Tuesday, October 5, 2010

Utara: AADK Kedah anjur program MAHABBAH mulai Oktober

2010/10/06
ALOR SETAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah akan menganjurkan program Masjid Hentian Bebas Dadah (MAHABBAH) bermula bulan depan dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah yang berleluasa di kalangan masyarakat.

Pengarahnya, Mohammad Nazer Mustafa, berkata program berkenaan bertujuan mendedahkan maklumat terkini mengenai bahaya gejala penyalahgunaan dadah, selain menjalin kerjasama antara institusi masjid dan AADK untuk mencegah penyalahgunaan dadah dan penagihan berulang. Katanya, program yang akan dianjurkan di 500 masjid di negeri ini adalah sejajar hasrat kerajaan yang mahu mengurangkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang tahun depan yang mempunyai kaitan dengan penagihan dadah di kalangan belia. “Matlamat utama program ini adalah untuk menggerakkan masjid dalam membentuk semua aspek kehidupan, selain melihat masjid mampu menjadi perantara dan tempat sesuai untuk tujuan pembelajaran dan rujukan.

“Selain itu, program ini mampu menyedarkan jemaah masjid mengenai tanggungjawab memerangi najis dadah adalah satu kewajipan selaras dengan tuntutan Islam dalam mencegah kemungkaran,” katanya selepas Seminar Anti Dadah Pegawai Agama Daerah dan Imam Masjid di sini, kelmarin.

Seramai 100 pegawai agama dan imam dari masjid terpilih di negeri ini mengikuti sesi dialog bersama Ketua Penolong Pengarah Cawangan Agama AADK Putrajaya, Ruslan Said.

Mohammad Nazer berkata, program MAHABBAH yang akan dianjurkan itu diharap dapat mengurangkan kadar jenayah penagihan dadah di negeri ini, selain mampu menyebarkan maklumat mengenai gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah, khususnya di kalangan umat Islam yang amat membimbangkan.
“Kedah mencatatkan kadar penagihan dadah keempat tertinggi di negara ini iaitu 4,760 kes bagi tempoh Januari hingga sekarang, dengan daerah Kuala Muda mencatatkan kes penagihan tertinggi iaitu 1,084 kes, diikuti Kota Setar 739 kes dan Kubang Pasu 574 kes,” katanya.

Katanya, Masjid Zahir sebagai masjid negeri menjadi masjid pertama program diadakan setiap Jumaat dan diikuti masjid lain.

Katanya, pelbagai pengisian dirangka oleh AADK, termasuk tazkirah ringkas mengenai bahaya penagihan dadah, mewujudkan kaunter AADK untuk aduan serta khidmat nasihat, pameran antidadah dan tayangan video serta solat hajat selepas solat Jumaat

No comments:

Post a Comment