Sunday, April 25, 2010

MPS perkenal 2 sistem lulus lesen

SEREMBAN 25 April 2010 - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) memperkenalkan dua sistem kelulusan lesen iaitu 'Fast Track' dan Serta-Merta bagi mempercepatkan proses permohonan lesen premis perniagaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Halim Abdul Latif berkata, sehingga kini, sebanyak 2,028 lesen diluluskan membabitkan sistem lesen 'Fast Track' sebanyak 110 lesen dan 1,918 lesen jenis Serta-Merta.

''Melalui kelulusan secara 'Fast Track', lesen boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari bekerja dengan syarat segala dokumen permohonan lengkap dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 26 jenis perniagaan disenaraikan di bawah kelulusan ''Fast Track'' termasuk kedai gambar, persolekan, alat-alat sukan, tukang jahit, kasut, pakaian, makanan dan minuman.

"Lainnya termasuk premis perniagaan di kompleks perniagaan, rumah kedai (tingkat bawah), kilang industri dan hotel," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi kelulusan secara Serta-Merta pula, lesen diperoleh dalam masa 30 minit dengan syarat segala dokumen permohonan lengkap dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

''Premis perniagaan yang diluluskan adalah bangunan rumah kedai dan kompleks perniagaan.

''Di bawah kaedah Serta-Merta, sebanyak 70 jenis lesen disenaraikan iaitu lesen penjaja gerai atau statik, lesen pasar tani, lesen pasar malam atau bergerak, tapak semaian, membuat papan iklan dan sebagainya," ujarnya.

Tambahnya, sistem kelulusan lesen secara 'Fast Track' dilaksanakan sejak 1 Ogos 2007 manakala sistem kelulusan secara Serta-Merta dimulakan pada 1 April 2008.

Abdul Halim berkata, bagi kelulusan lesen premis perniagaan yang tidak termasuk di bawah senarai kelulusan secara 'Fast Track' atau Serta-Merta, ia akan diproses secara biasa.

''Selepas pegawai-pegawai MPS akan melakukan siasatan, dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Pembersihan MPS yang mengambil masa 30 hari sekiranya mendapat sokongan daripada semua jabatan teknikal berkenaan.

''Bagi mempercepatkan kelulusan lesen secara biasa ini, MPS telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Pembersihan dua kali sebulan untuk menimbangkan permohonan yang diterima," katanya.

Di samping itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhubung terus dengan Jabatan Pelesenan dan Pembersihan MPS apabila mengemukakan permohonan untuk diproses.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 06 7642940 atau layari lawan sesawang www.mpsns.gov.my.

No comments:

Post a Comment