Thursday, April 1, 2010

Pelabuhan Pulau Pinang dibangunkan

PULAU PINANG 1 April 2010 - Kerajaan Pusat akan memberi keutamaan terhadap projek mendalamkan perairan Selat Utara di Pelabuhan Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi meningkatkan daya saing pelabuhan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, projek itu bertujuan merancakkan aktiviti sektor perkapalan terutama bagi menggalakkan kapal-kapal besar berlabuh di pelabuhan itu.

Menurutnya, sebagai salah sebuah pelabuhan penting, sumbangan Pelabuhan Pulau Pinang kepada aktiviti ekonomi negara masih relevan dengan rekod pertumbuhan positif sepanjang tahun lalu.

''Meskipun dilanda krisis ekonomi, Pelabuhan Pulau Pinang berjaya mencatat pertumbuhan positif dalam pengendalian kontena sebanyak tiga peratus daripada 929,639 unit bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2008 kepada 958,476 TEU tahun lalu," katanya.

Beliau berucap pada majlis penjenamaan semula Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Pengerusi PPSB, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Ahmad Ibni Hajar.

Penjenamaan semula itu menyaksikan penggunaan uniform, logo dan laman web PPSB yang baru.

Muhyiddin memberitahu, projek yang dirancang itu merupakan pelengkap kepada pelaburan PPSB sebanyak RM1.1 bilion bagi pembesaran dan perubahan perniagaan pelabuhan tersebut dari tahun lalu sehingga 2012.

''Kita sedar PPSB bukan sahaja menguruskan kargo-kargo terminal pelabuhan antarabangsa tetapi merangkumi perkhidmatan lain seperti feri dan terminal,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment