Thursday, April 1, 2010

AUKU dipinda untuk tambah Profesor Diraja

2010/04/02
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meminda Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi membolehkan jumlah Profesor Diraja yang dilantik ditambah melebihi tiga orang pada masa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu pakej imbuhan yang sesuai dengan status Profesor Diraja juga akan diwujudkan yang tidak terikat dengan mana-mana tangga gaji sedia ada dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata kerajaan akan mewujudkan kategori Profesor Kanan yang diletakkan di bawah Gred Turus dalam perkhidmatan awam, manakala jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh jawatankuasa khas. Najib berkata demikian pada pelancaran Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE), di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. MPN dipengerusikan oleh Penasihat Sains kepada Kerajaan Malaysia, Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

Daripada kira-kira 22,500 pegawai akademik di sebanyak 20 IPTA seluruh negara, 1,426 atau 6.3 peratus berjawatan profesor.

Perdana Menteri turut menyerahkan geran tahunan masing-masing RM3 juta kepada universiti yang dipilih memiliki HICoE iaitu Center of Research for Power Electronics, Drives and Control Universiti Malaya (UMPEDAC); Institut Biologi Molekul Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI); Institut Penyelidikan Perubatan Molekul Universiti Sains Malaysia (INFORMM); Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (IBS); Pusat Penyelidikan Dadah USM (CDR) dan Institut Penyelidikan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (ARI).

Perdana Menteri juga mengumumkan beberapa peraturan perkhidmatan awam yang mempunyai implikasi keberkesanan peranan dan aktiviti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang akan dikaji semula secara menyeluruh.

Beliau berkata ia termasuk Surat Pekeliling Bilangan Pertama Tahun 2008, Garis Panduan Pelaburan untuk IPTA April 2004 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

No comments:

Post a Comment