Sunday, May 9, 2010

Skim bayaran balik pinjaman perumahan diperkenal semula

BUTTERWORTH 9 Mei 2010 - Kerajaan akan memperkenalkan semula skim bayaran balik pinjaman perumahan sehingga dua generasi bagi membolehkan lebih ramai golongan bumiputera di Pulau Pinang memiliki kediaman sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) berkata, konsep sedemikian telah dicuba dan terbukti berkesan bagi membantu mereka tidak berpendapatan tetap seperti nelayan, petani dan peniaga kecil Melayu membeli rumah.

Bagaimanapun, jelas beliau, hanya beberapa bank yang mengambil inisiatif melaksanakan skim berkenaan dan secara 'ad hoc'.

"Kita akan bincang dengan bank-bank supaya dapat sedia pembiayaan dengan terma-terma memuaskan dan tidak terlalu menekan peminjam.

"Kita akan guna satu kaedah tempoh bayaran balik yang panjang dinamakan dua generasi untuk sedaya upaya mengatasi masalah orang Melayu di Pulau Pinang," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang sukan pelbagai guna di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Memerintah Pangkalan TUDM Butterworth, Kolonel Rashid Majid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Abdul Hamid.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penambahan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana yang mampu dimiliki golongan bumiputera di Pulau Pinang.

Langkah tersebut dilihat wajar berikutan tahap pemilikan rumah oleh orang Melayu terutama di lokasi strategik di negeri ini masih terlalu rendah.

Nor Mohamed menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menubuhkan sebuah tabung bagi membantu membiayai orang Melayu di negeri ini membeli rumah.

Ditanya mengenai bilangan rumah yang bakal dibina di Pulau Pinang dalam RMK-10, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada jumlah peruntukan yang diberikan nanti.

Namun, beliau memberi jaminan jumlah tersebut adalah munasabah berdasarkan bilangan penduduk Melayu di negeri ini.

"Kerajaan bukan sahaja mahu membina rumah kos rendah untuk orang Melayu tetapi juga pelbagai kategori lain termasuk sederhana dan mewah," ujarnya.

Sementara itu, gelanggang sukan untuk kemudahan orang ramai berharga RM150,000 tersebut merupakan yang ketiga dibina di kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

Dua yang lain adalah di Permatang Berangan dan Sungai Dua manakala sebuah lagi bakal dibina di Jalan Berlian, Bagan Ajam.

Kemudahan tersebut dibuka kepada orang ramai dan disediakan untuk permainan-permainan futsal, sepak takraw, bola tampar dan bola jaring.

No comments:

Post a Comment