Sunday, April 4, 2010

PDRM guna sistem radio digital

PULAU PINANG 4 April 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan sistem radio digital, Royal Malaysian Police net atau RMPnet mulai bulan ini bagi menggantikan sistem lama berbentuk analog yang digunakan sejak 15 tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, RMPnet yang dibangunkan dengan kos RM980 juta itu dihasilkan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dan membantu operasi polis membanteras jenayah dengan lebih cepat.

Katanya, sistem komunikasi baru ini akan menyaksikan penggunaan radio digital (walkie talkie) sepenuhnya yang lebih canggih kepada anggota PDRM terlibat yang berfungsi meningkatkan kadar dan kepantasan mereka berhubung termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)

''Sistem ini bukan sahaja mampu menghubungkan antara anggota polis dengan agensi yang lain malahan antara negeri.

''Ia amat berkesan digunakan dalam operasi bersepadu di mana anggota PDRM berupaya berhubung dengan agensi dan jabatan lain dengan lebih cepat dan berkesan terutama membabitkan kes jenayah," katanya.

Jelas Hishammuddin, buat permulaan sistem komunikasi itu akan digunakan di kawasan panas seperti disenaraikan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mencegah jenayah iaitu sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, selepas itu penggunaan RMPnet akan diperluaskan ke Pulau Pinang dan Johor sebelum dikembangkan ke seluruh negara setelah keberkesanannya diperakui.

''Walaupun sistem ini sudah berjaya dilaksanakan di Hong Kong dalam tetapi kita perlu lihat dahulu kekangan yang kita hadapi ketika menggunakannya.

"Setelah ia diatasi barulah kita perluaskan penggunaannya di seluruh negara secara berperingkat-peringkat ," katanya selepas melawat kilang Motorola di Bayan Lepas di sini Jumaat lepas.

No comments:

Post a Comment