penceraian (6/2/10)

KUALA LUMPUR: Kabinet sudah bersetuju pada dasarnya untuk mewujudkan satu mekanisme bantuan kewangan kepada wanita bukan Islam yang dalam proses penceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami masing-masing, kata Menteri Sumber Manusia Datuk, Dr S Subramaniam.

Beliau itu berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi tanggungjawab merangka mekanisme itu dalam tempoh terdekat.

Minggu lalu, Dr Subramaniam berkata beliau memohon kelulusan Kabinet dan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mendapatkan peruntukan untuk membantu golongan berkenaan.



Awal bulan ini, Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta sebagai bayaran nafkah pendahuluan kepada wanita Islam yang bekas suami mereka melanggar perintah mahkamah Syariah dan bayaran itu akan dituntut semula daripada bekas suami terbabit. - Bernama

Geran khas untuk pusat pendidikan pra sekolah (6/2/10)

KODIANG: Kerajaan akan melancarkan geran khas selain bantuan latihan guru kepada pihak yang berhasrat membuka pusat pendidikan pra sekolah di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia sebagai galakan menambah lebih banyak pusat pra sekolah di negara demi kemudahan rakyat.

"Butiran geran itu akan diumumkan kelak," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan bersama warga pendidik daerah Kubang Pasu di SMK Tengku Bendahara, di sini.

Friday, February 5, 2010

Sekolah latihan nelayan di Tanjung Manis dalam RMK-10

06/02/2010 11:37am


SIBU 6 Feb. — Sebuah sekolah latihan nelayan akan diwujudkan di Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kepada remaja di kawasan itu dan Sarawak pada keseluruhannya agar mereka dapat dilatih sebagai nelayan moden yang progresif.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Sibu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi, Noh berkata, Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) di bawah kementeriannya akan membantu merangka silibus, syarat kemasukan dan maklumat lain.

"Kami akan memulakannya dalam skala kecil, kemungkinan buat permulaan melatih 80 pelajar agar dapat mengambil lebih ramai pelajar pada masa depan.

"Objektif asasnya ialah untuk melatih remaja kita untuk menjadi nelayan yang lebih baik, berkemahiran tetapi bukan sahaja untuk meneroka laut dalam untuk menangkap, tetapi kami berharap mereka akan membabitkan diri dalam kegiatan berkaitan seperti dalam industri hiliran. - Bernama

Bazar Al-Mubarak cabaran umat Islam di Sabah

Oleh HAMDEN RAMLI



Lakaran artis Bazar Al-Mubarak yang dalam pembinaan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 5 Feb 2010 - Usaha kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) membina ruang perniagaan di kawasan masjid merupakan langkah terpuji dan perlu disokong penuh oleh masyarakat khususnya umat Islam.

Selain membuka dimensi baru dalam pembangunan keusahawanan di kalangan umat Islam, langkah itu juga dijangka mampu mengimarahkan lagi masjid yang selama ini hanya terhad untuk melaksanakan ibadat.

Usaha-usaha seumpama itu sudah pasti mampu memberi nilai tambah kepada masjid sebagai institusi penting penyebaran dakwah Islam.

Sebagai permulaan, ruang perniagaan yang akan dikenali sebagai Bazar Al-Mubarak itu akan dibuka di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini.

Majlis pecah tanah sebagai tanda bermulanya projek itu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini.

Dengan bercirikan seni bina Islam, bazar yang dijangka menempatkan antara lapan gerai dengan keluasan 896 meter persegi setiap satu itu akan menjual pelbagai barangan keperluan harian selain gerai makanan.

Pengerusi Sedco, Datuk Arifin Mohd. Arif, bazar berkenaan akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, kecuali gerai makan yang mungkin akan dilanjutkan masa operasinya.

"Daripada segi jenis perniagaan ia akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid dan keutamaan akan diberikan kepada jemaah masjid berkenaan untuk berniaga di bazar tersebut," ujarnya.

Katanya lagi, jika berjaya, bazar yang sama akan dibuka di masjid lain di seluruh negeri ini dengan mendahului senarai adalah masjid di Bukit Padang dan Ranau.

Pembukaan bazar itu yang dijangka siap 10 bulan dari sekarang pasti menggembirakan umat Islam di negeri ini. Bagaimanapun di sebalik kegembiraan itu terselit seribu dugaan dan cabaran yang perlu dipikul oleh seluruh umat Islam dalam menjayakan bazar tersebut.

Kejayaan bazar tersebut bukan sahaja akan menyaksikan lebih banyak bazar yang sama dibina di negeri ini tetapi sekali gus mengangkat imej Islam yang terkenal dalam kebijaksanaan dalam dunia perniagaan.

Bayangkan jika bazar yang dibuka itu ketandusan pengunjung ataupun terbiar seperti kebanyakan pusat-pusat niaga bumiputera lain.

Percayalah, jika itu berlaku masyarakat tidak akan melihat kepada pihak lain melainkan kepada kegagalan umat Islam sendiri untuk menjayakan sebuah projek yang bukan sahaja diharapkan memberi kesan daripada sudut ekonomi tetapi meningkatkan amalan dan kesedaran tentang ajaran Islam dan mengimarahkan rumah Allah itu.

Justeru langkah kemas dan teratur perlu disusun bagi menjayakan misi itu. Ia sepatutnya bermula di peringkat awal termasuk dalam soal pemilihan jenis perniagaan yang sesuai dan peniaga-peniaga yang bakal memikul cabaran itu.

Hasrat untuk memberi peluang kepada jemaah di masjid berkenaan peluang berniaga amat murni dan perlu disokong. Bagaimanapun ia perlu disusuli dengan komitmen tinggi peserta terbabit, selain pengalaman dan kekuatan untuk bertahan, apatah lagi menjadi perintis kepada projek ini.

Walaupun, kempen pemasaran dan perancangan strategi akan dilakukan dari semasa ke semasa, ia tidak akan bermakna jika tidak disertai dengan produk dan perkhidmatan yang baik.

Tanpa produk dan perkhidmatan yang baik, pengunjung tidak akan datang ke bazar berkenaan yang akhirnya akan menyebabkan kesan yang tidak ingin kita lihat berlaku.

Apa yang pasti, semua pihak mengharapkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja akan menarik pengguna Islam tetapi mampu menambat hati penganut agama lain datang ke bazar tersebut.

Satu lagi pendekatan yang mungkin boleh difikirkan oleh pengurusan bazar adalah dengan menyewakan salah satu gerai tersebut kepada pengusaha yang sudah mempunyai perniagaan kukuh, dikenali ramai dan jika boleh memiliki jenama terkenal.

Ia mampu menjadi daya penarik yang akan memberi limpahan kepada pengusaha lain, sekali gus menjadi lonjakan kepada usaha memajukan bazar berkenaan khususnya di peringkat permulaan ini.

Dengan berlokasikan kawasan umat Islam beribadat, sudah pasti harapan tinggi diletakkan kepada seluruh umat Islam dan bukannya kepada jemaah masjid itu sahaja sebagai pengunjung.

Ini kerana jika hanya bersandarkan kepada jemaah yang hadir di masjid khususnya ketika solat lima waktu (kecuali solat Jumaat) ia tidak mampu untuk mewujudkan kitaran ekonomi yang produktif.

Oleh itu kehadiran umat Islam lain amat dituntut. Dengan harapan daripada status pengunjung bazar, lama-kelamaan akan berubah menjadi jemaah kepada masjid tersebut.

Malah, itulah harapan semua pihak dalam merencanakan pembangunan ini.

Usaha ini yang dilaksanakan oleh Sedco dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEAINS), sungguh murni.

Sudah pasti sebagai umat Islam kita tidak mahu melihatnya gagal sebaliknya berkembang mekar disulami kejayaan sama ada daripada segi perniagaan, penyebaran syiar Islam dan usaha mengimarahkan masjid.

Maran wujud program pemutihan e-Kasih

MARAN 5 Feb. - Pejabat Daerah Maran telah mewujudkan Program Pemutihan Data Orang-orang Miskin e-Kasih bagi mengatasi masalah pertindihan senarai penerima bantuan kebajikan di daerah ini.

Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh berkata, program pemutihan itu akan memastikan hanya penerima yang benar-benar layak sahaja diberikan bantuan.

Beliau berkata, sebelum ini wujud keraguan apabila senarai penerima bantuan terlalu ramai sehingga mendorong pihaknya melaksanakan program itu yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Pahang.

"Usaha murni ini selaras dengan arahan dan keputusan kerajaan supaya setiap daerah hanya menggunakan satu senarai kemiskinan sahaja iaitu data e-Kasih.

"Ia bagi membolehkan hanya golongan yang benar-benar layak diberikan bantuan," katanya pada majlis makan malam sempena meraikan petugas program e-Kasih peringkat daerah di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Fadzilla berkata, gerak kerja pemutihan e-Kasih peringkat daerah sebenarnya telah dijalankan pada 12 hingga 20 Januari lalu.

Menurut beliau, hasil kerjasama daripada wakil-wakil rakyat, ketua kampung, penghulu, pegawai Unit Pembangunan Luar bandar dan Jabatan Perangkaan negeri, pihaknya telah berjaya mengesan penerima yang benar-benar layak untuk diberikan bantuan.

Katanya, maklumat peribadi penerima bantuan yang didaftarkan dalam data e-Kasih adalah tepat dan menyeluruh kerana mereka dinilai daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan bilangan isi rumah yang ditanggung pada satu-satu masa.

Sementara itu, Tan Mohd. Aminuddin menghargai usaha Pejabat Daerah Maran itu kerana ia secara langsung membolehkan urusan memberi bantuan kepada golongan sasar dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berjihad untuk membendung dan mengatasi kemiskinan tegar sejajar dengan peningkatan taraf hidup rakyat sekarang.

Kaunter bayar cukai tanah di Giant

SEREMBAN 5 Feb 2010 - Pejabat Daerah dan Tanah Seremban (Unit Hasil) akan membuka kaunter kutipan luar pejabat di pasar raya Giant Senawang dekat sini, esok bagi memudahkan orang ramai membayar cukai tanah.

Pentadbir Tanah Seremban, Hasnul Mohamed berkata, kaunter tersebut akan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 3 petang.

"Inilah peluang untuk orang ramai menjelaskan cukai tanah mereka. Kami akan menyediakan cenderahati untuk pembayar cukai yang mengunjungi kaunter berkenaan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Hasnul, bagi memudahkan urusan, bayaran cukai tanah boleh dibuat secara tunai atau melalui cek.

Karnival 'Jom Masuk U' di Stadium Nilai

NILAI 5 Feb 2010 - Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Pengajian Tinggi 2010 'Jom Masuk U' yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Nilai di sini bermula esok hingga 7 Februari ini.

Karnival ini menempatkan pelbagai gerai pameran institusi pendidikan di negara ini dan produk jualan usahawan tempatan.

Walaupun belum bermula secara rasmi namun tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai sudah mula mengunjungi stadium tersebut.

Salah seorang pengunjung, Ummu Solehah, 22, berkata, karnival ini memberi peluang kepada pelajar lepasan persekolahan untuk mendapatkan maklumat mengenai hala tuju dan institusi pendidikan di negara ini.

"Saya melihat banyak maklumat boleh diperolehi dari karnival ini. Ini memberi peluang pelajar dan ibu bapa dalam merancang pendidikan pada masa hadapan.

"Di samping itu, karnival ini juga memberi peluang kepada pelajar yang mengalami masalah kewangan dalam menyambung pembelajaran untuk memperoleh tajaan dan pinjaman daripada pihak berkenaan," ujarnya.

Mohd. Shahril Lokman, 24, berkata, di samping melawat tapak karnival, pengunjung boleh singgah ke gerai jualan yang menawarkan barangan menarik.

"Selain itu pengunjung boleh singgah ke gerai-gerai jualan yang menawarkan barangan yang murah.

"Terdapat juga produk daripada usahawan tempatan yang merangkumi produk kesihatan, keperluan harian dan makanan," ujarnya merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Selain itu, Rukiah Ismail, 24, berkata karnival ini memberi ruang kepada kakitangan institusi pengajian tinggi untuk mendekati pelajar di negeri ini.

"Kakitangan universiti dapat bersama memberi penjelasan yang betul kepada pelajar dan ibu bapa mengenai kos yang ditawarkan mereka," ujarnya.

Karnival 'Jom Masuk U' dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Persada, Johor Bahru pada 9 Januari lalu.

PM anjur jamuan teh khas buat rakan online 13 Mac ini

05/02/2010 7:49pm


KUALA LUMPUR 5 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menganjurkan jamuan teh khas buat rakan-rakan online di kediamannya di Putrajaya pada hari Sabtu, 13 Mac ini.

Beliau berkata, jamuan yang dijadualkan bermula pukul 4 petang itu bertujuan membolehkannya berinteraksi dengan cara yang lebih langsung dengan peminat dan rakan online beliau.

"Sebagaimana yang telah disentuh dalam blog-blog saya yang terdahulu dan dalam beberapa wawancara, saya begitu gembira dengan kadar interaksi online yang telah dicapai bersama dengan orang ramai melalui blog peribadi saya di 1Malaysia.com.my serta Facebook dan Twitter.

"Saya begitu kagum dengan tahap penglibatan online yang kita alami setakat ini dan ingin meneruskan dialog 1Malaysia kita.

“Sesungguhnya saya tergerak hati untuk berinteraksi dengan cara yang lebih langsung dengan peminat dan rakan online saya,” katanya yang dipetik dari laman blog beliau www.1Malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, walaupun penyertaan untuk acara itu adalah terhad, tetapi beliau menginginkan majlis tersebut menjadi acara pembuka bagi kelangsungan sesi-sesi seterusnya. – Bernama

Wednesday, February 3, 2010

Miros cadang kumpul maklumat mangsa nahas (3/2/10)

ANI (tiga dari kanan), melihat demonstrasi penggunaan van yang boleh digunakan pelajar OKU selepas majlis MoU dengan Miros di USM, semalam.


GEORGETOWN: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) sedang mengumpul maklumat data profil mangsa kemalangan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan bagi penyelidikan membabitkan keselamatan dan pencegahan kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata pihaknya memilih Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai universiti pertama untuk landasan penyelidikan kerana mempunyai rekod penyelidikan cemerlang dan lestari.

"Ini membolehkan Miros mendapat data profil lengkap membabitkan kecederaan mangsa termasuk kesan dan punca kemalangan berlaku untuk dicari penyelesaiannya.



"Berdasarkan data profil lengkap itu, Miros boleh mengenal pasti cara terbaik mengurangkan kecederaan atau kematian akibat nahas melalui penyelidikan," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Miros dan USM di Dewan Budaya USM di sini, semalam.

Ahmad Farhan mewakili Miros, manakala USM diwakili Naib Canselor, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dengan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Tan Sri Ani Arope.

Ahmad Farhan berkata, pihaknya sebelum ini mendapat maklumat mengenai kemalangan daripada polis terutama babitkan kematian.

Batik 1Malaysia diperkenal esok (3/2/10)

NAJIB meneliti baju batik 1Malaysia yang diperagakan model sambil diberi penerangan oleh Rais di Putrajaya, semalam.


KUALA LUMPUR: Batik 1Malaysia yang bakal dijadikan pakaian acara rasmi serta pada majlis 1Malaysia akan diperkenalkan kepada umum pada program 1Malaysia di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka malam esok.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata batik hasil rekaan kraftangan Malaysia akan dipakai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta semua menteri yang hadir pada majlis itu.

Beliau berkata rekaan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri selepas diperagakan kepada beliau pagi semalam.



"Perdana Menteri sudah meneliti rekaan ini sebanyak dua kali dan beliau dapati semua rekaan berkenaan menarik, cuma memerlukan beberapa ubah suai agar lebih sesuai dengan tuntutan mereka yang akan memakainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di pejabatnya di bangunan Sultan Abdul Samad di sini, semalam.

Rekaan batik itu pertama kali dipertontonkan kepada Perdana Menteri dan anggota kabinet pada 20 November lalu.

Rais berkata, selain angka satu (1) yang jelas tertera di bahagian dada, pilihan warna juga mewakili semua warna yang ada pada bendera Malaysia yang digabungkan dengan elemen kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Bagi menyemarakkan lagi pemakaiannya, beliau meminta agar semua program yang membabitkan 15 jabatan di bawah kementerian itu mengenakan pakaian batik berkenaan dalam setiap majlis anjurannya.

Rais berkata rekaan itu tidak akan diletakkan di bawah Akta Hakcipta kerana jika berbuat demikian hasrat kerajaan untuk memperkembangkan 1Malaysia akan terhalang. – Bernama

Agrobank aktifkan semula 'menyudut'

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my



Rani Endut (kiri) dan pegawainya, Wan Mohd. Nasir Wan Yusof mengutip wang simpanan seorang peniaga sayur di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 3 Feb 2010 - Agrobank cawangan Kota Bharu menjangkakan dapat mengutip RM1.2 juta pada tahun ini apabila mengaktifkan semula kaedah pungutan simpanan bergerak yang disasarkan di kalangan peniaga di pasar-pasar.

Menurut Pengurusnya, Rani Endut, pendekatan yang dimulakan di Pasar Siti Khadijah di sini sejak 1991 tetapi terhenti selepas tiga tahun akan dihidupkan dan diperluaskan ke beberapa pasar utama di jajahan ini dan juga Tumpat.

Katanya, kaedah yang dikenali sebagai menyudut (sudut) iaitu dengan menghantar pegawai bank ke lokasi yang dikenal pasti pernah diguna pakai di sekitar Pasar Siti Khadijah pada tahun 1991 hingga 1993.

''Buat masa ini terdapat RM4 juta simpanan para peniaga pasar tersebut sejak ia dibuka pada tahun 1991. Kaedah ini terhenti atas beberapa faktor termasuk kekurangan kakitangan.

''Tahun ini, bank bercadang memperkenalkan semula kaedah yang sama dengan menambah jumlah pasar basah dan kering dengan tumpuan di dua jajahan di bawah seliaan Agrobank Kota Bharu termasuk di Pasar Wakaf Che Yeh, Pasar Wakaf Bharu, Pasar Berek 12, Pasar Tumpat dan Pasar Pengkalan Kubor.

"Penambahan bilangan lokasi ini dijangka turut meningkatkan jumlah simpanan sudut tetap Pasar Siti Khadijah melebihi 30 peratus daripada jumlah yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia hari ini selepas melawat sudut tetap di pasar tersebut yang dibaik pulih dengan kos RM62,000 dan dilancarkan semula oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam, Mohd. Fauzi Abd. Rahim kelmarin.

Rani menambah, sejak sudut tetap tersebut diwujudkan sembilan tahun lalu, sambutan orang ramai terutama di kalangan peniaga di pasar tersebut yang mengambil peluang menyimpan hasil pendapatan harian mereka adalah menggalakkan.

Lebih-lebih lagi katanya diperkenalkan pula kaedah menyudut dengan pegawai akan menemui peniaga bagi menerima serahan simpanan harian di antara RM2 sehingga RM100 seorang.

''Selepas tujuh tahun dihentikan kerana kekurangan kakitangan, kaedah menyudut diaktifkan semula untuk membuka peluang peniaga dan orang ramai berurusan secara lebih cepat kerana kedudukan yang berhampiran dengan premis perniagaan masing-masing.

''Pegawai akan menggunakan sebuah mesin elektronik khas untuk mendeposit wang simpanan pelanggan sebagai rekod dan pada sebelah petang wang akan diserahkan kepada sudut tetap di Pasar Siti Khatijah," ujarnya.

Rani berkata, kaedah bergerak merupakan inisiatif pihak pengurusan bank di daerah masing-masing untuk mendekati pelanggan dengan menggunakan strategi pemasaran yang terancang.

Buat masa ini katanya, terdapat 1,900 daripada jumlah keseluruhan 2,500 peniaga di pasar tersebut menjadi pelanggan bank dan orang ramai yang membeli-belah turut mengambil kesempatan mengunjunginya.

''Mereka terdiri daripada pemegang akaun simpanan, simpanan tetap dan perkhidmatan Patriot Perdana. Selain itu, perkhidmatan lain turut ditawarkan termasuk insurans Agrikasih-i serta bayaran pelbagai bil seperti bil air Kelantan, Tenaga Nasional Berhad, Celcom dan Astro," katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga menjangkakan bilangan pelanggan bertambah berikutan kempen 'Simpan Dapat Kereta' yang diperkenalkan tahun ini.

"Melalui kempen tersebut, pemegang akuan simpanan melebihi RM100 seorang berpeluang menyertai cabutan bertuah yang dibuat empat bulan sekali dengan menawarkan empat buah kereta, Perodua Myvi, Toyata Camry, Toyota Hilux dan Toyota Fortuner sepanjang tahun ini," katanya.

Melaka: Dataran 1Malaysia (3/2/10)

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

Dataran 1Malaysia di Pantai Klebang dijangka berjaya meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.


Peniaga raih manfaat pembangunan Pantai Klebang manfaatkan penduduk

MELAKA: Tumpuan serius kerajaan Melaka dalam membangunkan Pantai Klebang menerusi pembukaan Dataran 1Malaysia, dekat sini, terutama dalam bidang pelancongan membuktikan industri itu mampu memberi pulangan lumayan kepada pelbagai pihak.

Bukan saja pengusaha hotel, syarikat bas, pengusaha pasar raya dan pengusaha pelancongan meraih keuntungan, malah kini usahawan kecil, peniaga gerai dan penduduk kampung turut menikmati pulangan daripada industri berkenaan.



Dataran 1Malaysia yang letaknya kira-kira 15 kilometer dari Bandaraya Melaka Bersejarah ini, dibangunkan sebagai padang rekreasi awam terbesar di negara ini. Kawasan seluas 20.23 hektar itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk 12 padang bola sepak bagi kemudahan orang ramai.

Kewujudan kemudahan baru ini bakal melengkapkan lagi infrastruktur dirancang di kawasan berkenaan yang turut merangkumi pembinaan sebuah hospital pakar, pusat beli-belah, marina, lot komersial dan kiosk jualan produk pelancongan.

Kawasan ini yang dulunya terkenal sebagai tempat pengeluaran cencaluk serta belacan di Melaka, kini diharap akan menjadi satu lagi mercu tanda pelancongan negeri Hang Tuah, bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Majlis Perhimpunan 1Malaysia Bersama Rakyat pada malam ini.


Mohd Ali (tiga dari kanan) menyukat keluasan kawasan Dataran 1Malaysia.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditemui berkata, idea membina kawasan rekreasi terbuka seperti itu timbul selepas melihat taman rekreasi awam menyediakan kemudahan dengan saiz sebesar 10 padang bola sepak di Manchester ketika berkunjung ke England sebelum ini.

"Harapan kita apabila projek ini siap, ia bakal menjadi satu lagi mercu tanda pelancongan di Melaka. Sebagai sebuah negeri pelancongan, kerajaan perlu sentiasa mencari idea baru bagi mewujudkan produk baru dan Dataran 1Malaysia adalah antara terbaik," katanya.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu baru-baru ini menerima pelbagai maklum balas positif daripada peniaga di situ.

Seorang peniaga, Jameah Hamid, 69, ketika ditemui berkata, sepanjang beroperasi di Dataran 1Malaysia sejak beberapa bulan lalu, beliau memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM500 sehari dengan menjual makanan dan minuman kepada pengunjung.

Katanya, sebaik saja membuka gerai pada awal pagi, boleh dikatakan semua makanan yang dijual mendapat sambutan ramai.

