Sunday, October 3, 2010

Pusat perdagangan di luar negara edar hasil pertanian

Oleh Che Wan Badrul Alias

2010/10/04
Kementerian cadang kerjasama swasta, tinjau potensi 5 lokasi

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani, bercadang menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta bagi mewujudkan pusat perdagangan luar negara serta pusat pengumpulan dan pengedaran produk usahawan industri asas tani di pasaran tempatan.

Difahamkan, kementerian itu meninjau potensi lima lokasi bagi pusat perdagangan luar negara itu, antaranya China, Maghribi, United Kingdom dan Dubai. Bagi pusat pengumpulan dan pengedaran produk usahawan industri asas tani di pasaran tempatan pula, ia telah mengenal pasti beberapa lokasi yang yang berpotensi. Sumber kementerian itu berkata, kedua-dua pusat berkenaan dirancang bagi membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) industri asas tani meningkatkan jualan dan sebagai akses alternatif memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Jika cadangan penubuhannya diluluskan kelak, ia berupaya meningkatkan nilai eksport dan mengembangkan pasaran produk PKS industri asas tani terpilih khususnya produk makanan halal.

“Penubuhan pusat pengumpulan dan pengedaran ini memerlukan peruntukkan khusus dan kementerian akan mengkaji sama ada melaksanakannya secara berperingkat atau mewujudkannya dengan kerjasama pihak swasta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah, ketika diminta mengulas perkara itu berkata, setakat ini di bawah peruntukan Program Industri Asas Tani 2011, hanya ada dua program yang diluluskan untuk peruntukkan pada peringkat saringan pertama EPU.
Katanya kedua-duanya ialah program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Program Mempelbagai serta program Menambah Pendapatan Petani, Penternak dan Nelayan (MMPPPN).

“Jumlah peruntukan yang dipohon ialah RM28 juta untuk pembangunan usahawan dan RM30 juta bagi program MMPPPN. Namun jumlah peruntukan mungkin dikaji semula bagi memastikan ia lebih efektif serta relevan dengan keperluan," katanya.

Beliau menambah, di bawah program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani, lima projek akan dilaksanakan iaitu peningkatan modal insan, keupayaan pengeluaran, kualiti produk, pembangunan dan pengembangan produk serta penjenamaan, promosi dan pemasaran.

Katanya, sejumlah besar peruntukkan itu akan disalurkan di bawah Geran Pemadanan yang membabitkan skim meningkatkan pengeluaran dan premis usahawan industri asas tani.

“Menerusi geran ini, kerajaan akan bertindak membantu usahawan ini secara tidak langsung. Kami tidak memberikan wang tunai kepada mereka sebaliknya bantuan diberikan mengikut keutamaan dan mungkin keperluan dalam bentuk peralatan dan barangan.

“Menerusi semua langkah memperkasakan usahawan asas tani ini ini, kementerian menyasarkan membangunkan 15,000 usahawan dalam industri berkaitan yang baru dan di naik taraf menjelang 2011," katanya.

Seperti tahun sebelumnya, geran itu disasarkan khusus kepada usahawan tahap dua hingga lima yang mencatatkan nilai jualan melebihi RM50,000 hingga RM10 juta.

Nilai geran pemadanan ini disalurkan mengikut tahap usahawan, yang mana bagi tahap dua hingga empat jumlah geran pemadanan maksimum adalah RM100,000 manakala bagi tahap lima nilai geran pemadanan tertinggi yang akan disalurkan adalah RM200,000

No comments:

Post a Comment