Thursday, April 8, 2010

Suruhanjaya Persaingan diwujud

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/09
PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan yang akan diwujudkan untuk menguatkuasakan Akta Persaingan bertujuan menyekat amalan kartel dan monopoli dalam semua sektor komersial, adalah sebuah suruhanjaya bebas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Suruhanjaya itu akan dianggotai oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan, profesional, termasuk peguam dan ahli ekonomi, yang memiliki kepakaran untuk membuat penilaian terhadap setiap aduan diterima.

Pelantikan ahli suruhanjayanya akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. “Daripada bermula bacaan kali pertama akta itu di Parlimen, semalam (kelmarin) sehingga diluluskan Dewan Negara dan diwartakan, kita ada masa 18 bulan untuk menguatkuasakannya. Dalam tempoh itulah, Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan.

“Suruhanjaya ini akan memantau kes yang membabitkan monopoli dan kartel. Jika ada satu kuasa yang memonopoli, mereka akan menentukan harga, bekalan, suasana pelaburan menyebabkan suasana perniagaan tidak mesra.

“Kita juga tidak membenarkan syarikat besar untuk berpakat menentukan harga, bekalan dan sebagainya sehingga merugikan pengguna kerana terpaksa membeli produk pada harga mahal yang ditetapkan sesuka hati oleh peniaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) Ke-14 di sini, semalam.

Pada majlis konvokesyen itu, seorang graduan MKM dianugerahkan Sarjana Pengurusan Koperasi dan Pembangunan Organisasi dari University of Leicester, United Kingdom, 35 graduan menerima Diploma Pengurusan Koperasi, manakala 12 lagi mendapat Sijil Pengurusan Koperasi.

Ismail Sabri berkata mulai kemasukan tahun lalu, pelajar pengajian diploma dan ijazah di MKM hanya ditawarkan pembiayaan dalam bentuk pinjaman yang boleh diubah kepada 50 peratus biasiswa sekiranya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3 ke atas dan 100 peratus bagi PNGK melebihi 3.8

No comments:

Post a Comment