"Selain penduduk tempatan, ramai pelancong asing datang secara berkumpulan mencuba makanan yang dijual di gerai saya.

"Dengan pembukaan kawasan ini selain kehadiran pelancong yang semakin bertambah, rezeki peniaga kecil seperti kami juga agak baik berbanding 10 tahun lalu. Saya berharap usaha kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami tetap diteruskan menerusi projek seperti ini," katanya.

Peniaga buah, Hang Huat, 70, pula mengakui pembukaan Dataran 1Malaysia itu bakal memberikan pulangan lumayan kepada perniagaannya selepas mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM50 sehari sejak beberapa bulan lalu.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membuka kawasan ini. Dataran ini banyak memberi manfaat kepada penduduk Melaka terutama peniaga kecil.

"Saya juga berharap promosi di kawasan ini dapat digandakan lagi untuk memastikan semua pihak meraih keuntungan kesan kehadiran pelancong yang semakin bertambah," katanya.

Wujudkan badan pemantau khas – MB

Mohamad Hasan (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada penduduk Flat Jalan Templer di Lobak semasa melakukan lawatan ke situ 28 Januari lalu. Beliau turut mahu badan pemantau khas diwujudkan di flat berkenaan supaya masalah di situ dapat diatasi secara berterusan.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 3 Feb 2010 – Kerajaan negeri mahu badan pemantau khas diwujudkan di Flat Jalan Templer di sini supaya masalah di kawasan perumahan tersebut dapat diatasi secara berterusan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu perlu bagi memastikan usaha pihak berkuasa untuk memberi keselesaan kepada penghuni rumah pangsa tersebut tidak disalahgunakan.

“Apa yang dapat saya lihat ada penghuni yang menyalahgunakan stor dengan meletakkan barang di kawasan itu. Ini akan menyebabkan berlaku timbunan sampah.

“Malah saya juga tidak berpuas hati dengan sistem penyelenggaraan sampah yang tidak efisien dan sehubungan itu penambahbaikan perlu dilakukan bagi memberi keselesaan kepada penduduk,” kata beliau di sini hari ini.

Ujarnya, ini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan sebanyak dua kali sebulan di kawasan berkenaan yang dilihat perlu dilaksanakan secara berterusan.

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan bagi membina taman permainan secara berpagar untuk kemudahan penghuni di kawasan berkenaan.

“Saya pasti selepas perbincangan dengan pelbagai pihak terlibat, kemudahan asas di situ akan dapat diselenggara dengan baik.

“Kita mahu supaya walaupun rata-rata penduduk adalah mereka yang berpendapatan rendah, tetapi apa yang penting ialah mereka dapat menikmati suasana kehidupan yang lebih selesa,’’ ujarnya.

Kerajaan negeri sumbang GPRS

MELAKA 3 Feb 2010 - Kerajaan negeri akan membekalkan kemudahan perkhidmatan Generasi Ketiga (3G) atau Radio Paket (GPRS) kepada persatuan nelayan di negeri ini bagi memudahkan golongan itu menjalankan kegiatan tangkapan di sempadan negara jiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kemudahan GPRS itu diharap dapat mengelakkan insiden penahanan enam nelayan dari Tanjung Puteri di sini oleh Polis Marin Indonesia pada 20 Januari lalu berulang.

Menurutnya, kemudahan itu diharap dapat memberi panduan yang jelas kepada nelayan ketika menangkap ikan di perairan negara jiran.

''Saya harap dengan pembekalan kemudahan GPRS ini nanti dapat mengelakkan insiden penahanan nelayan di negeri ini berulang pada masa depan," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri menghargai keprihatinan dan kerjasama kerajaan Indonesia kerana membebaskan enam nelayan terbabit.

''Saya harap nelayan akan lebih berhati-hati apabila mereka keluar menangkap ikan di laut terutama di kawasan sempadan negara jiran," katanya

Ujar beliau, kerajaan negeri juga bersedia mengganti semula peralatan dan bot nelayan yang dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia dalam kejadian itu.