Thursday, April 1, 2010

3 langkah baru elak seleweng kontrak kerajaan

Najib Tun Razak diiringi Ahmad Husni Hanadzlah bersalaman dengan kakitangan Kementerian Kewangan di Majlis Pelancaran Portal MyProcurement-Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 1 April 2010 - Kerajaan melaksanakan tiga lagi langkah tambahan berkaitan perjanjian integriti sebagai usaha mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah yang dikuatkuasakan mulai hari ini mewajibkan semua pembida tender menandatangani surat akuan pembida dan surat akuan pembida berjaya.

Seterusnya, beliau berkata, pembida berjaya perlu menandatangani teks perjanjian yang mengandungi klausa pencegahan rasuah dalam perolehan kerajaan.

"Saya dimaklumkan bahawa surat arahan Perbendaharaan bertarikh 1 April 2010 berkaitan langkah-langkah 'integriti pact' disampaikan kepada semua pegawai pengawal pada pagi ini.

"Semua inisiatif itu dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan kerajaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan portal Myprocurement di sini hari ini.

Portal berkenaan yang dibangunkan oleh tenaga pakar dalaman Kementerian Kewangan merupakan hasil inisiatif 'Membanteras Rasuah' di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Klausa khas mengenai 'integrity pact' telah dimasukkan dalam semua teks perjanjian kontrak-kontrak kerajaan mulai 28 Februari 2009 untuk meningkatkan tahap integriti dalam semua urusan perolehan kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, klausa berkaitan pencegahan rasuah dalam teks perjanjian perolehan kerajaan merupakan satu komitmen dan akujanji pembida yang berjaya.

"Kalau dia (pembida) gagal memenuhinya maka tindakan boleh diambil dan sebelum itu dia kena faham apa tanggungjawab sebagai seorang yang sudah mendapat kontrak," katanya.

Sementara itu beliau berkata, portal Myprocurement yang boleh diakses melalui laman web Perbendaharaan dapat meningkatkan ketelusan selain memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.

Katanya, portal itu memaparkan iklan tender, keputusan tender, dasar perolehan kerajaan, tatacara perolehan, soalan-soalan lazim, integriti pact dan lain-lain.

"Selama ini, persepsi orang ramai terhadap urusan perolehan kerajaan adalah kurang memuaskan malah ada suara-suara yang membangkitkan ketidakseragaman dalam penyebaran maklumat mengenai tawaran tender, ketidakadilan dalam proses pemilihan tender dan macam-macam lagi.

"Ada yang berpendapat kerajaan kurang mengambil berat dan tidak mempunyai iltizam politik yang kuat untuk memperbetulkan isu-isu tersebut," katanya.

Justeru beliau berkata, melalui portal berkenaan, kini orang ramai lebih mudah mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Memandangkan portal itu menjadi pusat pengumpulan semua maklumat perolehan kerajaan, Perdana Menteri mahu semua pegawai memberikan komitmen bagi memastikan semua iklan dan keputusan tender sentiasa dikemaskinikan.

"Maklumat yang dimuat naik mesti tepat dan cepat bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan kepada pengetahuan umum," katanya.

Beliau berkata, keputusan tender akan dipaparkan dalam tempoh 14 hari atau lebih cepat setelah surat setuju terima dikeluarkan kepada penerima tender yang berjaya.

"Maklumat dalam portal akan dikemaskinikan setiap satu jam sebab setiap kementerian akan mengemaskinikan maklumat masing-masing dan kita akan memuat naik apa yang dilakukan kementerian berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment