Sunday, May 9, 2010

Syor wujud Unit Usahawan Bumiputera

BUKIT MERTAJAM 9 Mei 2010 - Kerajaan disyorkan menubuhkan Unit Usahawan Bumiputera yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan penglibatan golongan bumiputera dalam kegiatan ekonomi.

Cadangan itu merupakan salah satu resolusi yang dibentangkan pada hari terakhir Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang 'Menggarap Peluang Dalam Cabaran' yang diadakan di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, resolusi tersebut turut merangkumi cadangan supaya seorang menteri dipertanggungjawabkan untuk menguruskan unit berkenaan.

''Ini adalah salah satu daripada resolusi yang signifikan sempena konvensyen ini dan sebahagian lagi akan diperincikan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya selepas menyempurnakan majlis penutup konvensyen tersebut di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menerima resolusi konvensyen tersebut daripada Pengerusi Sekretariat Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, pihaknya berharap semua resolusi yang akan diperincikan kelak akan diberi perhatian sebagai input dalam pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibentangkan kerajaan tidak lama lagi.

Katanya, perhatian kepada nasib orang Melayu di negeri ini adalah wajar memandangkan tiada agenda khusus oleh kerajaan negeri yang kini ditadbir pakatan pembangkang untuk memperkasakan golongan itu.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau juga akan mencadangkan supaya semua resolusi konvensyen itu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan datang.

''Kita mahu supaya ahli-ahli MT yang lain dapat merasakan denyut nadi orang Melayu di Pulau Pinang dan ia (resolusi) tidak tinggal di atas kertas sahaja tetapi disusuli dengan tindakan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penubuhan lapan sekretariat hasil daripada konvensyen tersebut yang akan dipantau oleh sebuah badan pemikir yang diwujudkan bagi memberi maklum balas mengenai pelaksanaannya.

Lapan sekretariat itu adalah perkhidmatan, pendidikan, hartanah dan binaan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi, perusahaan kecil dan sederhana, industri halal serta pertanian dan industri asas tani.

No comments:

Post a Comment